Thursday, January 21, 2010

Taubat


Sesungguhnya hidup di dunia ini penuh dengan ujian, cabaran dan dugaan sama ada ia berupa kesenangan mahupun kesusahan. Pada kelazimannya nikmat kesenangan itu memberi kebahagiaan kepada kita semua, namun kadangkala nikmat kesenangan itu boleh menyebabkan manusia lalai dan leka serta lupa diri sehingga menyebabkan mereka melakukan kesalahan dan perkara yang ditegah oleh agama Islam sama ada secara sengaja ataupun tidak. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa manusia itu tidak terlepas dari membuat kesilapan dan kesalahan namun Allah Subhanahu Wata'ala bersifat Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Pengampun, sentiasa memberikan hamba-hamba-Nya peluang untuk memperbaiki diri sendiri dan menyelamatkan mereka dari terus sesat iaitu dengan jalan bertaubat.

Taubat ialah proses pembersihan diri daripada segala bentuk dosa dan maksiat, menggalakkan seseorang untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dan bermakna dan mengharap pengampunan Allah Subhanahu Wata'ala untuk menghampirkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala serta mendapat kasih dan rahmat daripada-Nya jua.

Namun perlulah diingat bahawa bertaubat itu bukan hanya sekadar mengucapkan kalimah istighfar sahaja tetapi hendaklah disertai dengan penyesalan, dengan niat dan azam tidak akan mengulangi perkara dosa yang pernah dilakukan. Para ulama telah menjelaskan bahawa perbuatan bertaubat itu belum dianggap sempurna kecuali dengan memenuhi syarat-syarat berikut :

1. Jika hak-hak yang bersangkutan antara hamba dan Tuhannya hendaklah seseorang itu meninggalkan dosa dan maksiat dengan perbuatannya itu dan berazam untuk tidak akan kembali melakukannya lagi.

2. Andai kata hak-hak bersangkut paut dengan hak anak Adam maka hendaklah meninggalkan perbuatan dosa tersebut dan menyesalinya, berazam tidak melakukannya lagi serta hendaklah dia membersihkan dirinya daripada hak orang itu. Umpamanya, jika dia mengambil harta benda orang lain hendaklah dia mengembalikannya semula kepada tuannya. Jika dia mencaci atau mengumpat seseorang maka hendaklah dia meminta maaf kepada orang yang diumpatnya itu.

Taubat merupakan suatu perkara yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam. Cuba kita bayangkan, sedangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam seorang yang maksum yakni terpelihara daripada sebarang dosa lagi bertaubat dan memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata'ala setiap hari seratus kali, betapa pula kita yang hidup di zaman yang penuh dengan cabaran, yang menguji keimanan dan ketaatan kita terhadap perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah "Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya" [Surah An-Nuur :31].

Perlu diingat taubat sebenarnya bukanlah suatu perkara yang remeh-temeh kerana bukanlah taubat namanya jika ia menyesali kesalahan yang telah dilakukan tetapi setelah itu ia kembali semula melakukan perkara-perkara yang berdosa, masih mengulangi perbuatan maksiat dan kemungkaran dan sebagainya. Oleh itu bertaubatlah dengan sepenuh hati sehingga mencapai taubat nasuha yakni taubat yang sebenar-benarnya. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala Surah At-Tahriim ayat 8"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'taubat nasuha', mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai".[Surah At-Tahriim:8]


Perlu diketahui bahawa para ulama menjelaskan bahawa antara lain dorongan bertaubat itu hendaklah semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala ataupun kerana kesedaran kita bahawa maksiat itu merupakan suatu yang keji dan dosa ataupun kerana takut kepada azab Allah Subhanahu Wata'ala. Sebaliknya taubat yang dilakukan kerana takut kemudaratan akan menimpa dirinya, kehormatannya atau hartanya jika dia tidak bertaubat, maka yang demikian itu tidak dinamakan taubat. Sebagai contoh, menyesali dan bertaubat daripada meminum minuman keras disebabkan takut membahayakan kesihatan tubuh badan, yang demikian itu bukan dinamakan sebagai taubat. Oleh itu taubat mestilah lahir daripada keinsafan untuk kembali kepada Allah Subhanahu Wata'ala semata-mata bukan kerana yang lain-lain.

Sesungguhnya pintu taubat itu sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu bertaubat. Allah Subhanahu Wata'ala akan menerima taubat orang-orang yang benar-benar memohon keampunan daripada-Nya. Namun demikian, ada kalanya taubat seseorang hamba itu tidak diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala iaitu apabila orang yang bertaubat itu sudah berada di ambang kematian ketika nyawa telah sampai di kerongkong. Kerana itu orang yang telah sedar dan insaf akan kesalahan-kesalahan yang dilakukan wajib menyegerakan taubatnya tanpa bertangguh-tangguh kerana kita tidak tahu bila ajal kita akan tiba. Jangan tunggu sehingga tiba waktu penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Taubat merupakan syariat yang amat penting dan wajib dilaksanakan pada bila-bila masa, bukan sahaja kepada mereka yang terang-terangan berbuat kesalahan dan maksiat bahkan juga kepada mereka yang tidak menyedari apakah ia berbuat salah ataupun tidak. Ini kerana sifat manusia itu tidak luput dari berbuat kesalahan, mereka mudah dipengaruhi oleh iblis laknatullah hingga sanggup melakukan perbuatan-perbuatan yang berdosa dan melanggar hukum Allah Subhanahu Wata'ala, ditambah pula dengan iman yang lemah serta naluri manusia yang sememangnya cenderung kepada kesenangan sehingga kadang-kadang menjadikan mereka hilang pertimbangan akal hanya kerana hendak menurut hawa nafsu.


Oleh itu bertaubatlah kerana itulah sahaja jalan untuk membersihkan diri daripada dosa, menjauhkan diri dari kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala serta sebagai landasan menuju segala macam kebaikan. Akhirnya sama-samalah kita berdoa semoga kita menjadi orang yang suka bertaubat dan semoga taubat yang kita pohonkan itu diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan seterusnya pula mendapat taufik dan hidayah-Nya, baik di dunia mahupun di akhirat.

2 Komen:

Abd Razak said...

Salam...

Janganlah ditangguh untuk bertaubat kerana sesungguhnya ajal itu akan datang kepadamu dengan tidak disangka-sangka. Jika saat sakaratul maut itu sudah berada di kerongkong maka tertutuplah pintu taubat buatmu.

Kuhasya said...

salam A.Razak..
ya kita pasti akan mati dan kita pasti akan dipertanggung jawabkan walauapapun yang kita lakukan. Tidak ada sedikit pun yang kita lakukan tidak akan kembali kepada kita sendiri. Allah melihat persis apa yang kita lakukan, tidak ada yang tersembunyi.Bertaubatlah dan persiapkanlah dirimu andaikata malaikat maut menjemput kita hari ini.

Post a Comment

Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner