Thursday, October 22, 2009

Jangan ada benci..

Tidak mengapa kalau kita tidak mempunyai ramai sahabat, tetapi sedikit itu biarlah yang setia, sayang, tulus dan benar-benar jujur dengan kita. Namun jika ramai sahabat yang setia tentulah lebih baik. Ingin saya tegaskan mencari sahabat yang baik, sama seperti ingin mendapat isteri yang solehah. Keinginan dan cita-cita sesiapa pun ada, tetapi untuk mendapatnya sukar… sesukar mencari gagak putih.

Jadilah solehah… bukan carilah soleh. Jadilah soleh… insya-Allah akan datang solehah untuk kita. Maka begitulah juga dalam petua bersahabat, jadilah sahabat yang baik, bukan carilah sahabat yang baik.

Jika kita ingin mengubah diri kita (ke arah yang lebih baik samada dari segi agama, keperibadian atau kerjaya), jangan lupa untuk “menyemak” semula siapa yang berada di sekeliling kita. Bukankah Nabi Muhammad saw pernah berpesan, agama seseorang ditentukan juga oleh siapa sahabatnya? Jadi jika kita ingin “menukar” iltizam kita dalam beragama, acapkali kita perlu menukar “sahabat” kita.

Jika bersamanya, agama kita tidak bertambah baik (bahkan kekadang merosak)… ayuh berani meninggalkannya! Jagalah hati, walaupun kita menghindari daripadanya, bukan kerana takut “kejahatan” dia berjangkit kepada diri kita tetapi lebih diniatkan agar jangan kejahatan kita yang berjangkit kepadanya.

Persahabatan umpama sebuah perkahwinan. Jika sudah tidak serasi, “bercerailah”. Tetapi pastikan kita bercerai dengan baik-baik. Namun sekali-kali jangan membenci. Mungkin si dia akan mendapat orang yang lebih baik daripada kita sebagai sahabat barunya dan kita akan mendapat orang baik yang lain sebagai sahabat baru.

Ingat sikap nabi Muhammad s.a.w bila berdepan dengan makanan yang tidak disukainya? Baginda akan meninggalkannya tetapi sedikitpun tidak mengecam makanan itu.

Mungkin analogi itu tidak sama dalam konteks persahabatan. Tetapi begitulah panduannya… tinggalkan apa yang kita tidak sukai tetapi jangan sekali-kali membenci. Ingat “benci” itu virus dalam hati dan emosi kita. Orang yang dihinggapi rasa benci akan buta melihat dunia ini dengan lebih indah dan ceria. Pada hal keceriaan dan keindahan itu ada di mana-mana tetapi pembenci tidak akan dapat melihat dan menghidunya.

Di dalam hidup kita pasti wujud orang begitu untuk menguji kita. Ditakdirkan ada manusia yang begitu pandai bermuka-muka. Anda merasakan dia sebagai sahabat, lalu anda longgokkan segala kepercayaan, amanah dan kesetiaan kepadanya (begitukan kalau kita bersahabat?). Oh, kalau begitu jadinya anda seolah-olah memberi “senjata” yaang paling merbahaya untuk dia menikam anda nanti.

Jangan sekali-kali lupa, kesalahan yang paling besar dalam perhubungan ialah bila anda menganggap pandangan, persepsi, rasa hati dan fikiran orang lain sama dengan anda. Ini satu kesilapan besar. Jangan tersilap memberi amanah. Oleh kerana senyumnya manis, pujiannya melangit dan simpati serta empatinya melimpah, anda kalah. Tidak upaya lagi berkata tidak… walaupun dia telah jauh menerobos benteng hak anda yang sangat peribadi.

Dengan bermuka-muka anda akan sentiasa dieksploitasi dan dimanupulasi. Hati-hati. Kesabaran tidak menafikan kebijaksanaan. Jika anda terus menyimpannya, anda seperti menyimpan musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan. Jika kita kuat bersabarlah dan teruslah bersabar. Orang kata bersabar dalam bersabar (sabrun jamil – sabar yang indah). Tetapi jika hati, jiwa dan perasaan anda rosak akibatnya, menjaraklah. Jangan sabar membunuh kebijaksanaan dan kewarasan.

Apa yang dimaksudkan dengan “bercerai dalam bersahabat?” Bercerai bukan bererti memutuskan silaturrahiim. Itu berat sekali dosanya. Bercerai bermaksud anda letakkan satu jarak yang lebih jauh sedikit daripada sebelumnya antara diri anda dengan sidia. Jadi dalam kategori bersahabat, letakkan kategori-kategori tertentu. Untuk sahabat yang ini yang jaraknya begini, kita kongsikan perkara-perkara tertentu. Untuk sahabat yang itu yang jaraknya begitu, kita kongsikan pula perkara-perkara yang lain.

Jangan kita lupa, dalam hubungan sesama manusia, perkara “jangan lakukan” lebih utama dijaga dan dititikberatkan berbanding perkara “hendaklah dilakukan”. Jangan mengumpat orang, lebih utama dijaga daripada menolong orang. Jangan hasad dengki lebih patut didahulukan daripada rasa simpati dan empati. Jangan membenci mesti dipentingkan berbanding menasihatinya. Pokoknya, dalam persahabatan: Jangan meruntuh itu lebih baik daripada membina!

Pernah anda terjumpa seorang yang begitu suka membantu orang susah, tetapi apabila orang susah itu sudah senang, yang membantu tadi mula “membuntu” dengan hasad dengki, mengumpat dan mencela (orang yang pernah ditolongnya) di belakang? Benarlah kata hukama, merasa susah dengan kesusahan orang lain agak mudah berbanding untuk merasa senang dengan kesenangan orang lain. Nikmat itu selalunya dihasad.

Dalam persabatan anda mesti mengenali antara kelemahan dan kejahatan. Kelemahan itu memang biasa – anda punya kelemahan, sahabat kita punya kelemahan. Jangan menginginkan satu kesempurnaan. Kita bukan bersahabat dengan malaikat… tetapi dengan manusia yang punya seribu satu kelemahan. Kekadang kita terpaksa berhadapan dengan marah, rajuk, pelupa, “pemboros” dan berbagai-bagai lagi karenah. Itu semua sepatutnya kita hadapi. Kasih tidak menjadikan kita buta dengan kelemahan tetapi menerimanya dengan wajar.

Untuk berdepan dengan masalah ini, ibaratkan lah hubungan kita dengannya umpama hubungan tangan kiri dan kanan. Kekadang tangan kiri kotor, tangan kanan pun kotor… bagaimana kita bersihkan kedua-dua belah tangan itu? Ya, kita temukan dan bergeser antara satu sama lain. Itu yang kita buat semasa mencuci tangan.

Akhirnya dengan geseran dan laluan air, kedua-dua tangan yang kotor itu jadi bersih kerana geseran itu rupanya “saling membersihkan”. Itulah hikmah “geseran” dalam persabatan. Kelemahan kalaupun tidak dapat diatasi tetapi dapat diterima dengan rela dan reda.

Itu bukan kelemahan lagi tetapi sudah satu kesalahan. Berdoalah kita agar dijauhkan daripada manusia yang sebegini. Kita tidak sekali-kali boleh membenci… tetapi jangan pula disengat olehnya berkali-kali. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Dan hidup juga terlalu singkat untuk disekat oleh orang yang begini!

Jagalah Allah dalam perhubungan dengan selalu menjaga syariatnya dalam persahabatan. Biarlah hukum halal, haram, sunat, makruh dan harus sentiasa menjadi rujukan bersama. Ke situlah kita merujuk bila berdepan dengan masalah. Dalam hubungan sesama makhluk, Khalik mestilah menjadi pengikatnya. Iman itu mengikat hati-hati manusia umpama “simen” yang melekatkan batu-bata.

Tanpa simen batu bata tidak akan tersusun dan berpadu. Jangan melupakan Allah dalam memburu kasih-sayang manusia kerana dengan melupakan kasih Allah, kita akan gagal merebut kasih manusia. Bila melihat kebaikan sahabat… rasailah itu hakikatnya kebaikan Allah. Tetapi apabila melihat kejahatan atau kelemahan manusia percayalah… itulah cara Allah menguji kita.

Sunday, October 11, 2009

Bersifat Lemah Lembut lah

SATU sifat terpuji yang amat disukai Allah dalam diri seseorang Muslim ialah sifat lemah lembut. Oleh sebab itu, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: Allah itu bersifat lemah lembut dan amat menyukai sifat lemah lembut dalam setiap urusan. (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Menurut Kamus Dewan, lemah lembut didefinisikan sebagai elok perangai, halus budi pekerti, baik hati, berwajah ceria dan berlapang dada. Sifat luhur inilah yang menghiasi peribadi Rasulullah sehingga baginda berjaya menyampaikan kalimah Allah di muka bumi yang terbentang luas ini.

Apa yang dihadapi Rasulullah sepanjang perjalanan dakwahnya selama 23 tahun adalah satu metodologi dakwah yang difardukan kepada umat Islam supaya mereka dapat menyampaikan Islam dengan cara lemah lembut.

Sehubungan itu, Allah memuji sifat Rasulullah atas cara dan pendekatan dilakukan dalam berdakwah di samping memerintahkan umat Islam supaya mencontohi sifat dan peribadi terbilang Rasulullah.

Allah berfirman yang bermaksud: Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Rasulullah mempamerkan contoh terbaik dalam sifat lemah lembut kepada umatnya sebagaimana kisah yang diceritakan Rasulullah dalam satu hadis yang bermaksud: “Ketika aku sedang berdiri menunaikan solat, aku sebenarnya ingin memanjangkan bacaan, tetapi apabila aku mendengar tangisan seorang bayi, lantas aku ringkaskan bacaan kerana aku tidak ingin membuatkan ibunya resah gelisah. (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Di samping itu, Rasulullah diperintahkan Allah supaya bersifat lemah lembut terhadap umatnya ketika menyampaikan dakwah Islam sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan lari dari kelilingmu.

Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Ali Imran , ayat 159)

Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah dengan tujuan membentuk peribadi sahabat dan pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai karakter dan sikap. Dengan panduan ayat ini diharapkan semua matlamat perjuangan dapat dicapai dengan hasil kejayaan yang membanggakan pada waktu yang singkat.

Selepas ayat ini dihayati dan diterapkan oleh Rasulullah, terbukti hanya dalam tempoh 23 tahun Baginda berhasil membentuk sebuah masyarakat Arab Jahiliah sebagai sebuah masyarakat yang makmur penuh dengan pelbagai dimensi kecemerlangan dalam segenap aspek kehidupan.

Selaras dengan seruan al-Quran kepada umat Islam supaya menghiaskan diri dengan sifat lemah lembut, maka pada masa sama, umatnya juga diperintahkan supaya menghindarkan diri daripada segala bentuk caci maki, prasangka buruk, tidak menerima pandangan orang lain, apatah lagi perbuatan yang mengakibatkan fitnah memfitnah antara sesama umat.

Akhlak terpuji yang dianjurkan Islam supaya umatnya berperilaku lemah lembut dalam segala urusan kehidupan dengan maksud mengawal kehendak hawa nafsu, perasaan dan emosi daripada menguasai diri seseorang Muslim.

Hawa nafsu, perasaan dan emosi yang tidak terkawal hanya menjurus umat manusia ke arah suasana hidup yang tidak tenteram, institusi keluarga yang porak peranda, masyarakat yang tidak harmoni, umat manusia pula saling cerca mencerca, pemimpin dan rakyatnya pula saling menjatuhkan antara satu sama lain hingga akhirnya memecah belahkan kesatuan ukhuwwah Islamiah.

Perpecahan umat Islam sudah tentu akan melemahkan perjuangan mereka ke arah memartabatkan kembali ketuanan Islam di bumi Allah ini. Oleh itu, setiap Muslim sewajibnya menginsafi betapa pentingnya persaudaraan Islam yang jitu sehingga Rasulullah pernah mengibaratkan kesatuan umat Islam seumpama satu tubuh badan manusia.

Apabila saja satu anggota tubuh badan menderita sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain pun turut sama ikut menderita. Justeru, sifat lemah lembut wajar menjadi perhiasan wajib setiap Muslim dalam usaha mencipta kesatuan dan keutuhan ukhuwah Islam di kalangan umatnya.

Setiap anggota masyarakat pula hendaklah bersikap lemah lembut sesama mereka, menerima segala pandangan diutarakan dan berusaha menghapuskan segala bibit permusuhan daripada mengakari setiap sendi kehidupan masyarakat.

Perbezaan pendapat dan pandangan politik tidak seharusnya menjadi penghalang ke arah mewujudkan kesatuan dan perpaduan umat untuk sama-sama menggembleng tenaga membina peradaban Islam di bawah naungan Ilahi.

Tambahan pula, Allah memerintahkan umatnya supaya bersatu dengan tali Allah (agama Islam) dan tidak pula berpecah-belah. Rasulullah pernah memberi amaran keras kepada umatnya bahawa jika mereka tidak bersatu, mereka akan menjadi umat yang lemah seperti buih di lautan meskipun bilangan mereka ramai.

Perlu diinsafi bahawa skop sifat lemah lembut ini amat luas. Ia bukan saja terhad dalam konteks hubungan sesama manusia, malah ia turut membabitkan hubungan sesama makhluk lain yang menghuni alam maya ini.

Justeru, Rasulullah memerintahkan setiap Muslim supaya bersikap lemah lembut terhadap binatang. Dalam hal ini, baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah memerintahkan bersifat ihsan (baik dan lemah lembut) dalam segala hal . Apabila kalian hendak membunuh (binatang), maka bunuhlah secara baik. Jika kalian hendak menyembelih, maka asahlah pisau setajam-tajamnya supaya dapat meringankan kesakitan haiwan yang akan disembelihnya. (Hadis riwayat Muslim)

Sahabat juga telah mempelajari keutamaan sifat lemah lembut daripada Rasulullah sebagai contoh terbaik dalam kehidupan mereka.

Satu ketika, Saidina Umar melihat seorang pemuda mengheret kasar pada kaki seekor kambing untuk disembelih, lalu Saidina Umar menegurnya: “Celaka kamu! Mengapa kamu berlaku kasar seperti itu, heretlah kambing itu dengan baik untuk disembelih.

Untuk mencipta situasi negara yang aman damai dan suasana masyarakat yang sejahtera, maka contoh terbaik daripada Rasulullah dan generasi sahabat menjadi ikutan yang sangat relevan untuk dipraktikkan dalam zaman era globalisasi dewasa ini. Akhlak Islam adalah penawar dan ubat yang ampuh bagi segala masalah dan persoalan yang menimpa umat Islam.

Thursday, October 1, 2009

Rezeki

Pernahkah anda terasa suatu hari yang malang? Pernahkah anda mengalami kesulitan yang tidak berkesudahan? Adakah anda rasa gaji anda tidak pernah mencukupi? Adakah anda rasa perniagaan anda tidak membuat keuntungan? Adakah anda letih berusaha tetapi tidak pernah berhasil?

Sekiranya anda pernah mengalami salah satu situasi di atas, kisah berikut mungkin sesuai untuk dijadikan tips supaya dimurahkan rezeki dan dijauhkan kesulitan oleh Allah s.w.t. Abu Yazid Al Busthami, seorang ahli sufi, pada suatu hari pernah didatangi seorang lelaki yang wajahnya kusam dan berkerut.

Dengan murung lelaki itu mengadu, “Tuan Guru, sepanjang hidup saya, rasanya tak pernah saya tinggal ibadah saya kepada Allah. Sewaktu orang lain sedang tidur, saya masih bermunajat. Isteri saya belum bangun, saya sudah mengaji. Saya juga bukan pemalas yang enggan mencari rezeki. Tetapi mengapa saya selalu malang dan kehidupan saya penuh kesulitan?”

Tuan Guru menjawab sederhana, “Perbaiki penampilanmu serta ubah air muka dan raut wajahmu. Tahukah kamu, Rasulullah s.a.w adalah seorang yang miskin namun wajahnya tak pernah keruh dan selalu ceria. Sebab menurut Rasulullah s.a.w, salah satu tanda penghuni neraka ialah muka masam yang membuat orang curiga kepadanya.”

Lelaki itu tertunduk. Ia pun berjanji akan memperbaiki penampilannya. Mulai hari itu, wajahnya senantiasa berseri. Setiap kesedihan diterima dengan sabar, tanpa mengeluh.

Alhamdullilah sesudah itu ia tak pernah datang lagi untuk berkeluh kesah. Keserasiannya juga selalu dijaga. Sikapnya ramah, wajahnya sentiasa mengukir senyum mesra. Air mukanya berseri.

Tidak hairanlah jika Imam Hasan Al Basri berpendapat, tanda-tanda di awal sesuatu pekerjaan yang berhasil adalah air muka yang ramah dan penuh senyuman.

Bahkan Rasulullah s.a.w menegaskan, senyum adalah sedekah paling murah tetapi paling besar pahalanya.

Demikian pula dengan perhubungan suami isteri. Alangkah celakanya rumahtangga jika suami isteri selalu berwajah tegang.

Tidak ada masalah yang dapat diselesaikan dengan mudah melalui kekeruhan dan ketegangan. Sebaliknya dengan hati yang tenang, fikiran yang segar dan wajah yang ceria, insya-Allah segala masalah dapat diatasi.

Inilah yang dinamakan keluarga sakinah, yang di dalamnya penuh dengan cinta dan kasih sayang.
Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner