Tuesday, February 23, 2010

Ikhlas...


SIFAT ikhlas adalah antara sifat terpuji yang menghiasi peribadi Muslim bertakwa. Keikhlasan juga adalah asas penilaian di sisi Allah sama ada amalan dilaksanakan setiap Muslim diterima Allah atau sebaliknya.

Maknanya, keikhlasan menjadi penentu kepada kejayaan dan kebahagiaan Muslim di dunia dan di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya.[Surah al-Zumar:2].

Rasulullah tidak ketinggalan memperlihatkan kepada kita akan kepentingan sifat ikhlas dibajai dalam sanubari muslim melalui sabda bermaksud "Sesungguhnya segala amalan itu tergantung atas niat. Sesungguhnya bagi seseorang itu di atas apa yang dia niatkan. Maka sesiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya, dan juga sesiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya itu terpulang kepada niatnya dari penghijrahannya itu "[Hadis riwayat Bukhari].

Berdasarkan nas ini, dapat disimpulkan keikhlasan memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan amalan di sisi Allah.Yang lebih penting lagi ialah keikhlasan menjadi bukti kepada kesempurnaan dan ketulusan iman Muslim kepada Allah sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud "Sesiapa mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan diri pun kerana Allah, maka sesungguhnya dia mencapai kesempurnaan imannya.[Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi].

Sesungguhnya, sifat ikhlas amat penting disemai dan dibaja dalam hati setiap muslim dalam semua lapangan hidup agar dapat menempatkan dirinya di kalangan hamba Allah yang bertakwa.

Perlu disedari sifat ini tidak hanya perlu diserlahkan ketika pelaksanaan ibadat seperti solat, puasa, sedekah dan haji, malah niat yang ikhlas akan meningkatkan mutu amalan yang dianggap keduniaan semata-mata dan menjadikannya sebagai satu ibadat diberi ganjaran pahala.

Sebaliknya, niat tidak baik seperti riak atau ujub [mengharap pujian ramai] akan menjatuhkan nilai sesuatu amalan walaupun ia adalah amalan ibadat dan akan menukarkannya menjadi amal maksiat yang pastinya disediakan balasan seksaan pedih di akhirat kelak.

Sabda Baginda yang bermaksud "Sedikit daripada sifat riak itu adalah syirik. Maka sesiapa memusuhi wali Allah, nescaya dia memusuhi Allah. Sesungguhnya Allah amat mengasihi orang yang berbakti dan bertakwa serta tidak dikenali ramai akan hal ehwal dirinya. Jika mereka tidak ada dan hilang (ghaib) dalam mana-mana majlis, mereka tidak dicari, dan jika mereka hadir di situ, mereka tidak begitu dikenali ramai. Hati nurani mereka umpama lampu petunjuk yang menyuluh mereka keluar dari tempat gelap gelita".[Hadis riwayat Hakim].

Demikian gambaran indah diterangkan Rasulullah terhadap hamba-Nya yang mengikhlaskan diri kepada Allah. Mereka sama sekali tidak mengharapkan habuan dan kemewahan dunia, sebaliknya hanyalah limpahan keredaan Ilahi dan syurga Allah.

Itulah impian mereka dalam setiap detik kehidupan mereka yang sarat dengan pengabdian penuh tulus semata-mata kerana Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud  "Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).[Surah al-An'am:162-163].

Dari satu segi, gambaran orang tidak ikhlas dalam amalan mereka dan mengharapkan pujian manusia dan kemewahan dunia amatlah menggerunkan hati orang beriman.

Ini kerana Rasulullah sebagai rasul yang amat sayangkan umatnya awal-awal lagi sudah memperingatkan balasan buruk yang akan menimpa kepada orang tidak ikhlas.

Rasulullah bersabda yang bermaksud "Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian diasing-asingkan apa-apa dikerjakan kerana Allah dan yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka.[Hadis riwayat Baihaqi].

Islam adalah agama yang unik kerana setiap gerak geri dan perlakuan harian yang dilakukan muslim dianggap sebagai ibadat.

Oleh itu, setiap amalan sama ada berbentuk duniawi atau ukhrawi memperoleh ganjaran pahala jika diniatkan penuh ikhlas kerana Allah.

Hal ini ditegaskan sendiri Rasulullah dengan sabdanya yang bermaksud "Tiada sesuatu yang engkau belanjakan kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan engkau akan diberi pahala hinggakan apa yang engkau suapkan ke dalam mulut isteri engkau.[Hadis riwayat Bukhari].

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda maksudnya "Apa yang engkau beri makan kepada diri engkau sendiri ada padanya pahala sedekah, dan apa engkau beri makan kepada anak isteri engkau ada padanya pahala sedekah, dan juga apa yang engkau beri makan kepada khadam di rumah, ada padanya pahala sedekah".[Hadis riwayat Ahmad].

Ringkasnya, selama mana seseorang muslim itu menyerahkan dirinya kepada Allah dengan penuh keikhlasan tulus, maka selama itulah segala tingkah laku dan diamnya, tidur dan jaganya akan dinilai sebagai langkah menuju kepada keredaan Allah.

Jika begini kedudukan seorang ikhlas kepada Allah dengan pelbagai kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah, maka kita sebagai umat Islam sewajarnya menghiaskan diri dengan sifat mulia dalam usaha memartabatkan kembali kegemilangan ummah di persada dunia.

Harta dan kemewahan dunia tidak bererti, sebaliknya harta paling bernilai adalah hati yang ikhlas. Sebagaimana sabda Rasulullah saw

 "Sesungguhnya, Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu".[Hadis riwayat Muslim].

Allah tidak memandang kepada paras rupa,tetapi melihat kepada hati dan amalan... tidak ada beza seseorg di sisi Allah kecuali iman dan taqwa...

1 Komen:

Abd Razak said...

Salam...

Andaikata tiada keikhlasan dalam kita beribadah kepada Allah SWT maka tinggallah ibadah itu tanpa roh. Seperti mana sabda Rasulullah s.a.w., "Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas baginya dan bertujuan mendapat keredhaanNYA.

Post a Comment

Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner