Thursday, September 30, 2010

Ya Allah...


Bukan mudah Ya ALLAH…
Berdiri di tangga kemewahan, kenikmatan dan kesenangan
Keindahan dunia ini menganggu ku
Kemanisan hubbu dunya ini mencarik-carik imanku
Dimanakah aku tanpa kecintaan padaMU

Aku runsing Ya ALLAH
Aku berlari ke sana dan ke sini
Aku mencari dan terus mencari
Dimanakah ku tagih cinta Ilahi
Bagaimana harus ku bayar nikmat yang Kau beri
Sedang aku tidak diuji
Maka saat aku tidak diuji, adalah ujian yang terbesar sekali
Andai bisa aku berbicara denganMU
Dan ku harap Kau mendengar pengaduanku
Sungguh aku bukan bercakap kosong
Inilah keluhan hatiku
Yang merindu cinta MU, yang mengharap keredhaan MU….

Ampuni aku Ya ALLAH
Aku lemah lagi tak bermaya
Melawan sesuatu yang digelar fana dunia
Aku tak mampu Ya ALLAH,
Belenggu ini menghimpit ku…
Belenggu ini menghiburkan hatiku
Sehingga aku senang denganya
Sehingga aku takut kehilanganya
Sedang cintaMU itu sangat luar biasa…
Sedang cintaMU itu lebih dari segala-galanya…

Sungguh aku tak layak Ya ALLAH menghampiri syurgaMU
Dan pasti menggeletarlah seluruh tubuhku mendengarkan api nerakaMU
Lalu ke manakah langkahku
Selayaknya dimanakah tempatku
Atas redhaMU ya Rabbi..
aku hanya menuruti
Andai aku diseksa, kan aku patuhi
Asalkan Kau meredhai hidupku ini

Terima Kasih Ya ALLAH kerana sudi menyayangi diri ini
Terima Kasih Ya ALLAH kerana sering mendengar pengharapan serta pengaduanku
Terima Kasih Ya ALLAH kerana sering bersama-sama denganku,
tak kira apa keadaan imanku
Sesungguhnya Ya ALLAH,
cinta ku hanya milikMU…

Thursday, September 23, 2010

Dua Kuasa Mutlak Yang Mesti Difahami


Hanya ada dua orang yang mempunyai kuasa ini. SUAMI dan IBU. Kuasa suami ke atas isteri dan kuasa ibu ke atas anak-anak. Kuasa Mutlak ini sungguh besar ertinya di sisi agama Islam sehingga seseorang itu akan dimurkai Allah sekiranya dia menyakiti hati dua golongan tadi.

Sebagai contoh; seorang isteri yang melukai hati suaminya walau sedikit akan berdosa besar (bukan dalam kes terkecuali). Begitu juga anak-anak terhadap ibunya.

Kalau isteri - bayangkan seorang isteri yang secara tidak sedar menyakiti hati suaminya dan tidak meminta maaf. Isteri tersebut akan terus berdosa dan sekiranya dia hamil, anak tersebut akan dikandung didalam badan yang berdosa.

Besar kemungkinan anak tersebut akan mendapat banyak sifat-sifat yang tidak baik dan seterusnya anak itu lahir dan membesar dan menjadi dewasa dan membawa sifat-sifat yang tidak elok itu ke dalam zuriatnya. Tambahan pula dalam keadaan berdosa bagaimana doa-doanya akan diterima Allah? Tanpa doa yang diterima, apalagi daya kita untuk mendapat kebahagiaan?

Kalau anak-anak - cukup senang untuk mendapat dosa. Terguris sahaja hati ibunya oleh kata-kata atau perbuatan, maka anak tersebut akan berdosa. Yang paling ditakuti dosa tersebut tidak disedarinya. Sekiranya anak tidak meminta ampun maka dosa tersebut akan terus dipikul. Kesannya, doa-doa anak tersebut tidak diterima Allah, ibadatnya tidak mendapat pahala, hidupnya akan tidak mendapat berkat dan lain-lain lagi. Akhirnya anak akan mendapat berbagai balasan dari Allah di bumi lagi.

Cerita - Kita sering ditakutkan oleh para ustaz tentang cerita bagaimana dua orang pemuda yang soleh mendapat seksaan Allah di zaman Nabi saw. Yang seorang sebab dia TAK SEDAR menyakiti ibunya apabila habuk yang disapu terkena ibunya TANPA DISEDARI.

Dan yang seorang lagi kerana TANPA DISEDARI, dia menyakiti hati ibunya kerana mengutamakan isterinya. Kedua-duanya diseksa oleh Allah sehingga Nabi saw memerintahkan kedua ibu tadi mengampunkan anak-anak mereka.

Ustaz kata cerita tersebut menyuruh kita sentiasa taat kepada ibu. Sebenarnya itu hanyalah setengah dari pengajaranya.

Ada lagi setengah - IBU mesti tahu kuasa yang diberi kepada mereka. Oleh itu IBU MESTI MENGAMPUNKAN ANAKNYA SETIAP MALAM, samada anaknya meminta atau tidak dan begitu juga dengan SUAMI MESTI MENGAMPUNKAN ISTERINYA SETIAP MALAM, samada isteri meminta atau tidak.

Cerita tersebut mengajar kita bahawa sebagai IBU kita mempunyai satu kelebihan yang besar keatas anak-anak kerana berdasarkan cerita itu tidak mungkin pemuda-pemuda tersebut sedar akan kesalahan mereka. Kalau
dah tak sedar, bagaimana pula ingin meminta ampun.

Seorang suami dan ibu MESTI tahu akan KUASA MUTLAK ini dan kuasa ini hendaklah dijaga dengan baik. Insya Allah bermula dari satu keluarga yang mana suami memaafkan isteri dan ibu memaafkan anak, maka lahirlah satu masyarakat yang mendapat berkat dari Allah, sentiasa di bawah lindunganNya dan menjadi umat Islam yang menghayati Islam.

Ingatlah, seorang ISTERI (wanita) mesti taat kepada SUAMInya (lelaki).

Manakala, si SUAMI (lelaki) mesti taat kepada IBUnya (wanita). Isteri akan menjadi ibu yang akan melahirkan anak yang akan menjadi suami (anak lelaki) dan juga isteri (anak perempuan) dan seterusnya mereka akan melahirkan pula bakal-bakal suami dan isteri. Jadi tidak ada yang ketinggalan. Semuanya akan merasa mempunyai KUASA MUTLAK. Tetapi yang penting bukanlah ‘mempunyai’ tetapi MESTI menggunakan dengan bijak.

Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner