Tuesday, February 23, 2010

Ikhlas...


SIFAT ikhlas adalah antara sifat terpuji yang menghiasi peribadi Muslim bertakwa. Keikhlasan juga adalah asas penilaian di sisi Allah sama ada amalan dilaksanakan setiap Muslim diterima Allah atau sebaliknya.

Maknanya, keikhlasan menjadi penentu kepada kejayaan dan kebahagiaan Muslim di dunia dan di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya.[Surah al-Zumar:2].

Rasulullah tidak ketinggalan memperlihatkan kepada kita akan kepentingan sifat ikhlas dibajai dalam sanubari muslim melalui sabda bermaksud "Sesungguhnya segala amalan itu tergantung atas niat. Sesungguhnya bagi seseorang itu di atas apa yang dia niatkan. Maka sesiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya, dan juga sesiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya itu terpulang kepada niatnya dari penghijrahannya itu "[Hadis riwayat Bukhari].

Berdasarkan nas ini, dapat disimpulkan keikhlasan memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan amalan di sisi Allah.Yang lebih penting lagi ialah keikhlasan menjadi bukti kepada kesempurnaan dan ketulusan iman Muslim kepada Allah sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud "Sesiapa mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan diri pun kerana Allah, maka sesungguhnya dia mencapai kesempurnaan imannya.[Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi].

Sesungguhnya, sifat ikhlas amat penting disemai dan dibaja dalam hati setiap muslim dalam semua lapangan hidup agar dapat menempatkan dirinya di kalangan hamba Allah yang bertakwa.

Perlu disedari sifat ini tidak hanya perlu diserlahkan ketika pelaksanaan ibadat seperti solat, puasa, sedekah dan haji, malah niat yang ikhlas akan meningkatkan mutu amalan yang dianggap keduniaan semata-mata dan menjadikannya sebagai satu ibadat diberi ganjaran pahala.

Sebaliknya, niat tidak baik seperti riak atau ujub [mengharap pujian ramai] akan menjatuhkan nilai sesuatu amalan walaupun ia adalah amalan ibadat dan akan menukarkannya menjadi amal maksiat yang pastinya disediakan balasan seksaan pedih di akhirat kelak.

Sabda Baginda yang bermaksud "Sedikit daripada sifat riak itu adalah syirik. Maka sesiapa memusuhi wali Allah, nescaya dia memusuhi Allah. Sesungguhnya Allah amat mengasihi orang yang berbakti dan bertakwa serta tidak dikenali ramai akan hal ehwal dirinya. Jika mereka tidak ada dan hilang (ghaib) dalam mana-mana majlis, mereka tidak dicari, dan jika mereka hadir di situ, mereka tidak begitu dikenali ramai. Hati nurani mereka umpama lampu petunjuk yang menyuluh mereka keluar dari tempat gelap gelita".[Hadis riwayat Hakim].

Demikian gambaran indah diterangkan Rasulullah terhadap hamba-Nya yang mengikhlaskan diri kepada Allah. Mereka sama sekali tidak mengharapkan habuan dan kemewahan dunia, sebaliknya hanyalah limpahan keredaan Ilahi dan syurga Allah.

Itulah impian mereka dalam setiap detik kehidupan mereka yang sarat dengan pengabdian penuh tulus semata-mata kerana Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud  "Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).[Surah al-An'am:162-163].

Dari satu segi, gambaran orang tidak ikhlas dalam amalan mereka dan mengharapkan pujian manusia dan kemewahan dunia amatlah menggerunkan hati orang beriman.

Ini kerana Rasulullah sebagai rasul yang amat sayangkan umatnya awal-awal lagi sudah memperingatkan balasan buruk yang akan menimpa kepada orang tidak ikhlas.

Rasulullah bersabda yang bermaksud "Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian diasing-asingkan apa-apa dikerjakan kerana Allah dan yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka.[Hadis riwayat Baihaqi].

Islam adalah agama yang unik kerana setiap gerak geri dan perlakuan harian yang dilakukan muslim dianggap sebagai ibadat.

Oleh itu, setiap amalan sama ada berbentuk duniawi atau ukhrawi memperoleh ganjaran pahala jika diniatkan penuh ikhlas kerana Allah.

Hal ini ditegaskan sendiri Rasulullah dengan sabdanya yang bermaksud "Tiada sesuatu yang engkau belanjakan kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan engkau akan diberi pahala hinggakan apa yang engkau suapkan ke dalam mulut isteri engkau.[Hadis riwayat Bukhari].

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda maksudnya "Apa yang engkau beri makan kepada diri engkau sendiri ada padanya pahala sedekah, dan apa engkau beri makan kepada anak isteri engkau ada padanya pahala sedekah, dan juga apa yang engkau beri makan kepada khadam di rumah, ada padanya pahala sedekah".[Hadis riwayat Ahmad].

Ringkasnya, selama mana seseorang muslim itu menyerahkan dirinya kepada Allah dengan penuh keikhlasan tulus, maka selama itulah segala tingkah laku dan diamnya, tidur dan jaganya akan dinilai sebagai langkah menuju kepada keredaan Allah.

Jika begini kedudukan seorang ikhlas kepada Allah dengan pelbagai kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah, maka kita sebagai umat Islam sewajarnya menghiaskan diri dengan sifat mulia dalam usaha memartabatkan kembali kegemilangan ummah di persada dunia.

Harta dan kemewahan dunia tidak bererti, sebaliknya harta paling bernilai adalah hati yang ikhlas. Sebagaimana sabda Rasulullah saw

 "Sesungguhnya, Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu".[Hadis riwayat Muslim].

Allah tidak memandang kepada paras rupa,tetapi melihat kepada hati dan amalan... tidak ada beza seseorg di sisi Allah kecuali iman dan taqwa...

Sunday, February 21, 2010

Merinduimu..


Ketika cahaya tauhid padam di muka bumi, maka kegelapan yang tebal hampir saja menyelimuti akal. Di sana tidak tersisa orang-orang yang bertauhid kecuali sedikit dari orang-orang yang masih mempertahankan nilai-nilai ajaran tauhid. Maka Allah SWT berkehendak dengan rahmatNya yang mulia untuk mengutus seorang rasul yang membawa ajaran langit untuk mengakhiri penderitaan di tengah-tengah kehidupan. Dan ketika malam mencekam, datanglah matahari para nabi. Kedatangan Nabi tersebut sebagai bukti terkabulnya doa Nabi Ibrahim as kekasih Allah SWT, dan sebagai bukti kebenaran berita gembira yang disampaikan oleh Nabi Isa as. Allah SWT menyampaikan selawatnya kepada Nabi itu, sebagai bentuk rahmat dan keberkahan. Para malaikat pun menyampaikan selawat kepadanya sebagai bentuk pujian dan permintaan ampunan, sedangkan orang-orang mukmin berselawat kepadanya sebagai bentuk penghormatan. Allah SWT berfirman

"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." [Surah al-Azhab: 56]

Sebelumnya Allah SWT mengutus para nabi-Nya sebagai rahmat kepada kaum dan zaman mereka saja, namun Allah SWT mengutus nabi saw sebagai rahmat bagi alam semesta. Beliau Nabi Muhammad saw datang dengan membawa rahmat yang mutlak untuk kaum di zamannya dan untuk seluruh zaman. Allah SWT berfirman, "Dan aku tidak mengutusmu kecuali sebagai rahmat bagi alam semesta."

Hakikatnya mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah satu prinsip agama yang sangat penting. Seseorang tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya)..." [Surah al-Taubah: 24]

Rasulullah s.a.w berhak meraih cinta itu kerana Baginda insan paling mulia di sisi Allah, memiliki akhlak yang luhur, mengasihi umatnya, memberi petunjuk dan menyelamatkan umatnya dari neraka, malah menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Lantaran itu apabila tibanya tarikh 12 Rabiulawal, sambutan Maulidur Rasul terus mendapat tempat di hati masyarakat Islam dengan menganjurkan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti perarakan, ceramah, dialog agama, pertandingan selawat dan berzanji bagi meraikan tarikh kelahiran Baginda.

Walaupun, tiada satu nas yang memetik mengenai keperluan mengadakan peringatan hari lahir Rasulullah SAW, ramai ulama muktabar menganggap sambutan Maulidur Rasul tidak bertentangan syariat mahupun akidah malah diharuskan kerana mempunyai pelbagai hikmah dan iktibar kepada umat Islam sejagat.

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik untuk kamu." [Surah al-Ahzab ayat 21]

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud, "Adalah akhlaknya (Rasulullah SAW) sebagai akhlak al-Quran." [Hadis riwayat Muslim]

Ia menunjukkan akhlak Baginda SAW adalah sempurna kerana Baginda mengamalkan segala ajaran dalam al-Quran. Inilah salah satu sebab mengapa seluruh umat manusia diperintahkan supaya mencontohi Baginda.

Sesungguhnya Allah mengutuskan Rasulullah SAW kepada manusia untuk menjadi contoh terpilih. Baginda juga contoh, gambaran pelaksanaan yang sempurna lagi tinggi untuk kesempurnaan manusia sejagat.

Kita mencintai Rasulullah kerana Baginda mempunyai peribadi yang tinggi. Rasa cinta kita kepadanya tidak cukup jika kita lahirkan dengan kata-kata dan sambutan yang pelbagai cara, tetapi mesti dilahirkan dengan meniru sifat peribadi yang mulia. Kerana sifat-sifat peribadi yang mulia inilah Rasulullah SAW disanjung tinggi dan dapat memandu manusia dan mengubah suasana kehidupan manusia ke arah yang lebih cemerlang dan lebih bahagia bukan saja di dunia bahkan di akhirat.

Di antara sifat Rasulullah SAW yang patut kita hayati ialah Baginda sentiasa bersifat benar dalam semua keadaan. Baginda tidak pernah berdusta dan tidak pula menyeleweng dalam tingkah laku; Baginda bersifat amanah sejak kecil hingga diberikan gelaran al-Amin dan diberikan kepercayaan membawa dagangan Siti Khadijah seterusnya Allah melantiknya menjadi seorang Rasul akhir zaman; Baginda bersifat adil tidak memihak dalam membuat hukuman walaupun terhadap keluarganya sendiri. Ini telah ditegaskan dengan sabdanya yang bermaksud: "Demi Allah seandainya anakku Fatimah mencuri nescaya aku potong tangannya."

Di samping itu, Baginda mempunyai keyakinan diri. Dengan keyakinan dan ketabahan itu menyebabkan agama Islam tersebar hingga ke hari ini; Baginda juga berusaha dengan rajin dan tekun. Ini dapat dilihat daripada apa yang dilakukan olehnya dari sejak kecil dengan bekerja sebagai pengembala kambing dan ketika remaja berniaga dan akhirnya ia berdakwah menyeru manusia mengabdikan diri kepada Allah dan memperbaiki kepincangan masyarakat; dan Baginda adalah seorang yang cekal dan cekap menjalankan tugasnya di semua bidang seperti pengurusan rumah tangga, pentadbiran negara dan di medan perang; serta Baginda juga mempunyai sifat kesungguhan dalam usahanya menyebarkan agama Islam, menyatupadukan umat dan melakukan ibadah kepada Allah. Baginda tidak mudah putus asa walaupun menghadapi tekanan daripada puak Quraisy.

Perkara di atas adalah satu pegangan yang wajib dimiliki oleh setiap Muslim mengenai nabi mereka. Kecintaan kita kepada Junjungan adalah tanda wujudnya iman dalam diri kita. Sabda Baginda maksudnya: "Tidaklah seseorang itu dikatakan beriman hingga aku lebih dicintai daripada ayahnya, anaknya dan seluruh manusia." (Hadis riwayat Bukhari)

Umat Islam hari ini kurang memperhatikan hakikat di atas. Mereka menjadikan selain Muhammad SAW sebagai idola mereka. Mereka lebih mencontohi si polan dan si polan dari mencontohi Muhammad SAW. Mereka lebih sebati jiwa dan raga mereka dengan si anu dan si anu daripada sebati jiwa dan raga mereka dengan Muhammad SAW. Sehingga akhirnya mereka lebih mengutamakan perkataan, perbuatan dan persetujuan yang dikeluarkan oleh manusia, selain Muhammad SAW.

Mereka berkata bahawa mereka beriman kepada Muhammad SAW. Tapi ketika dianjurkan kepada mereka perkataan, perbuatan, dan persetujuan Baginda, mereka menutup mata.

Mereka berkata bahawa mereka pengikut Muhammad SAW. Tapi ketika ditunjukkan kepada mereka perkataan, perbuatan, dan persetujuan Baginda mereka menutup telinga.

Mereka berkata bahawa mereka mencintai Muhammad SAW. Tapi ketika dihadapkan kepada mereka perkataan, perbuatan, dan persetujuan Baginda mereka menutup mulut.

Itulah realiti yang dihadapi umat Islam masa kini. Mereka mengingati Muhammad SAW hanya apabila mereka sedang dalam surau, masjid dan majlis. Tapi ketika mereka keluar, yang mereka ingat adalah selain Muhammad SAW. Padahal perkataan, perbuatan dan persetujuan Muhammad SAW bersifat sederhana dan tidak menyusahkan dan memberatkan. Baginda bersabda maksudnya: "Apa saja yang aku larang bagi kamu hendaklah kamu jauhi, dan apa saja yang aku perintahkan kepadamu maka lakukanlah sesuai kemampuanmu. Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan berselisih faham dengan nabi-nabi mereka (tidak mahu taat dan patuh)."

Tuesday, February 9, 2010

Kasihnya Allah..


Firman Allah bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya mengenai Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” [Surah al-Baqarah, ayat 186]

Sesungguhnya apabila Allah mencintai hamba-Nya, ia dapat dilihat dengan jelas dan dirasa melalui hati bersih. Ketika Allah mencintai seorang hamba, maka jatuhlah ke dalam hati hamba itu ilham suci yang membuat dia mengenali tanda kecintaan-Nya.

Ada beberapa tanda yang boleh dirasa oleh hati manusia antaranya:

Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila dia menjadi begitu berminat dengan ibadah. Adakalanya sesetengah orang berusaha sekuat-kuatnya untuk beribadah, hatta melebihi kapasiti diri sebagai insan lemah. Tujuannya hanya satu iaitu mahu mencintai Allah.

Tetapi ibadahnya seolah-olah kosong tanpa rasa, tawar tiada kemanisannya, semangat imannya maju dan mundur, turun dan naik, akhirnya tenggelam pula dipukul arus dunia. Ketika beribadah semestinya seseorang mampu menghadirkan keyakinan bahawa saat itu Allah mencintai dirinya.

Pernahkah kita menikmati sujud yang panjang sambil menghadirkan dalam hati bahawa saat itulah Allah mengisytiharkan nama kita sebagai orang dicintai-Nya?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika Allah mencintai seorang hamba maka Ia berfirman: Wahai Jibril sesungguhnya aku mencintai si polan maka cintailah dia.” [Riwayat Imam Ahmad)]

Maka orang yang yakin bahawa Allah mencintai dirinya tidak pernah rasa was-was adakah ibadahnya diterima atau tidak? Jauh sekali rasa takbur kerana dia yakin yang menolongnya untuk melakukan ketaatan adalah Allah juga. Bukan kerana kehebatan dan kewarakan, melainkan Allah yang menuntun ke jalan takwa.

Kemudian dia sampai kepada satu makrifah mendalam mengenai Allah iaitu cinta Allah kepada hamba-Nya jauh lebih agung daripada cinta sesama insan. Manusia boleh mengkhianati ibu bapanya atau anak dan isterinya, kawan atau kekasih atas alasan tidak mendapat keuntungan daripada perhubungan itu. Tetapi cinta Allah kekal tidak pernah luntur walaupun dicabar oleh perbuatan mungkar hambaNya yang derhaka.

Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila maksiat membuat dia bangkit mendekati Allah. Adakalanya dosa boleh mendatangkan manfaat iaitu apabila dosa itu akhirnya membawa kepada keinsafan, taubat dan istighfar.

Kemudian seseorang bangkit mengejar Allah, berusaha mendapatkan hatinya yang hilang di belantara maksiat. Ia sama sekali tidak berputus asa daripada rahmat Allah. Ia sentiasa mengingati janji Allah Yang Maha Pengampun.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu Kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” [Surah al-Zumar : 53-54]

Janganlah kerana dosa semalam seseorang menyangka Allah tidak sudi mendengar rintihannya, terputus tali langit di hatinya, tertolak segala doanya dan terusir dia daripada pandangan Allah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman-Nya. Seandainya kamu tidak berdosa nescaya Allah akan mematikan kamu. Kemudian Allah akan mendatangkan satu kaum yang melakukan dosa dan mereka memohon keampunan kepada Allah lantas Allah mengampuni mereka.” [Hadis riwayat Imam Muslim]

Hamba yang taat apabila perangainya berubah menjadi iblis pun Allah menunggu, di setiap malam rintihan hamba itu diintip hingga ia pulang kembali ke sisi-Nya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Siapakah yang berdoa kepada-Ku nescaya aku terima, siapakah yang meminta kepada-Ku nescaya Aku beri dan siapakah yang meminta ampun nescaya Aku ampuni.” [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Mengapa Allah masih mencari hamba-Nya yang jahat, membangkang dan suka berpaling dengan sombong? Kecintaan apakah itu yang boleh memaafkan sekeji-keji dan sehina-hina manusia? Betapa lembutnya Allah dan Maha Pengasih lagi Penyayang kepada makhluk-Nya.

Dengan cinta-Nya ditutupi segala aib hamba yang hina, memberi peluang berjuta kali dan menangguhkan seksa untuk tetap setia menunggu di langit dunia, bilakah agaknya hamba-Nya ini mahu membersihkan diri.

Saat Allah mencintai seseorang, tempat pertama menerima sentuhan cinta itu ialah hati mereka. Di situlah Allah lenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka kemudian diganti dengan harapan dan keinginan untuk berubah menjadi insan bersih. Hati kita seeloknya selalu berbisik: “Aku tahu bila Allah mencintaiku, iaitu saat aku membenci segala kejahatanku.”

Tanda Allah mencintai seorang hamba ialah apabila dilapangkan dadanya menerima ilmu yang menjadi petunjuk ke jalan benar.

Allah tidak sesekali membiarkan seseorang insan terkapai-kapai dalam lautan dosa. Bahkan dikirim ke atas hati manusia petunjuk hidayah-Nya supaya manusia terselamat daripada gelombang keganasan dirinya sendiri.

Manusia dibekalkan hati, perasaan, akal dan fikiran untuk membezakan mana baik serta yang keji. Tidak cukup dengan itu, diutuskan juga Rasul, diturunkan al-Quran, dilahirkan pejuang agama-Nya terpilih untuk menerangi kegelapan seraya berdakwah fisabilillah.

Allah juga menjaga pusaka peninggalan Rasul iaitu ilmu Islam, menjaga al-Quran daripada pencerobohan manusia dan mewariskan sunnah Rasul-Nya supaya menjadi ikutan.

Baginda SAW bersabda bermaksud: “Apabila Allah mencintai seseorang maka ia membuatnya faham mengenai agamanya.” [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner