SATU sifat terpuji yang amat disukai Allah dalam diri seseorang Muslim ialah sifat lemah lembut. Oleh sebab itu, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: Allah itu bersifat lemah lembut dan amat menyukai sifat lemah lembut dalam setiap urusan. (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)
Menurut Kamus Dewan, lemah lembut didefinisikan sebagai elok perangai, halus budi pekerti, baik hati, berwajah ceria dan berlapang dada. Sifat luhur inilah yang menghiasi peribadi Rasulullah sehingga baginda berjaya menyampaikan kalimah Allah di muka bumi yang terbentang luas ini.
Apa yang dihadapi Rasulullah sepanjang perjalanan dakwahnya selama 23 tahun adalah satu metodologi dakwah yang difardukan kepada umat Islam supaya mereka dapat menyampaikan Islam dengan cara lemah lembut.
Sehubungan itu, Allah memuji sifat Rasulullah atas cara dan pendekatan dilakukan dalam berdakwah di samping memerintahkan umat Islam supaya mencontohi sifat dan peribadi terbilang Rasulullah.
Allah berfirman yang bermaksud: Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzab, ayat 21).
Rasulullah mempamerkan contoh terbaik dalam sifat lemah lembut kepada umatnya sebagaimana kisah yang diceritakan Rasulullah dalam satu hadis yang bermaksud: “Ketika aku sedang berdiri menunaikan solat, aku sebenarnya ingin memanjangkan bacaan, tetapi apabila aku mendengar tangisan seorang bayi, lantas aku ringkaskan bacaan kerana aku tidak ingin membuatkan ibunya resah gelisah. (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)
Di samping itu, Rasulullah diperintahkan Allah supaya bersifat lemah lembut terhadap umatnya ketika menyampaikan dakwah Islam sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan lari dari kelilingmu.
Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Ali Imran , ayat 159)
Ayat ini diturunkan kepada Rasulullah dengan tujuan membentuk peribadi sahabat dan pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai karakter dan sikap. Dengan panduan ayat ini diharapkan semua matlamat perjuangan dapat dicapai dengan hasil kejayaan yang membanggakan pada waktu yang singkat.
Selepas ayat ini dihayati dan diterapkan oleh Rasulullah, terbukti hanya dalam tempoh 23 tahun Baginda berhasil membentuk sebuah masyarakat Arab Jahiliah sebagai sebuah masyarakat yang makmur penuh dengan pelbagai dimensi kecemerlangan dalam segenap aspek kehidupan.
Selaras dengan seruan al-Quran kepada umat Islam supaya menghiaskan diri dengan sifat lemah lembut, maka pada masa sama, umatnya juga diperintahkan supaya menghindarkan diri daripada segala bentuk caci maki, prasangka buruk, tidak menerima pandangan orang lain, apatah lagi perbuatan yang mengakibatkan fitnah memfitnah antara sesama umat.
Akhlak terpuji yang dianjurkan Islam supaya umatnya berperilaku lemah lembut dalam segala urusan kehidupan dengan maksud mengawal kehendak hawa nafsu, perasaan dan emosi daripada menguasai diri seseorang Muslim.
Hawa nafsu, perasaan dan emosi yang tidak terkawal hanya menjurus umat manusia ke arah suasana hidup yang tidak tenteram, institusi keluarga yang porak peranda, masyarakat yang tidak harmoni, umat manusia pula saling cerca mencerca, pemimpin dan rakyatnya pula saling menjatuhkan antara satu sama lain hingga akhirnya memecah belahkan kesatuan ukhuwwah Islamiah.
Perpecahan umat Islam sudah tentu akan melemahkan perjuangan mereka ke arah memartabatkan kembali ketuanan Islam di bumi Allah ini. Oleh itu, setiap Muslim sewajibnya menginsafi betapa pentingnya persaudaraan Islam yang jitu sehingga Rasulullah pernah mengibaratkan kesatuan umat Islam seumpama satu tubuh badan manusia.
Apabila saja satu anggota tubuh badan menderita sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain pun turut sama ikut menderita. Justeru, sifat lemah lembut wajar menjadi perhiasan wajib setiap Muslim dalam usaha mencipta kesatuan dan keutuhan ukhuwah Islam di kalangan umatnya.
Setiap anggota masyarakat pula hendaklah bersikap lemah lembut sesama mereka, menerima segala pandangan diutarakan dan berusaha menghapuskan segala bibit permusuhan daripada mengakari setiap sendi kehidupan masyarakat.
Perbezaan pendapat dan pandangan politik tidak seharusnya menjadi penghalang ke arah mewujudkan kesatuan dan perpaduan umat untuk sama-sama menggembleng tenaga membina peradaban Islam di bawah naungan Ilahi.
Tambahan pula, Allah memerintahkan umatnya supaya bersatu dengan tali Allah (agama Islam) dan tidak pula berpecah-belah. Rasulullah pernah memberi amaran keras kepada umatnya bahawa jika mereka tidak bersatu, mereka akan menjadi umat yang lemah seperti buih di lautan meskipun bilangan mereka ramai.
Perlu diinsafi bahawa skop sifat lemah lembut ini amat luas. Ia bukan saja terhad dalam konteks hubungan sesama manusia, malah ia turut membabitkan hubungan sesama makhluk lain yang menghuni alam maya ini.
Justeru, Rasulullah memerintahkan setiap Muslim supaya bersikap lemah lembut terhadap binatang. Dalam hal ini, baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah memerintahkan bersifat ihsan (baik dan lemah lembut) dalam segala hal . Apabila kalian hendak membunuh (binatang), maka bunuhlah secara baik. Jika kalian hendak menyembelih, maka asahlah pisau setajam-tajamnya supaya dapat meringankan kesakitan haiwan yang akan disembelihnya. (Hadis riwayat Muslim)
Sahabat juga telah mempelajari keutamaan sifat lemah lembut daripada Rasulullah sebagai contoh terbaik dalam kehidupan mereka.
Satu ketika, Saidina Umar melihat seorang pemuda mengheret kasar pada kaki seekor kambing untuk disembelih, lalu Saidina Umar menegurnya: “Celaka kamu! Mengapa kamu berlaku kasar seperti itu, heretlah kambing itu dengan baik untuk disembelih.
Untuk mencipta situasi negara yang aman damai dan suasana masyarakat yang sejahtera, maka contoh terbaik daripada Rasulullah dan generasi sahabat menjadi ikutan yang sangat relevan untuk dipraktikkan dalam zaman era globalisasi dewasa ini. Akhlak Islam adalah penawar dan ubat yang ampuh bagi segala masalah dan persoalan yang menimpa umat Islam.
0 Komen:
Post a Comment