Monday, July 13, 2009

Ikut keperluan bukan kemampuan

Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud: “Saya memastikan adanya tiga bagi tiga: Bagi orang yang sibuk dengan dunia, yang rakus kepada dunia dan yang bakhil dengan dunia, maka pasti dia akan menderita kekurangan yang tidak ada cukupnya, yang sibuk yang tidak ada lapangnya dan risau yang tidak ada senangnya.”

Begitulah peringatan Rasulullah kepada umatnya yang Allah kurniakan rezeki yang melimpah ruah. Baginda sangat bimbang dengan si kaya yang bersifat loba dengan harta dan tidak mahu membantu si papa, mereka ini dilaknat oleh Allah swt. Jika mereka bersikap demikian nescaya walaupun kaya harta namun jiwa mereka miskin. Sentiasa tiada merasa cukup dan puas dengan apa yang ada. Justeru itu mereka sibuk memburu dunia dengan rakusnya dan bersikap bakhil dengan dunia. Akhirnya mereka tiada menemui kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup.

Jiwa terasa kosong dan menderita. Dunia yang dikejar telah menipudaya dan mengecewakannya. Lebih malang lagi ialah mereka yang miskin harta dan miskin jiwa, iaitu si miskin yang tidak redha dengan kemiskinannya. Mereka menganggap Tuhan tidak adil kerana membiarkan hidup mereka melarat. Sedarkah mereka bahawa junjungan besar juga tergolong di dalam orang-orang yang miskin. Baginda senang dengan cara hidup sedemikian, melalui cara inilah akan mendekatkan dirinya dengan Tuhan. Kiranya baginda ingin kaya cukup dengan mukjizat yang Allah kurniakan padanya, gunung Uhud boleh bertukar menjadi emas dengan sekelip mata.

Siti Fatimah, anak kesayangan Rasulullah, diasuh oleh baginda hidup di dalam serba kekurangan dan mengambil apa yang perlu saja di atas dunia ini. Dia dididik begitu rupa supaya hatinya tidak cinta dunia dan supaya menjadi wanita contoh kepada wanita lainnya.

Seseorang yang kukuh imannya di dada akan menjadi orang yang kaya jiwa walaupun miskin harta. Apabila jiwa kaya, rumah sempit terasa luas, hidup miskin terasa kaya sebab hatinya telah tertanam sifat redha dan Qanaah (memadai dengan apa yang ada).

Oleh itu jangan rasa dukacita dengan kemiskinan harta, sebaliknya bersedihlah dengan kemiskinan jiwa. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya makhluk yang sangat dikasihi oleh Allah ialah orang yang fakir miskin, sebab manusia yang amat dikasihi Allah ialah para nabi, maka Allah menguji mereka dengan kefakiran dan kemiskinan.” Riwayat Abdullah bin Umar.

Malah baginda selalu berdoa kepada Allah agar dimatikan di dalam golongan orang miskin yang redha dengan kemiskinannya serta dibangkitkan di Akhirat nanti bersama-sama orang yang miskin. Doanya yang bermaksud: “Ya Allah matikanlah aku sebagai orang fakir miskin, dan janganlah matikan aku kaya, dan kumpulkanlah aku di mahsyar dalam golongan orang-orang miskin pada hari Kiamat. Maka sesungguhnya yang amat celaka ialah orang yang miskin di dunia dan terseksa di akhirat.”

Seboleh-bolehnya lemparkanlah sejauh-jauhnya angan-angan untuk memiliki rumah mewah di dunia ini. Seandainya kita dikurniakan rumah besar, pastilah lebih banyak harta yang mesti dicari bagi mengisi setiap ruang rumah. Jangan jadikan rumah kita seperti muzium, dihiasi dengan patung-patung atau binatang-binatang buas yang dikeraskan atau mini bar ataupun gambar-gambar lucah yang bergantungan di dinding.

Rumah yang menyimpan barang-barang haram tidak akan dijengahi oleh malaikat Rahmat. Tidak hairanlah timbulnya berbagai-bagai persengketaan di antara ahli kerana seluruh isi rumah dihiasi dengan kawan-kawan syaitan. Gantungkanlah ayat-ayat suci Al Quran atau pemandangan-pemandangan alam yang menyejukkan mata memandang di samping dapat mengingatkan kepada kebesaran Allah swt.

Kalau kita bijak berbelanja, tidak timbul masalah kesempitan wang akibat membeli barang-barang yang tidak perlu. Sebaik-baik cara untuk berbelanja ialah dengan menyenaraikan dahulu apa yang hendak dibeli beserta anggaran harganya. Selalu tanyakan diri setiap kali hendak membeli sesuatu: “Perlukah atau tidak aku membeli benda-benda ini?” Sekiranya anda rasakan bahawa sesuatu benda itu amat penting untuk keperluan keluarga maka barulah dibeli. Seelok-eloknya berbincang dahulu dengan suami sebelum membeli sesuatu semoga keputusan yang diambil itu adalah yang terbaik dan bukan atas dasar paksaan.

Sebaliknya tabiat yang menganggap diri anda ‘mampu’ selalunya membawa kepada pembaziran. Akhirnya mengeluh sendiri kerana membeli benda-benda yang tidak menentu.

Kepada para isteri, sedarlah bahawa perhiasan yang cantik-cantik itu hanya untuk tatapan suami dan bukan untuk ditonjolkan kepada orang ramai. Untuk berhias di depan suami anda tidak perlu memiliki berpuluh-puluh pasang pakaian yang hanya dipakai sekali dua, kemudian dibiarkan bergantungan di dalam almari. Perbelanjaan untuk membeli alat-alat make-up juga dapat dikurangkan jika isteri sedar bahawa make-up itu hanya digunakan semasa berada di sisi suami. Dengan itu wang yang hendak dibelanjakan untuk membeli alat-alat make-up yang beratus-ratus ringgit harganya itu dapat dijimatkan. Ingatlah, isteri yang beriman itu perhiasan indahnya untuk suaminya sahaja dan isteri yang beriman itu berjimat cermat di atas harta suaminya.

Sifat suka menunjuk-nunjuk kepada orang lain menyebabkan kaum wanita berlumba-lumba untuk menyaluti tubuh dengan barang kemas dengan sebanyak-banyaknya. Kadang-kadang sampai penuh jari-jari dengan cincin-cincin yang pelbagai bentuk, anting-anting bertingkat-tingkat ditindik di telinga, rantai dua tiga lapis dileher dan banyak lagi. Tapi bila berhadapan dengan suami, seurat emas pun tidak lekat di badan. Alasannya, susah hendak buat kerja rumah. Bila seluruh badan sudah diberati dengan perhiasan memanglah merimaskan untuk membuat kerja. Oleh itu memadailah dengan cincin sebentuk dua, rantai seurat, gelang dua tiga urat dan sunting sepasang dua.

Di samping boleh mengelakkan berlakunya pembaziran, suami akan bertambah sayang kerana isterinya suka bercantik-cantik hanya untuknya. Haram hukumnya mencantikkan diri untuk orang lain yang bukan muhrim kita.

Selain dari itu, keperluan dapur boleh dijimatkan dengan hanya membeli makanan yang berzat tetapi murah. Makanan yang seimbang tidak semestinya yang mahal. Anda boleh menanam sendiri beberapa jenis ulam yang mudah tumbuh di kawasan rumah atau menanamnya di dalam pasu. Cara ini juga boleh mengelakkan makanan anda diracuni bahan kimia yang membahayakan kesihatan. Satu sebab kenapa manusia zaman moden ini mudah dihinggapi pelbagai penyakit yang pelik-pelik, yang tidak pernah dialami oleh nenek moyang kita dulu, ialah kerana memakan makanan yang disuburkan oleh bahan kimia.

Bagi anak-anak pula, elakkan dari membelikan mereka makanan ringan yang tidak berzat. Pakaian anak-anak juga tidak perlu dibeli dari jenama yang mahal sebab anak-anak akan cepat membesar dan pakaian-pakaian itu tidak akan diperlukan lagi. Pilihlah buku-buku terbaik yang tidak begitu mahal harganya untuk bahan bacaan anak-anak terutama buku-buku mulia. Jangan berkira sangat kalau hendak menghantar anak-anak ke kelas pengajian agama dengan bayaran yang tidak seberapa.

Sesungguhnya apabila anak-anak anda terdidik dengan ilmu agama, itulah jariah ibu bapa di alam barzakh kelak. Sebaliknya anda akan menerima saham neraka kiranya menghantar anak-anak ke kelas muzik yang melalaikan.

Bagi isteri-isteri yang hobinya suka memasak, sedekahkanlah kepada mereka yang memerlukan. Syaratnya, mesti meminta izin dari suami terlebih dahulu. Kelebihan mereka yang suka bersedekah ada dinyatakan di dalam hadis Rasulullah saw yang bermaksud: “Tidak akan berkurangan harta kerana sedekah dan tiada seorang yang memaafkan suatu aniaya kezaliman melainkan Allah menambahkan kemuliaannya dan tiada seorang yang tawadhuk (merendah diri) kerana Allah melainkan Allah menaikkan darjatnya.” Riwayat Abu Hurairah.

Anda juga boleh menyumbangkan kewangan yang di luar keperluan rumahtangga dengan cara mengeluarkan derma khairat kepada masjid, surau, anak-anak yatim, janda-janda yang tidak terbela, membantu mangsa-mangsa kebakaran atau peperangan. Setiap jariah yang baik yang terus dimanfaatkan akan memberi saham kesenangan di akhirat biarpun anda sudah berada di dalam kubur. Rebutlah peluang ini demi kesejahteraan hari kemudian.

0 Komen:

Post a Comment

Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner