Sunday, December 13, 2009

Salam Maal Hijrah

Hijrah di segi bahasa bererti berpindah dari satu tempat ke tempat lain.Dalam konteks sekarang Islam tidak lagi menuntut umatnya berhijrah dalam pengertian geografi [berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain] tetapi yang dituntut adalah hijrah dalam maksud hakiki iaitu dalam bentuk peningkatan amal dan memperbaiki sikap sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah ke atasnya [Riwayat Bukhari & Muslim].

Perjuangan untuk hijrah ini sesungguhnya adalah perjuangan maha berat dan besar. Ini merujuk pada perkataan Rasulullah SAW kepada sahabat sekembalinya mereka daripada Perang Badar:

“Sesungguhnya kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan besar.”

Sahabat bertanya, “Peperangan apa Ya Rasulullah.”

Rasulullah bersabda, “Peperangan melawan hawa nafsu.”

Ini bererti, hijrah dan perubahan itu bukan sekadar perubahan sikap yang lahir dan luaran sahaja tetapi termasuk juga sikap yang bersifat rohani dan batiniyah. Penghayatan hijrah itu bukan sekadar di mulut ataupun perubahan secara fizikal, tetapi perubahan fikiran, tindakan, pertuturan, akhlak dan hati. Juga perubahan dari sifat mazmumah kepada sifat mahmudah, hijrah daripada perkara yang didorong dan disukai oleh nafsu kepada perkara yang menyakitkan nafsu. Ia tidak semudah seperti yang disangkakan.

Daripada pemarah kepada penyabar, daripada pendendam kepada pemaaf, daripada sombong kepada rendah diri, daripada mementingkan diri sendiri kepada mengutamakan orang lain, daripada kedekut dan tamak kepada pemurah dan baik hati, daripada zalim kepada membela nasib orang yang memerlukan, daripada lupakan Tuhan kepada kenal, cinta dan takutkan Allah.

Untuk memenangi peperangan ini Rasulullah sendiri mengambil ¾ daripada masa hidup mereka. Ini adalah kerana ia adalah terlalu sulit dan susah. Kemenangan batin inilah yang membawa kepada kemenangan lahir. Namun akhirnya para kekasih Allah dan pengikutnya dijanjikan Allah, dapat memenangi nafsu dan syaitan-syaitan mereka. Mereka benar-benar dapat mengubah seluruh lahir dan batin yang negatif kepada seluruh sifat positif lahir dan batin.

Andainya kesukaran hidup menjadi gangguan untuk kita beribadah dan mentaati Allah, maka perlu pula kita berusaha untuk meningkatkan taraf hidup umat Islam sendiri. Setiap yang melata di bumi Allah telah disediakan rezeki baginya. Cacing di celah batu lagi kan hidup, inikan pula manusia yang telah dikurniakan kelebihan akal fikiran olah Allah dan dapat berusaha dengan lebih sempurna untuk memburu rezeki tersebut.

Kalau kita selaku umat Islam ingin benar-benar berhijrah, sekiranya kita mahu benar-benar memperjuangkannya, nescaya Allah tidak akan sia-siakan. Bila-bila masa dalam setahun ini kita akan dapat hasil yang Allah janjikan itu. Baik di dalam membina rumahtangga cemerlang, dalam menyusun organisasi, dalam mentadbir perniagaan mahupun dalam mengatur pengikut dan masyarakat. Sama-samalah kita rebut kemenangan di bulan Muharram.

Oleh itu dengan kehadiran tahun baru 1431 Hijrah ini hendaklah wujud kesedaran untuk mengadakan peningkatan dari setiap peribadi muslim sama ada dalam hubungan dengan Allah atau untuk menyusun kehidupan dengan lebih teratur serta pandai memanfaatkan setiap kesempatan yang datang, kerana kesempatan yang baik tidak selalu wujud adakalanya muncul tiba-tiba dan lenyap tiba-tiba juga sebagimana pesan Rasulullah s.a.w : Rebutlah lima kesempatan sebelum datang lima yang lain.Masa mudamu sebelum masa tuamu,Masa sihatmu sebelum sakitmu,Masa kayamu sebelum fakirmu,Masa lapangmu sebelum datang kesempitanmu dan masa hidupmu sebelum datang kematianmu. [Riwayat Timidzi]

Dengan kehadiran Maal Hijrah jangan kita hanya ghairah mengadakan peringatan demi peringatan setiap kali menyambut kedatangannya tetapi kering tanpa penghayatan.Islam menghendaki adanya perubahan diri pada umatnya kearah yang lebih baik.Caranya sudah tentu dengan lebih meningkatkan azam dan semangat serta mengisi hari-hari mendatang dengan kegiatan yang lebih berfeadah.

Marilah menyambut kehadiran tahun baru 1431 Hijrah dengan rasa penuh kesyukuran dan gembira.Kita buka lembaran baru dengan menjadikan hari semalam sebagai pengalaman yang boleh mengajar kita sementara esok adalah harapan untuk kita sama-sama mencapai keredhanNya.

0 Komen:

Post a Comment

Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner