Showing posts with label Peringatan. Show all posts
Showing posts with label Peringatan. Show all posts

Tuesday, October 26, 2010

Betapa besarnya....


BESARNYA makna DOA YANG KITA LUPAKAN- semasa duduk antara dua sujud.

Dalam tidak sedar.Setiap hari kita memohon didalam solat kita..tetapi sayangnya, kita hanya memohon tanpa memahami...sekadar tersebut dibibir, tetapi tidak tersentuh dari hati kita selama ini. Marilah kita mula menghayati ketika kita duduk di antara dua sujud semasa solat.Dengan rendah hati nyatakanlah permohonan ampun kepada Allah

Rabbighfirli (Tuhanku, ampuni aku)

Diamlah sejenak, buka dada dan diri kita untuk menerima ampunan dari Allah seperti membuka diri ketika merasakan hembusan angin sepoi-sepoi atau menerima curahan air hujan ketika kita masih kecil. Tetaplah membuka diri kita untuk menerima ampunan Allah. Ulangi permintaan itu beberapa kali hingga kita merasakan ketenangan Kemudian sampaikanlah permintaan kedua,

Warhamni (sayangi aku)

Diam dan tundukkanlah diri kita untuk menerima kasih-sayang Allah yang tak terhitung besarnya. Bukalah dada kita seluas-luasnya agar semakin banyak kasih-sayang Allah yang kita terima. Ulanglah beberapa kali hingga kita merasa cukup Berturut-turut sampaikanlah permintaan-permintaan berikut dengan cara sebagaimana tersebut di atas, satu persatu..

Wajburnii (tutuplah aib-aibku) Janganlah buka aib yang Allah dah tutupkan. Minta petunjuk dan hidayah Allah.

Warfa’nii (angkatlah darjatku) Mohonlah supaya darjat kita diangkat menjadi hamba Allah yang saleh dan solehah.

Warzuqnii (berilah aku rezeki) Ingatlah, Allah lah yang memberi REZEKI. Rezeki seseorang itu telah di tetapkan.

Wahdinii (berilah aku petunjuk) Mohonlah petunjuk dan hidayah Allah supaya di tunjuki jalan yang di redhai Allah.

Wa’Aafinii (sihatkan aku)

Mohonlah kesihatan supaya kita dapat beribadah.

Wa’fuannii (maafkan aku) Mohon keampunan dari Allah setiap masa.

Setelah selesai, diamlah sejenak lalu sampaikan rasa syukur kita kepada Allah. Betapa besarnya nilai sebuah doa ini. Sebuah doa yang kita hanya lupakan begitu sahaja. Dalam tidak kita sedar selama ini kita seperti sedang berpura-pura memohon sesuatu tetapi hati kita tidak hadir dan sungguh-sungguh

Monday, June 7, 2010

Biar pun marah jgn sampai mengaibkan seseorang

Imam Hasan al-Banna menyeru umat Islam, khasnya para da'ie agar menjaga lidah dan semua ini boleh dilakukan dengan meneropong kesilapan dan kelemahan diri mereka sendiri.

Apabila seseorang itu kerap bermuhasabah, meneropong kesilapan dirinya sendiri, mereka akan kurang membicarakan aib orang lain. Dengan ini, terciptalah dunia yang aman.

Bagaimanapun, perihal aib ini adalah termasuk dalam kategori aib peribadi. Namun, dalam hal salahlaku pemerintah yang melakukan kesilapan dalam pentadbirannya, maka hal ini tidaklah termasuk dalam perbincangan ini.

Ini kerana, perihal salahlaku pemerintah itu mestilah dicegah agar mudaratnya tidak akan melimpah ke atas masyarakat manusia seluruhnya.

Sepotong hadis Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa, "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah s.w.t akan menutup keaibannya di akhirat kelak."

Jadi, inilah antara kaedah untuk menghalang rahsia dan aib kita didedahkan Tuhan di hari akhirat kelak.

Ada sebab-sebabnya kenapakah kita suka membuka rahsia keaiban orang lain. Kebanyakannya sikap ini bermula daripada perasaan marah cemburu atau iri hati.

Lalu, meluap-luaplah perasaan untuk menjatuhkan maruah, imej dan reputasi orang lain di dalam kerjaya mereka misalnya.

Padahal, keaiban dan kelemahan seseorang itu memang berlaku dalam urusan Allah. Tuhan sendiri telah menyatakan bahawa manusia itu dicipta dalam seribu kekurangan dan mereka tidak sempurna.

"Wa khuliqal insanu dha'ifan - dan diciptakan manusia itu dalam keadaan daif."

Kita sendiri mesti ada kelemahan. Maka sebab itulah persaudaraan itu penting agar dengan itu kelemahan kita akan ditampung oleh kekuatan orang lain. Dan, kekuatan kita menampung kelemahan orang lain.

Tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Apa yang menjadi masalah ialah manusia itu sendiri berasa dirinya cukup sempurna lalu dia angkuh dengan pemberian Tuhannya.

Maka jelaslah di sini bahawa bahaya lidah berpunca daripada hati yang tidak bersih, suka menghina orang lain kerana berasa dirinya sudah baik.

Sekali peristiwa, tersebutlah kisah di mana Tuhan mahu mencipta makhluk yang baru, iaitu Nabi Adam a.s. Pada ketika itu, diriwayatkan bahawa Iblis pada ketika itu digelar Azazil dan dia menjadi guru kepada para malaikat lantaran kelebihan ilmunya.

Iblis berasakan bahawa tiada orang yang boleh menandingi kesolehannya, kewarakannya dan ilmunya. Sehinggalah dengan tiba-tiba tercipta Adam a.s.

Ekoran cemburu, marah dan iri hati itulah, maka Iblis sampai sanggup menghina Adam a.s dengan katanya, "Aku lebih baik daripadanya (Adam). Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakan dia daripada tanah!"

Demikianlah kata Iblis ketika dia diperintahkan Tuhan untuk sujud bersama-sama malaikat ke atas Adam a.s itu.

Jelas di sini. Ketika hati tidak bersih, jiwa dibalut rasa angkuh, maka lidah pun secara tidak langsung akan lebih mudah menghina orang lain.

Sedangkan, jelas wujud arahan di dalam al-Quran yang memerintahkan kita agar jangan hina orang lain. Ini kerana, mungkin yang dihina itu lebih baik daripada si penghina.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan itu) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujurat: 11 - 12]

Dengan menjaga lidah, maka hubungan persaudaraan terpelihara. Ini kerana, setiap orang tidak akan mencederakan perasaan orang lain melalui kata-kata.

Dan, inilah hakikat untuk mengembangkan rasa persaudaraan Islam sejagat. Dengan lidah persaudaraan terhakis dan melalui lidah jugalah ikatan persaudaraan kembali terjalin.

Hubungan ukhwah, perpaduan antara Islam ini jangan dilihat dari sudut yang kecil saja seperti hubungan kejiranan dan hubungan di tempat kerja semata-mata.

Berkatalah yang baik-baik sahaja jika kita ingin berbicara, maka pastikanlah bahawa isi dan inti percakapan itu cuma yang sarat terisi dengan kalimah yang baik-baik sahaja, menyeru ke arah kebaikan dan mengajak orang-ramai meninggalkan segala yang merosakkan amalan, fikiran dan jiwa dan anggota tubuh badan.

Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, ".. sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka katakanlah hal-hal yang baik atau lebih baik diam sahaja." Apabila seseorang itu berdiam, dia akan terus-menerus berzikir, berwirid. Semua ini menunjukkan bahawa waktu seseorang Muslim itu sangat berharga dan setiap masa yang berlalu tidak digunakan ke arah yang tidak berfaedah.

Apabila berbicara, mereka mengungkapkan hal-hal yang baik-baik. Jika berdiam diri, mereka akan berzikir secara rahsia.


Tuesday, April 6, 2010

SoLaT Di AWAL WaKtu...Kita BagaiMana?


Adakah kita sedaya upaya untuk mengerjakan solat-solat kita tepat pada waktunya..?

walaupun tiada sebarang keuzuran..
tiada sebarang alasan..
Tiada sedikitpun halangan..
Sekadar merayau kesana-kemari..
Hanya bermalas-malasan diatas katiL..
Hanya bersembang-sembang kosong..
mengadap Laptop..
Jika itu alasannya..tidak patut kita melewat-lewatkan masa mendiriKan solat..

Apa salahnya kedengaran sahaja azan berkumandang, bersegera mengambil wudhu dan tunaikan lah solat..

Janganlah bertangguh..

Nanti..
sekejaP..
kejaP Lagi..

itu tidak patut berlaku kepada solat kita..
Solat itu ‘Pertemuan’ kita dengan Allah..
Bicara’ kita pada Rabb yang Maha Hebat itu..
Solat itu tanda Cinta kepada Allah ..
Solat itu tanda rindu kepada Allah..

Jika kita Cinta..Pasti ingin selalu bertemu..
Jika Kita rasa Rindu pasti tidak sabar-sabar untuk bertemu..
meluah rasa Cinta dan rindu..
tertunggu-tunggu episod pertemuan yang seterusnya..

Kita sayang ALLAH..
Kita cinta ALLAH..
Kita rindu ALLAH..

Tunaikanlah solat di awal waktu..

solat subuh seawal waktunya..
kemudian hati tidak sabar menunggu waktu zuhur..
Kemudian..hati gelisah menunggu waktu asar..
Hati gundah menanti waktu maghrib..
Hati berdebar menghitung detik-detik untuk menunaikan solat isyak..

Subhanallah..
Alhamdulillah..


Jika kita menunggu ‘waktu pertemuan itu’..pasti kita tidak ingin bertangguh ..

Kita bertangguh mengerjakan solat..
Allah juga akan ‘bertangguh’ memberi pertolonganNya..
Jadi, sila jangan pelik jika jika selalu terhimpit dengan pelbagai kesusahan hidup..
Selalu tidak tenang..
Serabut..
Dihurung masalah..

Cuba MuhasaBaH diri daN periKsa soLaT kiTa..
Bukankah dengan solat dapat mententramkan hati dan jiwa apabila kita ditimpa kesusahan.
 Firman Allah dalam Surah Al Maarij : 19- 22 “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah,  Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut  Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang (solat)”

Sunday, January 31, 2010

Menguap

Menguap adalah satu perkara ataupun fenomena biasa yang berlaku kepada Manusia yang yang diciptakan dalam keadaan yang serba-serbi lemah ini.Siapa yang tidak pernah menguap bukan? Jelasnya, ianya pada kebiasaan adat manusia adalah menunjukkan bahawa mereka mungkin mengantuk, letih, bosan dan sebagainya. Jadi, jelasnya perbuatan menguap ini adalah simbol atau isyarat kepada keadaan yang tidak elok, negatif, lemah dan sebagainya.

Maka, banyak dalil yang menunjukkan bahawa menguap ini adalah perkara yang disukai oleh Syaitan kerana ianya melibatkan perbuatan yang tidak baik dan elok pada diri manusia. Bahkan itulah tugas Syaitan sepanjang masa. Mereka tidak akan berputus asa untuk menyesatkan anak Adam dengan pelbagai cara sehinggalah mereka meninggalkan agama Islam yang Hanif ini.

Namun begitu, mengantuk pula adalah merupakan diantara makhluk Allah S.W.T yang digunakan sebagai senjata untuk mententeramkan kaum Muslimin di dalam peperangan. Sirah al-Nabawiyyah juga telah menunjukkkan kepada kita secara jelas bagaimana Allah S.W.T telah mendatangkan ‘mengantuk’ ini terhadap golongan Muslimin dalam peperangan Badar al-Kubra sehingga mereka merasa segar, teguh dan tentera Muslimin mencapai kemenangan yang begitu bersejarah di medan Badar al-Kubra.

Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Anfal ayat ke-11 yang bermaksud: “[ingatlah], ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya telapak kaki(mu)”. [Memperteguh telapak kaki disini dapat juga diertikan dengan keteguhan hati dan keteguhan pendirian].

Di dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, bahawasanya Baginda Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T suka orang yang bersin, dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan 'Alhamdulillah', maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya pula mengucapkan 'Yarhamukallah!'. Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya."

Begitu juga dalam Hadith Riwayat Imam Muslim, daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk [melalui mulut yang terbuka].”

Nabi Muhammad S.A.W bersabda melalui Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi Daripada Abdullah bin Az-Zubair r. a., maksudnya: “Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi, kerana yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu.”

Dalam hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi pula, telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T membenci sesiapa yang mengangkat suara ketika menguap dan bersin.”

Melalui rantaian Hadith-hadith diatas, beberapa perkara yang berkaitan adab dan pengajaran yang boleh kita semua ambil di sini adalah:

1. Kita hendaklah berusaha menahan diri daripada menguap sekadar kemampuan kita terutama ketika solat kerana Syaitan begitu suka kepada orang yang menguap serta menghindari daripada gangguan di dalam solat.

2. Hendaklah meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap sama ada di dalam atau di luar solat supaya terhindar daripada dimasuki oleh syaitan melalui mulut yang terbuka terutama ketika menguap tersebut.

3. Adalah Makruh mengeluarkan suara dan mengangkat bunyi ketika menguap atau bersin. Ini kerana syaitan akan mentertawakan orang yang mengeluarkan bunyi apabila ketika menguap serta perkara itu dibenci oleh Allah S.W.T

4. Disunatkan ketika bersin mengucapkan “Alhamdulillah” dan kepada orang yang mendengarnya pula mengucapkan “Yarhamukallah”sebagai mendoakan kebaikan untuknya.. Sesungguhnya Allah S.W.T suka kepada hamba-Nya yang selalu berzikir dan ingat kepada Allah S.W.T pada setiap perbuatannya dan pekerjaannya.

5. Disunatkan juga untuk mengucapkan “Astaghfirullah”selepas menguap sebagai tanda untuk menghindarkan diri sendiri daripada syaitan. Wallahu a’lam…

Monday, January 11, 2010

UjianMu

Di dalam menjalankan kehidupan ini kita tidak sunyi daripada susah maupun senang, daripada suka ataupun duka, semuanya datang silih berganti dan ini dinamakan ujian hidup.

Biasanya manusia tidak akan tahu erti kesenangan dan tidak akan tahu erti kesakitan kecuali diuji terlebih dahulu.Orang yang biasa senang, meraka ini akan merasa susah sekali apabila diuji Allah dan hanya orang-orang yang pernah menderita kesakitan akan tahu menilai erti kesakitan dan menilai kehidupan yang sebenarnya.

Namun sebaliknya yang berlaku, orang-orang yang hidup didunia ini mereka tidak tahu menilai erti kehidupan melainkan setelah mereka memejamkan mata untuk selamanya.Justru itu Allah menurunkan ujian demi ujian kepada hambaNya untuk menguji mana diantara hambaNya benar-benar beriman kepada Allah ataupun yang tewas dalam ujian ini.

Lantaran itulah Rasulullah s.a.w bersabda, "Tiada sesuatu yang menimpa orang-orang yang beriman kepada Allah daripada bala bencana ataupun kesedihan demi kesedihan,kerungsingan atau duri yang mencucuk tubuh badannya sekalipun melainkan Allah hendak menghapuskan dosa"

Segala musibah dan bencana yang menimpa hinggakan duri yang mencucuk tubuh itu melainkan semuanya yang Allah beri adalah untuk menebus dosa yang kita lakukan kepada Allah. Justeru itu apabila ditimpa bencana amalkanlah dua perkara ini iaitu apabila Allah uji kita dengan kesenangan,kekayaan kita hendaklah bersyukur tetapi sebaliknya apabila Allah uji kita dengan kesusahan,kemiskinan dan kepayahan kita bersabar kepada Allah.Firman Allah yang bermaksud "Demi sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan berasa) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar." [Surah al-Baqarah:155].

Dua perkara ini amat penting dalam hidup kita dengan menerima syukur dan sabar ketika kita ditimpa musibah oleh Allah, sebab itu Rasulullah s.a.w telah berpesan, "Bila ia mendapat kesenangan maka ia bersyukur kerana syukur itu adalah lebih baik baginya, andaikata dia ditimpa musibah ia bersabar maka sabar itu lebih baik baginya"

Sebenarnya bila Allah uji musibah, Allah timpakan ujian demi ujian kepada kita ada tiga kelebihan yang Allah beri kepada hambaNya

1. Rasulullah berpesan setiap musibah yang Allah beri pada kita tidak kiralah sakit,susah ataupun Allah mengambil nyawa orang yang kita sayang. semua itu kata nabi adalah untuk mengangkat darjat orang-orang yang beriman disisiNya.

2. Allah hendak menggandakan pahala kepada hambaNya

3. Allah hendak menolong kita mengampunkan segala dosa-dosa yang kita lakukan selama ini.Disini apa yang penting janganlah kita melihat orang lain yang sering ditimpa pelbagai kesusahan maka kita menganggap orang tersebut banyak melakukan dosa, tidak semestinya Allah uji mereka bertubi-tubi itu sebab mereka itu banyak dosa tetapi sebenarnya Allah sayang mereka.

Mana lebih baik, kita tanya diri kita? Allah uji kita supaya Allah mengampunkan dosa-dosa kita ataupun Allah tidak uji kita dan Allah biarkan kita dengan limpahan kekayaan dan kesenangan akhirnya kita menjadi hamba yang sombong, dan dengan kekayaan serta kesenangan itu kita menghembuskan nafas yang terakhir dalam keadaan kita tidak sempat untuk bertaubat dan Allah tidak mengampunkan dosa. ataupun Allah uji kita supaya Allah mengampunkan dosa dan Allah mengangkat darjat hambanya.


Nabi mengatakan jika kamu diuji dengan musibah, kamu mengucapkan "innaalillaahi wainnaa ilaihi raajiuun". Ucapan istirjaa tersebut bermaksud kami ini adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada Allahlah kami akan dikembalikan.Nabi juga berpesan bila kamu ditimpa musibah kamu ucapkan istirjaa dan kamu berdoa kepada allah dengan sepotong doa yang bermaksud " Ya Allah, ya tuhanku kau berilah pahala didalam musibah yang kau uji kepada aku dan gantikan kepada aku ya Allah dengan ganti yang lebih baik."

Namun jangan lupa tingkatkan kesabaran, bila sabar Allah akan tingkatkan darjat kita.Bagaimana untuk kita sabar dengan ujian demi ujian yang menimpa? Apabila kita didalam kesusahan dan ditimpa musibah maka berdoalah kepada Allah, "Ya Allah limpahkanlah kepadaku kesabaran demi kesabaran dan matikan kami dalam keadaan kami berserah diri kepadaMu." [Surah At-Araf : 127]

Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa kita dan tingkatkan darjat kita. Oleh itu bersabarlah kerana sabar itu mendapat ganjaran syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila Allah menguji seorang hambaNya dengan buta kedua matanya, kemudian dia sabar, maka Aku akan menggantikannya dengan Syurga [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]

Friday, November 13, 2009

Celikkah mata hati

Jika ditanyakan siapa kita? Ramai yang tahu bahawa kita adalah hamba Allah. Namun berapa ramai antara kita yang sedar bahawa kita hamba Allah? Ya, ramai manusia hanya tahu tetapi tidak sedar bahawa dirinya hamba Allah.

Justeru, ramai yang berlagak seolah-olah ‘tuan’ dalam kehidupan sehari-hari. Sikap angkuh, tamak, pemarah dan bangga diri yang sepatutnya tidak ada pada diri seorang hamba, menjadi tabiat dan budaya dalam kehidupan. Ya, tahu dan sedar adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Tahu letaknya di akal, dengan memiliki ilmu dan maklumat. Manakala kesedaran letaknya di hati ,dengan memiliki penghayatan dan hikmah. Ini menjelaskan mengapa ada pelajar yang lulus A1 dalam mata pelajaran agama Islam tetapi tidak solat. Dia mungkin tahu tentang kebaikan solat tetapi tidak sedar akan kebaikan itu. Tahu, hanya ‘di permukaan’, yakni baru bersifat pengetahuan dan teori. Manakala sedar adalah mendalam, melibatkan kemahuan dan amali.

Sayidina Ali k.w. yang antara lain menyebut “Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur (mimpi), bila mati baru mereka terjaga (tersedar).” Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya hanya apabila seseorang itu mati kelak barulah hakikat kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya. Ketika itu barulah si mati dapat “melihat” hidup dengan jelas dan tepat.

Setelah diri berada di alam barzakh (alam kubur), barulah manusia insaf apakah yang sebenarnya yang perlu dicari dan dimiliki dalam hidupnya ketika di dunia dahulu. Aneh, hanya apabila meninggal dunia, baru manusia menyedari tentang hakikat hidup di dunia. Seperti kata pepatah, “Setelah terantuk (mati), barulah dia tengadah (sedar).” Rupa-rupanya apa yang diburu semasa hidup di dunia hanyalah dosa. Manakala apa yang dihindarinya pula adalah pahala.

Betapa tersasarnya tujuan hidup selama di dunia akibat buta mata hati. Dalam alam kubur, ketika debu-debu tanah menjadi ‘bumi dan langit’, barulah kita terjaga daripada “mimpi” selama ini. Sayangnya, pada ketika itu, segala-galanya sudah terlambat. Apa gunanya sedar di alam kubur kerana saat itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki keadaan. Sepatutnya kesedaran semacam itu perlu kita miliki sewaktu hidup di dunia ini. Jelaslah, sekiranya hidup di dunia dilalui dengan penuh kesedaran, barulah ada kebaikan dan manfaatnya. Sebaliknya, sekiranya kesedaran itu hanya dimiliki di alam kubur, maka segala-galanya sudah terlambat!

Kesedaran itu terletak di mana? Apabila Sayidina Ali menggunakan istilah ‘tidur’ dan ‘terjaga’, apakah beliau merujuk kepada mata? Selalunya, ketika hidup mata seseorang terbuka (terjaga) dan apabila mati matanya tertutup. Tetapi anehnya, Sayidina Ali menyatakan sebaliknya bila hidup, yakni ketika mata terbuka itu yang dikatakan bermimpi manakala apabila mati (mata tertutup) dikatakan terjaga.

Apa yang dimaksudkan oleh Sayidina Ali dengan ‘terjaga’ (tersedar) tidaklah merujuk kepada mata di kepala, sebaliknya merujuk kepada mata di hati (di dalam dada). Ramai manusia yang hidup dengan mata hati yang tertutup. Bila mati baru mata hati itu terbuka. Mata hati inilah yang disebut dalam al-Quran sebagai yang ‘berada di dalam dada’. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu dengan hati yang mereka miliki dapat memahaminya atau dengan telinga yang mereka miliki dapat mendengar semuanya?

Sesungguhnya (mereka yang tidak memahaminya) bukanlah kerana mata yang buta, tetapi yang buta itu ialah hati yang tersembunyi di dada.” (Surah al-Haj 22: 46) Seseorang akan memiliki satu kesedaran hanya apabila mata hatinya terbuka. Dia melihat sesuatu bukan hanya dengan pandangan mata kepala malah disertai dengan pandangan mata hati. Pandangan mata hati adalah pandangan yang paling tepat dan benar kerana ia mampu melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat, dapat menerobos yang batin daripada yang lahir dan mampu membezakan antara yang hakiki dengan yang ilusi.

Jasad yang tercipta dari tanah, bukanlah hakikat diri kita. Ia akan kedut, reput bahkan hancur akan dimamah ulat, cacing dan tanah. Tetapi diri kita yang hakiki ialah budi pekerti kita, yang tidak akan hancur selama-lamanya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Apa yang dilihat dengan pandangan mata hati inilah yang dikenang oleh manusia dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah tidak menilai rupa lahir kamu tetapi Allah menilai amalan dan hati kamu.”

Demikianlah apa yang dikatakan celik mata hati atau kesedaran. Tegasnya, mata hati akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Pencipta hidup – Allah. Inilah pandangan hidup yang paling jelas tepat. Bermula dengan pandangan yang tepat inilah kita boleh menjalani hidup dengan sebaik-baiknya.

Jika tidak, terjadilah apa yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami sediakan bagi neraka jahanam itu golongan jin dan manusia yang mereka itu mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu ibarat binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf :179).

Sunday, July 19, 2009

Masjid dan Cinta


Dari abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda " Secinta-cinta tempat di dalam sesuatu negeri di sisi Allah Taala ialah masjid-masjidnya, dan sebenci-benci tempat di dalam sesuatu negeri itu disisi Allah ialah pasar-pasarnya [Riwayat Muslim]

Hidupkanlah mata hati kita dan renungilah dengan kaca mata iman, apakah yang telah diisytiharkan oleh Rasulullah s.a.w melalui hadis ini?

Jika kita benar-benar mempunyai iman di dalam hati sanubari kita, dan bukan sekadar tercatat di kad pengenalan kita, pastilah kita akan amat mencintai Allah lebih daripada segalanya. Dan jika cinta kepada Allah adalah benar, pasti kita akan cinta dan suka sekali untuk berada di tempat yang paling dicintai oleh Allah. sebagaimana firman Allah yang bermaksud : dan orang yang beriman itu bersangatan cinta mereka kepad Allah [surah al-Baqarah: 165]

Bukankah sesorg itu amat sensetif dengan kesukaan orang yang dicintainya? dan sesorang itu akan berusaha sedaya upaya untuk membuat orang yan dicintainya itu gembira. Segala tumpuan akan dicurahkan untuk memastikan orang yang dicintai itu supaya gembira, suka dan bahagia.

Itulah syarat cinta dan bukti kecintaan yang sejati. Kaedah dan perinsip cinta ialah apa-apa sahaja yang ada kaitan dengan orang yang dicintai, maka akan turut dicintai sama.

Al-Syaikh Jalaudin al-Rumi pernah berkata"sesungguhnya cinta akan mengubah yang pahit menjadi manis,tanah menjadi emas,yang keruh menjadi bening kecintaanlah yang melunakkan besi,mencairkan batu, membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan padanya.

Beliau berkata lagi"Tidak sesiapa berhak untuk menjadi orang yang dicintai,kerana untuk dicintai memerlukan pelbagai sifat dan keutamaan yang tidak diberikan kepada setiap orang. Akan tetapi, hendaklah setiap orang mengambil bahagianya daripada cinta dan menikmatinya.Jika tidak mampu menjadi orang yang dicintai, maka hendaklah kita mampu menjadi orang yang mencintai.

Justeru, kenapa kita tidak bersungguh-sungguh untuk menyukakan Allah dengan sering berada didalamnya dan memakmurkan rumah-rumah Allah.Dengan bersungguh-sungguh memakmurkan rumah Allah dengan menghadirkan hati dan melaksanakan amalan-amalan soleh didalamnya, maka semakin besarlah peluang kita mengembirakan Allah dan seterusnya mencapai cinta Allah.

Setelah mengetahui bahawa masjid ialah tempat yang paling Allah cintai, adakah hati kita masih berasa berat untuk memperbanyakan masa kita di masjid? Adakah setelah mengetahui bahawa masjid ialah tempat yang paling dicintai oleh Allah, kekuatan cinta Allah yang kita dakwa bertakhta di hati kita, mula berkobar dan mendorong kita untuk sentiasa berada dirumah-rumah Allah?

Cuba kita lihat, berapa banyakkah masa yang kita habiskan sehari-hari di masjid berbanding dengan masa yang kita habiskan di pasar-pasar, dikedai-kedai dan di kompleks membeli belah? Antara dua tempat ini, yang manakah lebih banyak masa kita habiskan? Antara dua tempat ini, yang manakah hati kita lebih berasa seronok didalamnya? Antara dua tempat ini, yang mana satukah hati kita tertambat dan rindu kita terpaut?

Pernahkah kita tanyakan soalan ini kepada diri, hati dan iman kita? Benarkah selama ini kita cinta kepada Allah?
Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner