Sunday, January 31, 2010

Menguap

Menguap adalah satu perkara ataupun fenomena biasa yang berlaku kepada Manusia yang yang diciptakan dalam keadaan yang serba-serbi lemah ini.Siapa yang tidak pernah menguap bukan? Jelasnya, ianya pada kebiasaan adat manusia adalah menunjukkan bahawa mereka mungkin mengantuk, letih, bosan dan sebagainya. Jadi, jelasnya perbuatan menguap ini adalah simbol atau isyarat kepada keadaan yang tidak elok, negatif, lemah dan sebagainya.

Maka, banyak dalil yang menunjukkan bahawa menguap ini adalah perkara yang disukai oleh Syaitan kerana ianya melibatkan perbuatan yang tidak baik dan elok pada diri manusia. Bahkan itulah tugas Syaitan sepanjang masa. Mereka tidak akan berputus asa untuk menyesatkan anak Adam dengan pelbagai cara sehinggalah mereka meninggalkan agama Islam yang Hanif ini.

Namun begitu, mengantuk pula adalah merupakan diantara makhluk Allah S.W.T yang digunakan sebagai senjata untuk mententeramkan kaum Muslimin di dalam peperangan. Sirah al-Nabawiyyah juga telah menunjukkkan kepada kita secara jelas bagaimana Allah S.W.T telah mendatangkan ‘mengantuk’ ini terhadap golongan Muslimin dalam peperangan Badar al-Kubra sehingga mereka merasa segar, teguh dan tentera Muslimin mencapai kemenangan yang begitu bersejarah di medan Badar al-Kubra.

Allah S.W.T berfirman di dalam surah al-Anfal ayat ke-11 yang bermaksud: “[ingatlah], ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya telapak kaki(mu)”. [Memperteguh telapak kaki disini dapat juga diertikan dengan keteguhan hati dan keteguhan pendirian].

Di dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, bahawasanya Baginda Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T suka orang yang bersin, dan membenci orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu bersin, lalu dia mengucapkan 'Alhamdulillah', maka adalah hak atas setiap Muslim yang mendengarnya pula mengucapkan 'Yarhamukallah!'. Adapun menguap itu adalah daripada syaitan. Maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia menahannya sekadar termampu. Sebab sesungguhnya apabila seseorang kamu menguap, syaitan akan mentertawakannya."

Begitu juga dalam Hadith Riwayat Imam Muslim, daripada Abu Said Al-Khudri r. a., katanya : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia meletakkan tangannya pada mulutnya, kerana sesungguhnya syaitan itu akan masuk [melalui mulut yang terbuka].”

Nabi Muhammad S.A.W bersabda melalui Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi Daripada Abdullah bin Az-Zubair r. a., maksudnya: “Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang bersin, dan membenci orang-orang yang menguap. Maka apabila seseorang kamu menguap, jangan sampai berbunyi, kerana yang demikian itu daripada syaitan yang mentertawakanmu.”

Dalam hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad dan At-Tirmidzi pula, telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T membenci sesiapa yang mengangkat suara ketika menguap dan bersin.”

Melalui rantaian Hadith-hadith diatas, beberapa perkara yang berkaitan adab dan pengajaran yang boleh kita semua ambil di sini adalah:

1. Kita hendaklah berusaha menahan diri daripada menguap sekadar kemampuan kita terutama ketika solat kerana Syaitan begitu suka kepada orang yang menguap serta menghindari daripada gangguan di dalam solat.

2. Hendaklah meletakkan tangan di atas mulut untuk menahan menguap sama ada di dalam atau di luar solat supaya terhindar daripada dimasuki oleh syaitan melalui mulut yang terbuka terutama ketika menguap tersebut.

3. Adalah Makruh mengeluarkan suara dan mengangkat bunyi ketika menguap atau bersin. Ini kerana syaitan akan mentertawakan orang yang mengeluarkan bunyi apabila ketika menguap serta perkara itu dibenci oleh Allah S.W.T

4. Disunatkan ketika bersin mengucapkan “Alhamdulillah” dan kepada orang yang mendengarnya pula mengucapkan “Yarhamukallah”sebagai mendoakan kebaikan untuknya.. Sesungguhnya Allah S.W.T suka kepada hamba-Nya yang selalu berzikir dan ingat kepada Allah S.W.T pada setiap perbuatannya dan pekerjaannya.

5. Disunatkan juga untuk mengucapkan “Astaghfirullah”selepas menguap sebagai tanda untuk menghindarkan diri sendiri daripada syaitan. Wallahu a’lam…

Thursday, January 21, 2010

Taubat


Sesungguhnya hidup di dunia ini penuh dengan ujian, cabaran dan dugaan sama ada ia berupa kesenangan mahupun kesusahan. Pada kelazimannya nikmat kesenangan itu memberi kebahagiaan kepada kita semua, namun kadangkala nikmat kesenangan itu boleh menyebabkan manusia lalai dan leka serta lupa diri sehingga menyebabkan mereka melakukan kesalahan dan perkara yang ditegah oleh agama Islam sama ada secara sengaja ataupun tidak. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa manusia itu tidak terlepas dari membuat kesilapan dan kesalahan namun Allah Subhanahu Wata'ala bersifat Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Pengampun, sentiasa memberikan hamba-hamba-Nya peluang untuk memperbaiki diri sendiri dan menyelamatkan mereka dari terus sesat iaitu dengan jalan bertaubat.

Taubat ialah proses pembersihan diri daripada segala bentuk dosa dan maksiat, menggalakkan seseorang untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dan bermakna dan mengharap pengampunan Allah Subhanahu Wata'ala untuk menghampirkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala serta mendapat kasih dan rahmat daripada-Nya jua.

Namun perlulah diingat bahawa bertaubat itu bukan hanya sekadar mengucapkan kalimah istighfar sahaja tetapi hendaklah disertai dengan penyesalan, dengan niat dan azam tidak akan mengulangi perkara dosa yang pernah dilakukan. Para ulama telah menjelaskan bahawa perbuatan bertaubat itu belum dianggap sempurna kecuali dengan memenuhi syarat-syarat berikut :

1. Jika hak-hak yang bersangkutan antara hamba dan Tuhannya hendaklah seseorang itu meninggalkan dosa dan maksiat dengan perbuatannya itu dan berazam untuk tidak akan kembali melakukannya lagi.

2. Andai kata hak-hak bersangkut paut dengan hak anak Adam maka hendaklah meninggalkan perbuatan dosa tersebut dan menyesalinya, berazam tidak melakukannya lagi serta hendaklah dia membersihkan dirinya daripada hak orang itu. Umpamanya, jika dia mengambil harta benda orang lain hendaklah dia mengembalikannya semula kepada tuannya. Jika dia mencaci atau mengumpat seseorang maka hendaklah dia meminta maaf kepada orang yang diumpatnya itu.

Taubat merupakan suatu perkara yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam. Cuba kita bayangkan, sedangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam seorang yang maksum yakni terpelihara daripada sebarang dosa lagi bertaubat dan memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata'ala setiap hari seratus kali, betapa pula kita yang hidup di zaman yang penuh dengan cabaran, yang menguji keimanan dan ketaatan kita terhadap perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah "Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya" [Surah An-Nuur :31].

Perlu diingat taubat sebenarnya bukanlah suatu perkara yang remeh-temeh kerana bukanlah taubat namanya jika ia menyesali kesalahan yang telah dilakukan tetapi setelah itu ia kembali semula melakukan perkara-perkara yang berdosa, masih mengulangi perbuatan maksiat dan kemungkaran dan sebagainya. Oleh itu bertaubatlah dengan sepenuh hati sehingga mencapai taubat nasuha yakni taubat yang sebenar-benarnya. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala Surah At-Tahriim ayat 8"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha', mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai".[Surah At-Tahriim:8]


Perlu diketahui bahawa para ulama menjelaskan bahawa antara lain dorongan bertaubat itu hendaklah semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala ataupun kerana kesedaran kita bahawa maksiat itu merupakan suatu yang keji dan dosa ataupun kerana takut kepada azab Allah Subhanahu Wata'ala. Sebaliknya taubat yang dilakukan kerana takut kemudaratan akan menimpa dirinya, kehormatannya atau hartanya jika dia tidak bertaubat, maka yang demikian itu tidak dinamakan taubat. Sebagai contoh, menyesali dan bertaubat daripada meminum minuman keras disebabkan takut membahayakan kesihatan tubuh badan, yang demikian itu bukan dinamakan sebagai taubat. Oleh itu taubat mestilah lahir daripada keinsafan untuk kembali kepada Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata bukan kerana yang lain-lain.

Sesungguhnya pintu taubat itu sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu bertaubat. Allah Subhanahu Wata'ala akan menerima taubat orang-orang yang benar-benar memohon keampunan daripada-Nya. Namun demikian, ada kalanya taubat seseorang hamba itu tidak diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala iaitu apabila orang yang bertaubat itu sudah berada di ambang kematian ketika nyawa telah sampai di kerongkong. Kerana itu orang yang telah sedar dan insaf akan kesalahan-kesalahan yang dilakukan wajib menyegerakan taubatnya tanpa bertangguh-tangguh kerana kita tidak tahu bila ajal kita akan tiba. Jangan tunggu sehingga tiba waktu penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Taubat merupakan syariat yang amat penting dan wajib dilaksanakan pada bila-bila masa, bukan sahaja kepada mereka yang terang-terangan berbuat kesalahan dan maksiat bahkan juga kepada mereka yang tidak menyedari apakah ia berbuat salah ataupun tidak. Ini kerana sifat manusia itu tidak luput dari berbuat kesalahan, mereka mudah dipengaruhi oleh iblis laknatullah hingga sanggup melakukan perbuatan-perbuatan yang berdosa dan melanggar hukum Allah Subhanahu Wata'ala, ditambah pula dengan iman yang lemah serta naluri manusia yang sememangnya cenderung kepada kesenangan sehingga kadang-kadang menjadikan mereka hilang pertimbangan akal hanya kerana hendak menurut hawa nafsu.


Oleh itu bertaubatlah kerana itulah sahaja jalan untuk membersihkan diri daripada dosa, menjauhkan diri dari kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala serta sebagai landasan menuju segala macam kebaikan. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga kita menjadi orang yang suka bertaubat dan semoga taubat yang kita pohonkan itu diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan seterusnya pula mendapat taufik dan hidayah-Nya, baik di dunia mahupun di akhirat.

Friday, January 15, 2010

sifat pemaaf


KETIKA manusia diciptakan, Allah mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia ialah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam.

Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan." [Surah Ali Imran :132].

Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang.

Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.

Memang tepat sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: "Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya termasuk pekerjaan yang berat ditanggung." [Surah asy-Syura : 43].

Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran logik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.

Kadangkala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.

Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri.

Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang logik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga melakukan pembunuhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Bukanlah orang yang kuat itu [dinilai] dengan [kekuatan] dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah." [Hadis riwayat Bukhari].

Belajarlah sifat pemaaf dan lemah lembut dari Qais bin Asim yang sentiasa merasakan sesuatu kejadian adalah takdir dari Allah, sentiasa sabar dengan Allah,redha dengan Allah serta rasa kehambaannya pada Allah, rasa malu, hina dan takut dengan kekuasaan Allah membuat Qais tenang menghadapi kematian anaknya disebabkan kecuaian hambanya.Bukan sahaja dia tidak marah malah rasa kasihan pada jariah yang ketakutan itu memaksa Qais membebaskan hambanya itu.

Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah.

Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalu memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?

Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.

Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketaan sebelum ini selesai.

Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya.

Monday, January 11, 2010

UjianMu

Di dalam menjalankan kehidupan ini kita tidak sunyi daripada susah maupun senang, daripada suka ataupun duka, semuanya datang silih berganti dan ini dinamakan ujian hidup.

Biasanya manusia tidak akan tahu erti kesenangan dan tidak akan tahu erti kesakitan kecuali diuji terlebih dahulu.Orang yang biasa senang, meraka ini akan merasa susah sekali apabila diuji Allah dan hanya orang-orang yang pernah menderita kesakitan akan tahu menilai erti kesakitan dan menilai kehidupan yang sebenarnya.

Namun sebaliknya yang berlaku, orang-orang yang hidup didunia ini mereka tidak tahu menilai erti kehidupan melainkan setelah mereka memejamkan mata untuk selamanya.Justru itu Allah menurunkan ujian demi ujian kepada hambaNya untuk menguji mana diantara hambaNya benar-benar beriman kepada Allah ataupun yang tewas dalam ujian ini.

Lantaran itulah Rasulullah s.a.w bersabda, "Tiada sesuatu yang menimpa orang-orang yang beriman kepada Allah daripada bala bencana ataupun kesedihan demi kesedihan,kerungsingan atau duri yang mencucuk tubuh badannya sekalipun melainkan Allah hendak menghapuskan dosa"

Segala musibah dan bencana yang menimpa hinggakan duri yang mencucuk tubuh itu melainkan semuanya yang Allah beri adalah untuk menebus dosa yang kita lakukan kepada Allah. Justeru itu apabila ditimpa bencana amalkanlah dua perkara ini iaitu apabila Allah uji kita dengan kesenangan,kekayaan kita hendaklah bersyukur tetapi sebaliknya apabila Allah uji kita dengan kesusahan,kemiskinan dan kepayahan kita bersabar kepada Allah.Firman Allah yang bermaksud "Demi sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan berasa) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar." [Surah al-Baqarah:155].

Dua perkara ini amat penting dalam hidup kita dengan menerima syukur dan sabar ketika kita ditimpa musibah oleh Allah, sebab itu Rasulullah s.a.w telah berpesan, "Bila ia mendapat kesenangan maka ia bersyukur kerana syukur itu adalah lebih baik baginya, andaikata dia ditimpa musibah ia bersabar maka sabar itu lebih baik baginya"

Sebenarnya bila Allah uji musibah, Allah timpakan ujian demi ujian kepada kita ada tiga kelebihan yang Allah beri kepada hambaNya

1. Rasulullah berpesan setiap musibah yang Allah beri pada kita tidak kiralah sakit,susah ataupun Allah mengambil nyawa orang yang kita sayang. semua itu kata nabi adalah untuk mengangkat darjat orang-orang yang beriman disisiNya.

2. Allah hendak menggandakan pahala kepada hambaNya

3. Allah hendak menolong kita mengampunkan segala dosa-dosa yang kita lakukan selama ini.Disini apa yang penting janganlah kita melihat orang lain yang sering ditimpa pelbagai kesusahan maka kita menganggap orang tersebut banyak melakukan dosa, tidak semestinya Allah uji mereka bertubi-tubi itu sebab mereka itu banyak dosa tetapi sebenarnya Allah sayang mereka.

Mana lebih baik, kita tanya diri kita? Allah uji kita supaya Allah mengampunkan dosa-dosa kita ataupun Allah tidak uji kita dan Allah biarkan kita dengan limpahan kekayaan dan kesenangan akhirnya kita menjadi hamba yang sombong, dan dengan kekayaan serta kesenangan itu kita menghembuskan nafas yang terakhir dalam keadaan kita tidak sempat untuk bertaubat dan Allah tidak mengampunkan dosa. ataupun Allah uji kita supaya Allah mengampunkan dosa dan Allah mengangkat darjat hambanya.


Nabi mengatakan jika kamu diuji dengan musibah, kamu mengucapkan "innaalillaahi wainnaa ilaihi raajiuun". Ucapan istirjaa tersebut bermaksud kami ini adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada Allahlah kami akan dikembalikan.Nabi juga berpesan bila kamu ditimpa musibah kamu ucapkan istirjaa dan kamu berdoa kepada allah dengan sepotong doa yang bermaksud " Ya Allah, ya tuhanku kau berilah pahala didalam musibah yang kau uji kepada aku dan gantikan kepada aku ya Allah dengan ganti yang lebih baik."

Namun jangan lupa tingkatkan kesabaran, bila sabar Allah akan tingkatkan darjat kita.Bagaimana untuk kita sabar dengan ujian demi ujian yang menimpa? Apabila kita didalam kesusahan dan ditimpa musibah maka berdoalah kepada Allah, "Ya Allah limpahkanlah kepadaku kesabaran demi kesabaran dan matikan kami dalam keadaan kami berserah diri kepadaMu." [Surah At-Araf : 127]

Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa kita dan tingkatkan darjat kita. Oleh itu bersabarlah kerana sabar itu mendapat ganjaran syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila Allah menguji seorang hambaNya dengan buta kedua matanya, kemudian dia sabar, maka Aku akan menggantikannya dengan Syurga [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]

Sunday, January 3, 2010

Bahagia


Mengapa sukar bahagia? Kadangkala kita seringkali bertanya di manakah kebahagiaan itu atau mungkin juga kita memikirkan mengapa kebahagiaan itu sukar hadir dalam hati atau ada yang bertanya mengapa kebahagiaan kian menjauh.

Sebenarnya jawapan kepada kesemua persoalan itu ada di dalam diri kita sendiri. Yang menjadi musuh kita selama ini adalah sikap. Mahu atau tidak mahu sahaja untuk berubah.Tetapi pendefinisian sebagaimanakah bahagia itu wahai diri.

Hakikat yang mesti diterima adalah syurga orang lain tidak mungkin sama dengan apa yang ingin dibina oleh kita. Ayat yang lebih mudah, kebahagiaan dalam kamus kita mungkin berbeza dengan kamus kebahagiaan orang lain. Merasa bahagia itu terlalu subjektif untuk dihuraikan. Jadi, ciptakan kebahagiaan itu sekarang sebelum kita kehilangannya. Allah berfirman “Katakanlah,Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya iti dari apa yang mereka kumpulkan.” [Surah Yunus: 58]

Andai di ukir bahawa bahagia itu milik dia yang ketawa sepenuh hati, lantas berbahagiakah si dia yang ketawanya di iringi syaitan durjana? Andai di nukil bahawa derita itu milik dia yang menangis,lantas menderitakah si dia yang menangis,merintih dan terhenjut-henjut bahunya di hadapan PenciptaNYa? Menyelusuri kisah-kisah manusia terbilang di zaman silam, kisah Imam-imam tersohor dalam peradaban islam yang kebanyakan dari mereka mengambil langkah untuk beruzlah dan menyendiri, jauh dari hiruk pikuk manusia, mereka seolah-olah terpinggir,tetapi hakikatnya tidak begitu,mereka bahagia dalam kesunyian dari cacamerba kejahilan. Begitu sukar untuk diterjemah dengan hati apakah makna sebenar sebuah kebahagiaan, tetapi yakinilah manusia tidak akan pernah berhenti mengejarnya selagi ia tidak di kecapi.

Al Hasan al-Bashri mengatakan, “Carilah kenikmatan dan kebahagiaan dalam tiga perkara, dalam solat, berzikir dan membaca Al Quran, jika kamu dapat maka itulah yang diinginkan, jika kamu tidak dapat maka sadarilah bahwa pintu kebahagiaan sudah tertutup bagimu.”

Andai hidup sekadar untuk mencari tanpa ada keinginan untuk menyedari,maka apalah ertinya di sisi? Kita kerap cuba menggapai lakaran indah pelangi nun di balik sana, tetapi memijak-mijak ketenangan rerumput hijau di bumi. Berapa ramai di antara kita yang mampu menbuka mata hati,menyedari hakikat keberuntungan diri. Bukankah bahagia itu abstrak sifatnya, ada bahagia dalam luka, ada senyum dalam sendu, ada ketawa dalam esakan,ada qanaah dalam kesempitan, ada pemaaf dalam kemarahan, ada zuhud dalam pemberian, ada keikhlasan dalam pengorbanan, ada pengorbanan dalam perjuangan, ada rasa syukur dalam kegagalan, ada pelbagai kebahagiaan dalam pelbagai kisah yang berlaku dalam hidup kita.

Kita acapkali menjulang tinggi kejayaan,kemewahan,kedudukan lalu meminggir sepi setiap saat sedih yang sebenarnya bisa memberi peluang untuk kita menjadi bahagia. Indahnya perasaan andai menjadi seorang yang pemaaf,dia bersih dari dendam dan tenang dari hasad dengki, betapa indahnya juga perasaan andai menjadi seorang yang sentiasa berkorban, dia penuh dengan kebaikan hati dan jiwanya subur dengan sifat ithar, indahnya perasaan andai menjadi dia yang di uji lantas terus berlari mendakap erat Tuhannya, hatinya penuh dengan kerendahan dalam pengharapan dan tenang atmanya pabila dipujuk Allah. Kita bisa bahagia selagimana kita MAHU mengerti dengan mata hati hakikat diri insani yang perlu berpaut rapat dengan Illahi. Kita tak akan bahagia tanpa Dia.

Bahagia itu rahmat dan berkat. Bahagia itu milik Yang Satu,untuk semua. Ada yang kekal,ada yang sementara. Ia berbeza kerana kita berbeza.Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah,“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” [Surah Al Ra’du:28]

Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner