Sunday, January 31, 2010

Menguap

Menguap adalah satu perkara ataupun fenomena biasa yang berlaku kepada Manusia yang yang diciptakan dalam keadaan yang serba-serbi lemah ini.Siapa yang tidak pernah menguap bukan? Jelasnya, ianya pada kebiasaan adat manusia adalah menunjukkan bahawa mereka mungkin mengantuk, letih, bosan dan sebagainya. Jadi, jelasnya perbuatan menguap ini adalah simbol atau isyarat kepada keadaan yang tidak elok, negatif, lemah dan sebagainya.

Maka, banyak dalil yang menunjukkan bahawa menguap ini adalah perkara yang disukai oleh Syaitan kerana ianya melibatkan perbuatan yang tidak baik dan elok pada diri manusia. Bahkan itulah tugas Syaitan sepanjang masa. Mereka tidak akan berputus asa untuk menyesatkan anak Adam dengan pelbagai cara sehinggalah mereka meninggalkan agama Islam yang Hanif ini.

Namun begitu, mengantuk pula adalah merupakan diantara makhluk Allah S.W.T yang digunakan sebagai senjata untuk mententeramkan kaum Muslimin di dalam peperangan. Sirah al-Nabawiyyah juga telah menunjukkkan kepada kita secara jelas bagaimana Allah S.W.T telah mendatangkan ‘mengantuk’ ini terhadap golongan Muslimin dalam peperangan Badar al-Kubra sehingga mereka merasa segar, teguh dan tentera Muslimin mencapai kemenangan yang begitu bersejarah di medan Badar al-Kubra.

Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Anfal ayat ke-11 yang bermaksud: “[ingatlah], ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya telapak kaki(mu)”. [Memperteguh telapak kaki disini dapat juga diertikan dengan keteguhan hati dan keteguhan pendirian].

Di dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, bahawasanya Baginda Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T suka orang yang bersin, dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan 'Alhamdulillah', maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya pula mengucapkan 'Yarhamukallah!'. Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya."

Begitu juga dalam Hadith Riwayat Imam Muslim, daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk [melalui mulut yang terbuka].”

Nabi Muhammad S.A.W bersabda melalui Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi Daripada Abdullah bin Az-Zubair r. a., maksudnya: “Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi, kerana yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu.”

Dalam hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi pula, telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T membenci sesiapa yang mengangkat suara ketika menguap dan bersin.”

Melalui rantaian Hadith-hadith diatas, beberapa perkara yang berkaitan adab dan pengajaran yang boleh kita semua ambil di sini adalah:

1. Kita hendaklah berusaha menahan diri daripada menguap sekadar kemampuan kita terutama ketika solat kerana Syaitan begitu suka kepada orang yang menguap serta menghindari daripada gangguan di dalam solat.

2. Hendaklah meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap sama ada di dalam atau di luar solat supaya terhindar daripada dimasuki oleh syaitan melalui mulut yang terbuka terutama ketika menguap tersebut.

3. Adalah Makruh mengeluarkan suara dan mengangkat bunyi ketika menguap atau bersin. Ini kerana syaitan akan mentertawakan orang yang mengeluarkan bunyi apabila ketika menguap serta perkara itu dibenci oleh Allah S.W.T

4. Disunatkan ketika bersin mengucapkan “Alhamdulillah” dan kepada orang yang mendengarnya pula mengucapkan “Yarhamukallah”sebagai mendoakan kebaikan untuknya.. Sesungguhnya Allah S.W.T suka kepada hamba-Nya yang selalu berzikir dan ingat kepada Allah S.W.T pada setiap perbuatannya dan pekerjaannya.

5. Disunatkan juga untuk mengucapkan “Astaghfirullah”selepas menguap sebagai tanda untuk menghindarkan diri sendiri daripada syaitan. Wallahu a’lam…

1 Komen:

Abd Razak said...

Salam...

Menguap...saya pun tak terlepas dari menguap. Yang pentingnya ketika menguap kenalah ikut syarat yang Nabi telah ajarkan kepada kita agar kita tidak dikertawakan oleh syaitan.

Post a Comment

Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner