Sunday, July 26, 2009

Mahkamah hati

Bukankah kita sering diperingatkan, berani kerana benar, takut kerana salah? Benar itu menjadi sumber keberanian. Salah itu punca ketakutan. Jangan dibiarkan hidup dalam ketakutan, akibat terus menerus melakukan kesalahan.

Bersalah menimbulkan rasa bersalah. Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi bersalah kepada Allah.

Mahkamah pengadilan itu ada tiga. Pertama, mahkamah di dunia, yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya adalah manusia seperti kita juga. Kekadang, dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia ini dapat diperdayakan. Telah sering kali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula terhukum. Justeru, masyhurlah kata hukama, tidak ada keadilan yang muktamad dan mutlak di dunia ini. Jerung sering bolos, bilis sahaja sering di gilis.

Kedua, mahkamah di akhirat, yang hakimnya Allah yang Maha Adil. Di sana nanti, yang benar akan terserlah, yang salah pasti kalah. Akan ketara segalanya walau bagaimana pandai sekalipun bersilat kata. Tidak payah didatangkan saksi atau pun barang bukti kerana apa yang ada pada diri akan untuk menjadi saksi. Kulit, tangan, kaki dan segala anggota akan bercakap. Rupa-rupanya yang kita jaga, elus dan belai kini, akan mendakwa kita di mahsyar nanti. Dan di sanalah nanti akan tertegak keadilan hakiki. Â Ketiga ialah mahkamah hati. Saksi, pendakwa dan hakimnya adalah hati sendiri. Hati kecil yang sentiasa bersuara walau cuba dipendamkan oleh tuannya. Protesnya terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrahnya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke penjara jiwa yang lebih menyakitkan. Ya, dosa boleh disembunyikan daripada pengetahuan manusia, tetapi tidak akan mampu disembunyikan daripada Allah dan hati sendiri.

Kita mungkin mampu menipu manusia, tetapi kita tidak akan mampu menipu Allah dan diri sendiri. Jadi, ke mana lagi kita ingin menyembunyikan diri ketika dipanggil untuk dibicarakan di mahkamah hati? Setia masa, setiap ketika dan di setiap suasana hati kecil akan bersuara. Tidak tega dengan kesalahan, tidak rela dengan kemungkaran. Dosa itu derita. Kerana yang salah atau dosa itu sangat memberi kesan pada jiwa. Bila kita berdosa hakikatnya kita melakukan dua perlanggaran. Pertama, perlanggaran ke atas fitrah hati yang tabii. Kedua, perlanggaran terhadap Allah, zat yang Maha Tinggi.

Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan. Jangan dilawan fitrah sendiri yang menyukai kebaikan dan membenci kejahatan. Fitrah ini adalah kurniaan Allah, yang dengannya seseorang boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah sukakan kebaikan itu disubur, dididik dan dipimpin, maka jalan hidup akan harmoni dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu dibiarkan, diabaikan apatah lagi jika ditentang, maka tidak akan ada lagi kebahagiaan dan ketenangan.

Jadi, hati-hati menjaga hati, agar hati itu tidak mati! Rasulullah SAW sangat arif tentang hakikat ini. Justeru, apabila beliau ditanyakan, apakah itu dosa? Baginda menjawab: Dosa adalah sesuatu yang menyebabkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya. Oleh itu, awaslah wahai diri. Dosa itu adalah racun. Bahananya akan merosak secara perlahan atau mendadak.

Kata ulama, mujurlah dosa itu tidak berbau, jika tidak, tidak akan ada siapa yang sudi mendekati kita. Justeru, sering-seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan hati kecil sendiri. Hati itu tidak akan berdusta selagi ia tidak mati!

Sunday, July 19, 2009

Masjid dan Cinta


Dari abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda " Secinta-cinta tempat di dalam sesuatu negeri di sisi Allah Taala ialah masjid-masjidnya, dan sebenci-benci tempat di dalam sesuatu negeri itu disisi Allah ialah pasar-pasarnya [Riwayat Muslim]

Hidupkanlah mata hati kita dan renungilah dengan kaca mata iman, apakah yang telah diisytiharkan oleh Rasulullah s.a.w melalui hadis ini?

Jika kita benar-benar mempunyai iman di dalam hati sanubari kita, dan bukan sekadar tercatat di kad pengenalan kita, pastilah kita akan amat mencintai Allah lebih daripada segalanya. Dan jika cinta kepada Allah adalah benar, pasti kita akan cinta dan suka sekali untuk berada di tempat yang paling dicintai oleh Allah. sebagaimana firman Allah yang bermaksud : dan orang yang beriman itu bersangatan cinta mereka kepad Allah [surah al-Baqarah: 165]

Bukankah sesorg itu amat sensetif dengan kesukaan orang yang dicintainya? dan sesorang itu akan berusaha sedaya upaya untuk membuat orang yan dicintainya itu gembira. Segala tumpuan akan dicurahkan untuk memastikan orang yang dicintai itu supaya gembira, suka dan bahagia.

Itulah syarat cinta dan bukti kecintaan yang sejati. Kaedah dan perinsip cinta ialah apa-apa sahaja yang ada kaitan dengan orang yang dicintai, maka akan turut dicintai sama.

Al-Syaikh Jalaudin al-Rumi pernah berkata"sesungguhnya cinta akan mengubah yang pahit menjadi manis,tanah menjadi emas,yang keruh menjadi bening kecintaanlah yang melunakkan besi,mencairkan batu, membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan padanya.

Beliau berkata lagi"Tidak sesiapa berhak untuk menjadi orang yang dicintai,kerana untuk dicintai memerlukan pelbagai sifat dan keutamaan yang tidak diberikan kepada setiap orang. Akan tetapi, hendaklah setiap orang mengambil bahagianya daripada cinta dan menikmatinya.Jika tidak mampu menjadi orang yang dicintai, maka hendaklah kita mampu menjadi orang yang mencintai.

Justeru, kenapa kita tidak bersungguh-sungguh untuk menyukakan Allah dengan sering berada didalamnya dan memakmurkan rumah-rumah Allah.Dengan bersungguh-sungguh memakmurkan rumah Allah dengan menghadirkan hati dan melaksanakan amalan-amalan soleh didalamnya, maka semakin besarlah peluang kita mengembirakan Allah dan seterusnya mencapai cinta Allah.

Setelah mengetahui bahawa masjid ialah tempat yang paling Allah cintai, adakah hati kita masih berasa berat untuk memperbanyakan masa kita di masjid? Adakah setelah mengetahui bahawa masjid ialah tempat yang paling dicintai oleh Allah, kekuatan cinta Allah yang kita dakwa bertakhta di hati kita, mula berkobar dan mendorong kita untuk sentiasa berada dirumah-rumah Allah?

Cuba kita lihat, berapa banyakkah masa yang kita habiskan sehari-hari di masjid berbanding dengan masa yang kita habiskan di pasar-pasar, dikedai-kedai dan di kompleks membeli belah? Antara dua tempat ini, yang manakah lebih banyak masa kita habiskan? Antara dua tempat ini, yang manakah hati kita lebih berasa seronok didalamnya? Antara dua tempat ini, yang mana satukah hati kita tertambat dan rindu kita terpaut?

Pernahkah kita tanyakan soalan ini kepada diri, hati dan iman kita? Benarkah selama ini kita cinta kepada Allah?

Tuesday, July 14, 2009

Kemaafan dalam Islam

BERMAAF-MAAFAN adalah antara sifat terpuji yang perlu dilakukan sepanjang masa. Firman Allah bermaksud : “Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal-menghalalkan) lebih dekat kepada taqwa”. (Surah al-Baqarah, ayat 237)

Menurut Imam Al-Ghazali, pengertian maaf itu ialah apabila anda mempunyai hak untuk membalas, lalu anda gugurkan hak itu, dan bebaskan orang yang patut menerima balasan itu, dari hukum qisas atau hukum denda.

Dalam sebuah hadis qudsi Allah berfirman yang bermaksud : “Nabi Musa telah bertanya kepada Allah, wahai Tuhanku!, manakah hamba-Mu yang lebih mulia menurut pandanganMu?”

Allah berfirman: “Ialah orang yang apabila berkuasa (menguasai musuhnya) dapat segera memaafkan.”

Daripada hadis itu, Allah menjelaskan bahawa hamba yang mulia di sisi Allah adalah mereka yang berhati mulia, bersikap lembut, mempunyai toleransi tinggi dan bertolak ansur terhadap musuh.

Dia tidak bertindak membalas dendam atau sakit hati terhadap orang yang memusuhinya, walaupun telah ditawannya, melainkan memaafkannya kerana Allah semata-mata. Orang yang seperti inilah yang dikenali berhati emas, terpuji kedudukannya di sisi Allah. Memaafkan lawan di mana kita berada dalam kemenangan, kita berkuasa, tetapi tidak dapat bertindak sekehendak hati. Inilah sifat mulia dan terpuji.

Firman Allah lagi bermaksud : “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran, ayat 133-134)

Ayat itu membuktikan bahawa orang yang menahan kemarahannya, termasuk dalam golongan Muttaqin iaitu orang yang bertakwa kepada Allah. Tambahan pula Allah akan memberikan pengampunan kepada mereka, lalu menyediakan mereka balasan syurga. Alangkah besar dan hebatnya ganjaran bagi manusia pemaaf.

Kemaafan dalam Islam

Memaafkan kesalahan seseorang adalah tanda orang yang bertakwa.

Wajib memberi maaf jika telah diminta dan lebih baik lagi memaafkan meskipun tidak diminta.

Sifat ‘tak kenal maaf’ atau ‘tiada maaf bagimu’ adalah sifat syaitan. Ia akan membawa keretakan dan kerosakan dalam pergaulan bermasyarakat.

Masyarakat aman damai akan terwujud jika anggota masyarakat itu memiliki sikap pemaaf dan mengerti bahawa manusia tidak terlepas daripada salah dan silap.

Imam Al-Ghazali memberi tiga panduan bagi memadamkan api kemarahan dan melahirkan sifat pemaaf.

Apabila marah hendaklah mengucap “A’uzubillahiminassyaitanirrajim” (aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam).

Apabila marah itu muncul ketika berdiri, maka hendaklah segera duduk, jika duduk hendaklah segera berbaring.

Orang yang sedang marah, sunat baginya mengambil wuduk dengan air yang dingin. Hal ini kerana kemarahan itu berpunca daripada api, manakala api itu tidak boleh dipadamkan melainkan dengan air.

Monday, July 13, 2009

Ikut keperluan bukan kemampuan

Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud: “Saya memastikan adanya tiga bagi tiga: Bagi orang yang sibuk dengan dunia, yang rakus kepada dunia dan yang bakhil dengan dunia, maka pasti dia akan menderita kekurangan yang tidak ada cukupnya, yang sibuk yang tidak ada lapangnya dan risau yang tidak ada senangnya.”

Begitulah peringatan Rasulullah kepada umatnya yang Allah kurniakan rezeki yang melimpah ruah. Baginda sangat bimbang dengan si kaya yang bersifat loba dengan harta dan tidak mahu membantu si papa, mereka ini dilaknat oleh Allah swt. Jika mereka bersikap demikian nescaya walaupun kaya harta namun jiwa mereka miskin. Sentiasa tiada merasa cukup dan puas dengan apa yang ada. Justeru itu mereka sibuk memburu dunia dengan rakusnya dan bersikap bakhil dengan dunia. Akhirnya mereka tiada menemui kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup.

Jiwa terasa kosong dan menderita. Dunia yang dikejar telah menipudaya dan mengecewakannya. Lebih malang lagi ialah mereka yang miskin harta dan miskin jiwa, iaitu si miskin yang tidak redha dengan kemiskinannya. Mereka menganggap Tuhan tidak adil kerana membiarkan hidup mereka melarat. Sedarkah mereka bahawa junjungan besar juga tergolong di dalam orang-orang yang miskin. Baginda senang dengan cara hidup sedemikian, melalui cara inilah akan mendekatkan dirinya dengan Tuhan. Kiranya baginda ingin kaya cukup dengan mukjizat yang Allah kurniakan padanya, gunung Uhud boleh bertukar menjadi emas dengan sekelip mata.

Siti Fatimah, anak kesayangan Rasulullah, diasuh oleh baginda hidup di dalam serba kekurangan dan mengambil apa yang perlu saja di atas dunia ini. Dia dididik begitu rupa supaya hatinya tidak cinta dunia dan supaya menjadi wanita contoh kepada wanita lainnya.

Seseorang yang kukuh imannya di dada akan menjadi orang yang kaya jiwa walaupun miskin harta. Apabila jiwa kaya, rumah sempit terasa luas, hidup miskin terasa kaya sebab hatinya telah tertanam sifat redha dan Qanaah (memadai dengan apa yang ada).

Oleh itu jangan rasa dukacita dengan kemiskinan harta, sebaliknya bersedihlah dengan kemiskinan jiwa. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya makhluk yang sangat dikasihi oleh Allah ialah orang yang fakir miskin, sebab manusia yang amat dikasihi Allah ialah para nabi, maka Allah menguji mereka dengan kefakiran dan kemiskinan.” Riwayat Abdullah bin Umar.

Malah baginda selalu berdoa kepada Allah agar dimatikan di dalam golongan orang miskin yang redha dengan kemiskinannya serta dibangkitkan di Akhirat nanti bersama-sama orang yang miskin. Doanya yang bermaksud: “Ya Allah matikanlah aku sebagai orang fakir miskin, dan janganlah matikan aku kaya, dan kumpulkanlah aku di mahsyar dalam golongan orang-orang miskin pada hari Kiamat. Maka sesungguhnya yang amat celaka ialah orang yang miskin di dunia dan terseksa di akhirat.”

Seboleh-bolehnya lemparkanlah sejauh-jauhnya angan-angan untuk memiliki rumah mewah di dunia ini. Seandainya kita dikurniakan rumah besar, pastilah lebih banyak harta yang mesti dicari bagi mengisi setiap ruang rumah. Jangan jadikan rumah kita seperti muzium, dihiasi dengan patung-patung atau binatang-binatang buas yang dikeraskan atau mini bar ataupun gambar-gambar lucah yang bergantungan di dinding.

Rumah yang menyimpan barang-barang haram tidak akan dijengahi oleh malaikat Rahmat. Tidak hairanlah timbulnya berbagai-bagai persengketaan di antara ahli kerana seluruh isi rumah dihiasi dengan kawan-kawan syaitan. Gantungkanlah ayat-ayat suci Al Quran atau pemandangan-pemandangan alam yang menyejukkan mata memandang di samping dapat mengingatkan kepada kebesaran Allah swt.

Kalau kita bijak berbelanja, tidak timbul masalah kesempitan wang akibat membeli barang-barang yang tidak perlu. Sebaik-baik cara untuk berbelanja ialah dengan menyenaraikan dahulu apa yang hendak dibeli beserta anggaran harganya. Selalu tanyakan diri setiap kali hendak membeli sesuatu: “Perlukah atau tidak aku membeli benda-benda ini?” Sekiranya anda rasakan bahawa sesuatu benda itu amat penting untuk keperluan keluarga maka barulah dibeli. Seelok-eloknya berbincang dahulu dengan suami sebelum membeli sesuatu semoga keputusan yang diambil itu adalah yang terbaik dan bukan atas dasar paksaan.

Sebaliknya tabiat yang menganggap diri anda ‘mampu’ selalunya membawa kepada pembaziran. Akhirnya mengeluh sendiri kerana membeli benda-benda yang tidak menentu.

Kepada para isteri, sedarlah bahawa perhiasan yang cantik-cantik itu hanya untuk tatapan suami dan bukan untuk ditonjolkan kepada orang ramai. Untuk berhias di depan suami anda tidak perlu memiliki berpuluh-puluh pasang pakaian yang hanya dipakai sekali dua, kemudian dibiarkan bergantungan di dalam almari. Perbelanjaan untuk membeli alat-alat make-up juga dapat dikurangkan jika isteri sedar bahawa make-up itu hanya digunakan semasa berada di sisi suami. Dengan itu wang yang hendak dibelanjakan untuk membeli alat-alat make-up yang beratus-ratus ringgit harganya itu dapat dijimatkan. Ingatlah, isteri yang beriman itu perhiasan indahnya untuk suaminya sahaja dan isteri yang beriman itu berjimat cermat di atas harta suaminya.

Sifat suka menunjuk-nunjuk kepada orang lain menyebabkan kaum wanita berlumba-lumba untuk menyaluti tubuh dengan barang kemas dengan sebanyak-banyaknya. Kadang-kadang sampai penuh jari-jari dengan cincin-cincin yang pelbagai bentuk, anting-anting bertingkat-tingkat ditindik di telinga, rantai dua tiga lapis dileher dan banyak lagi. Tapi bila berhadapan dengan suami, seurat emas pun tidak lekat di badan. Alasannya, susah hendak buat kerja rumah. Bila seluruh badan sudah diberati dengan perhiasan memanglah merimaskan untuk membuat kerja. Oleh itu memadailah dengan cincin sebentuk dua, rantai seurat, gelang dua tiga urat dan sunting sepasang dua.

Di samping boleh mengelakkan berlakunya pembaziran, suami akan bertambah sayang kerana isterinya suka bercantik-cantik hanya untuknya. Haram hukumnya mencantikkan diri untuk orang lain yang bukan muhrim kita.

Selain dari itu, keperluan dapur boleh dijimatkan dengan hanya membeli makanan yang berzat tetapi murah. Makanan yang seimbang tidak semestinya yang mahal. Anda boleh menanam sendiri beberapa jenis ulam yang mudah tumbuh di kawasan rumah atau menanamnya di dalam pasu. Cara ini juga boleh mengelakkan makanan anda diracuni bahan kimia yang membahayakan kesihatan. Satu sebab kenapa manusia zaman moden ini mudah dihinggapi pelbagai penyakit yang pelik-pelik, yang tidak pernah dialami oleh nenek moyang kita dulu, ialah kerana memakan makanan yang disuburkan oleh bahan kimia.

Bagi anak-anak pula, elakkan dari membelikan mereka makanan ringan yang tidak berzat. Pakaian anak-anak juga tidak perlu dibeli dari jenama yang mahal sebab anak-anak akan cepat membesar dan pakaian-pakaian itu tidak akan diperlukan lagi. Pilihlah buku-buku terbaik yang tidak begitu mahal harganya untuk bahan bacaan anak-anak terutama buku-buku mulia. Jangan berkira sangat kalau hendak menghantar anak-anak ke kelas pengajian agama dengan bayaran yang tidak seberapa.

Sesungguhnya apabila anak-anak anda terdidik dengan ilmu agama, itulah jariah ibu bapa di alam barzakh kelak. Sebaliknya anda akan menerima saham neraka kiranya menghantar anak-anak ke kelas muzik yang melalaikan.

Bagi isteri-isteri yang hobinya suka memasak, sedekahkanlah kepada mereka yang memerlukan. Syaratnya, mesti meminta izin dari suami terlebih dahulu. Kelebihan mereka yang suka bersedekah ada dinyatakan di dalam hadis Rasulullah saw yang bermaksud: “Tidak akan berkurangan harta kerana sedekah dan tiada seorang yang memaafkan suatu aniaya kezaliman melainkan Allah menambahkan kemuliaannya dan tiada seorang yang tawadhuk (merendah diri) kerana Allah melainkan Allah menaikkan darjatnya.” Riwayat Abu Hurairah.

Anda juga boleh menyumbangkan kewangan yang di luar keperluan rumahtangga dengan cara mengeluarkan derma khairat kepada masjid, surau, anak-anak yatim, janda-janda yang tidak terbela, membantu mangsa-mangsa kebakaran atau peperangan. Setiap jariah yang baik yang terus dimanfaatkan akan memberi saham kesenangan di akhirat biarpun anda sudah berada di dalam kubur. Rebutlah peluang ini demi kesejahteraan hari kemudian.

Friday, July 10, 2009

Sebuah perjalanan

Alam langit selalu diwarnai dengan perputaran bersama-sama dengan apa yang terkandung di dalamnya. Ia tidak pernah berhenti dan diam. Seandainya ia diam nescaya alam semesta ini hancur dan sirna. Perputaran bintang-bintang di angkasa merupakan perjalanan mereka, seperti dijelaskan oleh al-Qur'an "Dan telah Kami tetapkan bagi bulan tempat-tempatnya" (Q.S Yaasiin :39).

Bergeraknya empat arah angin, bergeraknya janin-janin dalam setiap detik dengan perubahan dan perpindahan pada setiap nafas, perjalanan fikiran antara hal terpuji dan tercela, perjalanan nafas yang dihembuskan oleh mereka yang bernafas, perjalanan mata antara bangun dan terpejam, perjalanan pandangan dari satu dunia ke dunia yang lainnya dengan pengamatan dan I'tibar, semuanya adalah perjalanan yang dicerna oleh akal manusia.

Ada yang berkata bahawa dunia fisik ini sejak diciptakan oleh Allah senantiasa dalam perjalanan (proses) yang menempati ruang dan tak pernah berhenti. Maka sebenarnya kita semua senantiasa dalam perjalanan itu, sejak kelahiran kita, kelahiran nenek moyang kita sampai masa yang tak berujung. Ketika kamu merasa sampai di satu tujuan kemudian kamu berkata: "Inilah sebenarnya tujuanku", tiba-tiba terbuka untukmu jalan-jalan yang lain dan jalan itu terus bertambah, lalu kamu pun meninggalkan tempat itu.

Tidak ada satu pun tempat dimana kamu sampai kepadanya, meskipun kamu telah berucap "Inilah tujuanku", pasti sejenak setelah itu kamu meninggalkan tempat itu untuk melanjutkan perjalanan yang lain. Betapa banyak kamu berjalan melewat tingkat-tingkat kejadian dalam dirimu, mulai dari darah yang mengalir di tubuh bapak dan ibumu, kemudian darah itu berkumpul membentukmu entah dengan atau tanpa kesengajaan mereka. Kamu pun berubah menjadi mani (sperma), lalu berubah menjadi segumpal darah, lalu kamu melalui itu dan berubah menjadi segumpal daging, lalu tulang yang kemudian terbungkus daging, lalu ditumbuhkan sekali lagi dan dikeluarkanlah kamu ke dunia. Lalu kamu pun melalui masa bayi, ke masa kanak-kanak lalu ke masa remaja dan dewasa, lalu ke masa tua dan pikun, inilah masa yang paling hina dari umurmu.

Dari situ kamu pun pergi ke alam barzakh, setelah itu kamu akan melaluinya menuju hari kebangkitan. Kamu pun akan melalui jambatan (shirat) yang akan menghantarkanmu ke syurga atau ke neraka, bila kamu memang penduduknya. Namun apabila kamu bukan penduduk neraka, kamu masih akan melalui perjalanan neraka menuju syurga dan dari syurga ke tempat melihat Allah dan begitulah selamanya, kamu akan mundar-mandir dari syurga ke tempat melihat Allah. Mereka yang di neraka juga terus mengalami perjalanan, naik dan turun silih berganti seperti sepotong daging yang direbus di dalam periuk di atas api yang membara "Setiap kali kulit mereka terkelupas, Aku gantikan dengan kulit yang baru agar mereka merasakan pedihnya siksaan-Ku" (An-Nisaa :56).

Tidak ada yang diam dan berhenti di alam ini. Siang dan malam, dunia ini senantiasa diwarnai dengan gerak dan perubahan yang silih berganti. Fikiran, perilaku dan sifat juga demikian, senantiasa berubah silih berganti bersama perubahan siang dan malam dan bersama silih bergantinya hakikat ilahiyah di atas semuanya. Hakikat ilahiyah terkadang turun dengan nama-Nya Yang penuh kasih sayang, terkadang dengan nama-Nya Yang Maha menerima taubat, Maha Memaafkan, terkadang dengan nama-Nya Yang Maha Memberi rezeki, Maha Mengurniai dan terkadang turun dengan nama-Nya Yang Maha Membalas dan dengan semua nama-nama Ilahiyah-Nya. Hakikat ilahiyah tersebut terkadang turun kepadamu dari keagungan-Nya dengan kurnia, rezeki, dendam, taubat, ampunan dan kasih sayang. Ia turun kepadamu atas permohonan dan ia turun dari-Nya atas kurnia.

Dari situ seorang hamba hendaknya berfikir, agar menyelami perbezaan antara perjalanan yang ia diperintah untuk mempersiapkannya, perjalanan yang di dalamnya penuh dengan kabahagiaan, iaitu perjalanan kepada-Nya, bersama-Nya dan dari-Nya. Semua perjalanan ini telah disyariatkan kepadanya. Dan antara perjalanan yang tidak diperintahkan untuk mempersiapkannya, seperti mengayunkan kaki di atas bumi ke jalan yang halal, perjalanan dagang untuk melipatgandakan harta dan menyimpannya, dan seperti perjalanan nafas keluar dan masuk. Ini merupakan keperluan bagi pertumbuhannya. Kita berdoa kepada Allah agar dikurniakan akhir yang penuh bahagia dan kesehatan yang sempurna.
Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner