Thursday, October 22, 2009

Jangan ada benci..

Tidak mengapa kalau kita tidak mempunyai ramai sahabat, tetapi sedikit itu biarlah yang setia, sayang, tulus dan benar-benar jujur dengan kita. Namun jika ramai sahabat yang setia tentulah lebih baik. Ingin saya tegaskan mencari sahabat yang baik, sama seperti ingin mendapat isteri yang solehah. Keinginan dan cita-cita sesiapa pun ada, tetapi untuk mendapatnya sukar… sesukar mencari gagak putih.

Jadilah solehah… bukan carilah soleh. Jadilah soleh… insya-Allah akan datang solehah untuk kita. Maka begitulah juga dalam petua bersahabat, jadilah sahabat yang baik, bukan carilah sahabat yang baik.

Jika kita ingin mengubah diri kita (ke arah yang lebih baik samada dari segi agama, keperibadian atau kerjaya), jangan lupa untuk “menyemak” semula siapa yang berada di sekeliling kita. Bukankah Nabi Muhammad saw pernah berpesan, agama seseorang ditentukan juga oleh siapa sahabatnya? Jadi jika kita ingin “menukar” iltizam kita dalam beragama, acapkali kita perlu menukar “sahabat” kita.

Jika bersamanya, agama kita tidak bertambah baik (bahkan kekadang merosak)… ayuh berani meninggalkannya! Jagalah hati, walaupun kita menghindari daripadanya, bukan kerana takut “kejahatan” dia berjangkit kepada diri kita tetapi lebih diniatkan agar jangan kejahatan kita yang berjangkit kepadanya.

Persahabatan umpama sebuah perkahwinan. Jika sudah tidak serasi, “bercerailah”. Tetapi pastikan kita bercerai dengan baik-baik. Namun sekali-kali jangan membenci. Mungkin si dia akan mendapat orang yang lebih baik daripada kita sebagai sahabat barunya dan kita akan mendapat orang baik yang lain sebagai sahabat baru.

Ingat sikap nabi Muhammad s.a.w bila berdepan dengan makanan yang tidak disukainya? Baginda akan meninggalkannya tetapi sedikitpun tidak mengecam makanan itu.

Mungkin analogi itu tidak sama dalam konteks persahabatan. Tetapi begitulah panduannya… tinggalkan apa yang kita tidak sukai tetapi jangan sekali-kali membenci. Ingat “benci” itu virus dalam hati dan emosi kita. Orang yang dihinggapi rasa benci akan buta melihat dunia ini dengan lebih indah dan ceria. Pada hal keceriaan dan keindahan itu ada di mana-mana tetapi pembenci tidak akan dapat melihat dan menghidunya.

Di dalam hidup kita pasti wujud orang begitu untuk menguji kita. Ditakdirkan ada manusia yang begitu pandai bermuka-muka. Anda merasakan dia sebagai sahabat, lalu anda longgokkan segala kepercayaan, amanah dan kesetiaan kepadanya (begitukan kalau kita bersahabat?). Oh, kalau begitu jadinya anda seolah-olah memberi “senjata” yaang paling merbahaya untuk dia menikam anda nanti.

Jangan sekali-kali lupa, kesalahan yang paling besar dalam perhubungan ialah bila anda menganggap pandangan, persepsi, rasa hati dan fikiran orang lain sama dengan anda. Ini satu kesilapan besar. Jangan tersilap memberi amanah. Oleh kerana senyumnya manis, pujiannya melangit dan simpati serta empatinya melimpah, anda kalah. Tidak upaya lagi berkata tidak… walaupun dia telah jauh menerobos benteng hak anda yang sangat peribadi.

Dengan bermuka-muka anda akan sentiasa dieksploitasi dan dimanupulasi. Hati-hati. Kesabaran tidak menafikan kebijaksanaan. Jika anda terus menyimpannya, anda seperti menyimpan musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan. Jika kita kuat bersabarlah dan teruslah bersabar. Orang kata bersabar dalam bersabar (sabrun jamil – sabar yang indah). Tetapi jika hati, jiwa dan perasaan anda rosak akibatnya, menjaraklah. Jangan sabar membunuh kebijaksanaan dan kewarasan.

Apa yang dimaksudkan dengan “bercerai dalam bersahabat?” Bercerai bukan bererti memutuskan silaturrahiim. Itu berat sekali dosanya. Bercerai bermaksud anda letakkan satu jarak yang lebih jauh sedikit daripada sebelumnya antara diri anda dengan sidia. Jadi dalam kategori bersahabat, letakkan kategori-kategori tertentu. Untuk sahabat yang ini yang jaraknya begini, kita kongsikan perkara-perkara tertentu. Untuk sahabat yang itu yang jaraknya begitu, kita kongsikan pula perkara-perkara yang lain.

Jangan kita lupa, dalam hubungan sesama manusia, perkara “jangan lakukan” lebih utama dijaga dan dititikberatkan berbanding perkara “hendaklah dilakukan”. Jangan mengumpat orang, lebih utama dijaga daripada menolong orang. Jangan hasad dengki lebih patut didahulukan daripada rasa simpati dan empati. Jangan membenci mesti dipentingkan berbanding menasihatinya. Pokoknya, dalam persahabatan: Jangan meruntuh itu lebih baik daripada membina!

Pernah anda terjumpa seorang yang begitu suka membantu orang susah, tetapi apabila orang susah itu sudah senang, yang membantu tadi mula “membuntu” dengan hasad dengki, mengumpat dan mencela (orang yang pernah ditolongnya) di belakang? Benarlah kata hukama, merasa susah dengan kesusahan orang lain agak mudah berbanding untuk merasa senang dengan kesenangan orang lain. Nikmat itu selalunya dihasad.

Dalam persabatan anda mesti mengenali antara kelemahan dan kejahatan. Kelemahan itu memang biasa – anda punya kelemahan, sahabat kita punya kelemahan. Jangan menginginkan satu kesempurnaan. Kita bukan bersahabat dengan malaikat… tetapi dengan manusia yang punya seribu satu kelemahan. Kekadang kita terpaksa berhadapan dengan marah, rajuk, pelupa, “pemboros” dan berbagai-bagai lagi karenah. Itu semua sepatutnya kita hadapi. Kasih tidak menjadikan kita buta dengan kelemahan tetapi menerimanya dengan wajar.

Untuk berdepan dengan masalah ini, ibaratkan lah hubungan kita dengannya umpama hubungan tangan kiri dan kanan. Kekadang tangan kiri kotor, tangan kanan pun kotor… bagaimana kita bersihkan kedua-dua belah tangan itu? Ya, kita temukan dan bergeser antara satu sama lain. Itu yang kita buat semasa mencuci tangan.

Akhirnya dengan geseran dan laluan air, kedua-dua tangan yang kotor itu jadi bersih kerana geseran itu rupanya “saling membersihkan”. Itulah hikmah “geseran” dalam persabatan. Kelemahan kalaupun tidak dapat diatasi tetapi dapat diterima dengan rela dan reda.

Itu bukan kelemahan lagi tetapi sudah satu kesalahan. Berdoalah kita agar dijauhkan daripada manusia yang sebegini. Kita tidak sekali-kali boleh membenci… tetapi jangan pula disengat olehnya berkali-kali. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Dan hidup juga terlalu singkat untuk disekat oleh orang yang begini!

Jagalah Allah dalam perhubungan dengan selalu menjaga syariatnya dalam persahabatan. Biarlah hukum halal, haram, sunat, makruh dan harus sentiasa menjadi rujukan bersama. Ke situlah kita merujuk bila berdepan dengan masalah. Dalam hubungan sesama makhluk, Khalik mestilah menjadi pengikatnya. Iman itu mengikat hati-hati manusia umpama “simen” yang melekatkan batu-bata.

Tanpa simen batu bata tidak akan tersusun dan berpadu. Jangan melupakan Allah dalam memburu kasih-sayang manusia kerana dengan melupakan kasih Allah, kita akan gagal merebut kasih manusia. Bila melihat kebaikan sahabat… rasailah itu hakikatnya kebaikan Allah. Tetapi apabila melihat kejahatan atau kelemahan manusia percayalah… itulah cara Allah menguji kita.

0 Komen:

Post a Comment

Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner