Monday, March 29, 2010

Kunci dunia dan akhirat


Dalam beribadah kepada Allah, seorang muslim tentu mengharapkan kebaikan dari Allah. Ketika dia bersyukur, bersabar ataupun ketika bertaubat dari kesalahan, pasti kebaikanlah yang dituju.Sesungguhnya niat ikhlas yang ada pada diri seorang muslim ketika melakukan suatu amalan. Dia hanya mengharapkan kebaikan dari Allah SWT, tidak dari selainNya.

Allah telah menjadikan kunci sebagai pembuka bagi setiap perkara yang dituntut. Dia menjadikan kunci solat adalah bersuci, sebagaimana sabda Nabi SAW,"Kunci solat adalah taharah (bersuci)

Kunci haji adalah ihram, kunci segala kebaikan adalah kejujuran. Kunci syurga adalah tauhid. Kunci ilmu adalah bertanya dengan baik dan serius mendengar, kunci kemenangan dan kegemilangan adalah sabar. Kunci penambahan nikmat adalah bersyukur. Kunci kewalian adalah cinta dan zikir. Kunci keberuntungan adalah taqwa. Kunci petunjuk adalah cinta dan takut kepada Allah swt. Kunci permintaan adalah doa. Kunci cinta akhirat adalah zuhud di dunia. Kunci iman adalah merenungkan apa saja yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya untuk direnungkan.

Kunci masuk kepada Allah swt adalah penyerahan hati kepadaNya, ikhlas keranaNya dalam cinta, mengerjakan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Kunci kehidupan hati adalah merenungkan al-Quran, merendahkan diri, berdoa dan meninggalkan dosa.

Kunci rezeki adalah bekerja dengan disertai istighfar dan taqwa. Kunci kemuliaan adalah taat kepada Allah dan RasulNya. Kunci persiapan menuju akhirat adalah memendekkan angan-angan. Kunci segala kebaikan adalah cinta Allah dan negeri akhirat. Dan kunci segala keburukan adalah cinta dunia dan panjang angan-angan.

Bab ini merupakan bab ilmu yang paling bermanfaat iaitu mengetahui pintu-pintu kebaikan dan keburukan. Tidak ada yang mengetahuinya dan peduli kepadanya kecuali orang yang bernasib baik dan mendapatkan hidayah. Kerana sesungguhnya Allah swt telah membuat kunci dan pintu masuk bagi kebaikan dan keburukan.

Allah swt juga membuat kunci masuk neraka adalah syirik, sombong, berpaling dari ajaran Allah yang dibawa rasulNya, enggan berdzikir kepadaNya dan tidak menunaikan hak-hakNya.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadikan arak sebagai kunci segala dosa. Dia menjadikan kesesatan kunci perzinaan.Allah menjadikan menipu sebagai kunci kemunafikan. Allah menjadikan kekikiran dan kemegahan sebagai kunci kedekut, memutus hubungan sanak saudara dan mengambil harta orang lain dengan tidak halal. Allah swt juga menjadikan berpaling dari ajaran yang dibawa oleh RasulNya sebagai kunci bid’ah dan kesesatan.

Setelah kita mengetahui sebagian dari kunci kebaikan di atas, maka di sana ada satu kunci utama sebagai pintu pertama untuk mendapatkan kunci-kunci tersebut.

Tidak lain kunci utama itu adalah ilmu. Kerana dengan ilmu, seseorang akan mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang mendatangkan cinta dan redha Allah, dan mana yang akan membawa pada kemurkaanNya.Dengan ilmu, seseorang boleh melakukan berbagai amalan.Imam al-Bukhari berkata "Ilmu itu (harus ada) sebelum berkata dan beramal."

Dan Rasulullah SAW sendiri telah menegaskan bahawa orang yang disukai oleh Allah, adalah orang yang diberi pemahaman ilmu agama. Beliau bersabda "Barangsiapa yang Allah kehendaki akan kebaikan padanya, nescaya orang itu akan faham dalam agamanya." [Muttafaq `alahi], dan Allah berfirman "Ya Rabbku, tambahkanlah kepadaku ilmu." [Thaha: 114]

"Wahai Allah, berikanlah manfaat kepada kami dengan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, dan ajarkanlah kepada kami apa yang bermanfaat bagi kami, dan berikanlah tambahan ilmu kepada kami.

Sunday, March 14, 2010

WANITA Tersembunyi biarpun hadirnya mengegarkan..


Wanita dimasyhurkan kerana tidak ditonjolkan. Ia tersembunyi biarpun hadirnya menggegarkan. Dia adalah Hawa. Dia dicipta sebagai wanita.Pelengkap lelaki yang mempunyai keistimewaan yang tuntas dan termahal di dalam menjana peribadi unggul dan berprestij. Dia adalah aspirasi setiap generasi. Bertepatan dengan fitrahnya yang lembut, berhikmah, halus dan tersendiri, ia mempunyai sentuhan ajaib yang terlalu sukar untuk diganggu gugat. Agung dan uniknya wanita kerana menjadi tapak semaian pertama benih-benih generasi yang bakal mewarnai dunia dengan agenda perjuangan. Peranannya di dalam memanusiakan manusia tidak pernah dinafikan oleh kebenaran sejarah.

Dilahirkan sebagai wanita, insan yang dianggap lemah ini tidak pernah teragak-agak untuk bergandingan dengan rijal sebagai serikandi yang mekar dan terus mewangi di taman dakwah dan jihad. Senyumnya adalah rahsia yang tersingkap, tangisannya adalah rasa hati dan kemarahannya adalah pemberontakan kasih sayang. Amat malang, kewujudan makhluk ciptaan Tuhan yang merupakan sebahagian daripada juzu alam ini disalahertikan oleh golongan jahiliah suatu ketika dahulu. Bagi mereka, wanita adalah lambang kehinaan, punca kepapaan, satu kaum yang tidak bernilai dan boleh ditanam hidup-hidup.

Memanjangkan hayat wanita bermakna membenarkan kehinaan bertapak di dalam keluarga. Wanita adalah golongan terpinggir yang tidak pernah diiktiraf haknya di dalam meneruskan kehidupan mereka.Kebencian mereka terhadap wanita didedahkan oleh Allah di dalam Al Quran ketika kalam kepastianNya dituturkan, yang bermaksud :
"Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar gembira dengan kelahiran anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya dan dia sangat marah.Ia menyembunyikan dirinya dari orang ramai,disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu." [Suran An Nahl: 58-59].

Kedatangan Islam meninggikan martabat wanita untuk bergerak seiring dengan kaum lelaki sebagai sayap kiri perjuangan. FirmanNya yang bermaksud, "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang maaruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." [Surah At Taubah : 71]

Kelahiran Saidatina Khadijah, Aisyah, Fatimah, Asma, Rabiah Al Adawiah dan serikandi-serikandi pejuang didikan madrasah Rasulullah menyerlahkan imej wanita sebagai ratu manusia dan ibu yang telah berjaya membentuk generasi rabbani.

Saidatina Khadijah adalah lambang keunggulan wanita muslimah. Sebaris nama itu sering menjadi sebutan dibibir Rasulullah biarpun pada hari-hari selepas kematiannya. Dia adalah wanita pertama yang menjadi penyeri dunia Rasulullah.Fatimah yang solehah punya peribadi anggun yang menjadi nadi kepada kelangsungan hayat Saidina Ali. Dia tidak suka melihat lelaki dan tidak suka pula dilihat oleh lelaki. Asma telah berjaya melahirkan Abdullah Az Zubir, panglima yang gagah berani melalui kemantapan tarbiyyahnya. Rabiah Al Adawiah merupakan sumber inspirasi cinta yang sentiasa merindui Tuhannya. Dia tenggelam di dalam keasyikan cinta Al Haq yang sering melafazkan alunan resah pada setiap penjuru dosa.

Bagaimana aku tidak bersedih sedangkan aku tidak tahu samada Dia marah atau redha denganku. Alangkah buruknya hamba yang menyembah Allah S.W.T semata-mata mengharapkan syurgaNya dan takutkan api nerakaNya.Seandainya Allah tidak menjadikan syurga dan neraka, apakah kamu akan menyembahNya? tulah wanita-wanita yang sering menggegarkan dunia, menjadi idola setiap lelaki beriman.

Era modenisme menyaksikan wanita-wanita yang seumpama itu kian lumpuh dan tandus. Wanita biasanya dikaitkan dengan kelemahan yang sering menuntut kebebasan. Mereka lebih mementingkan kecantikan zahir untuk dipertontonkan tanpa menekankan kecantikan diri ( batin ) yang lebih universal dan abadi. Wanita diekspliotasi oleh setiap golongan yang tidak memahami fungsi kewujudannya. Wanita bukan lagi pakar yang mempunyai penawar ampuh yang dapat merawat penyakit ummah yang semakin kronik dan bervariasi.Kebanyakan mereka adalah wanita adunan barat yang sering mengaplikasikan imej Diana, Madonna, Elizabeth Taylor, atau Whitney Houtosn sebagai budaya.Mereka adalah puteri,ratu dan Cinderella abad ke 21 yang menjadi igauan dan impian wanita-wanita yang berpenyakit hati.

Pastinya setiap wanita muslimah merasa terpanggil untuk merubah situasi ini. Emosi dan psikologi muslimah akan tertampar pedih melihat kemelut yang tercetus di abad ini. Ke mana hilangnya Khadijah, Aisyah, Fatimah, Rabiah dan Isabella di dalam diri wanita hari ini? Apakah kehilangan mereka merupakan penamat kepada perjuangan muslimah atau pencetus kelahiran baru yang lebih gemilang? Biarlah ilmu dan kesedaran yang menentukan keinginan kita untuk bertindak. Cukuplah perkhabaran daripada Rasulullah yang mengatakan bahawa kebanyakan wanita adalah penghuni neraka sebagai peringatan yang membataskan segala pergerakan dan kata-kata. Marilah kita sama-sama mengutip sejarah keagungan wanita solehah terdahulu untuk kita warnakan kehidupan serikandi alaf baru. Kita adalah penerus kesinambungan semangat waja muslimah solehah yang bakal melahirkan seribu Asma, Khadijah, Fatimah, Rabiah dan seumpamanya.

Thursday, March 11, 2010

Wahai para malaikat saksikanlah..


Dari Abu Hurairah ra, nabi saw bersabda, "Barang siapa yang solat tanpa membaca Ummul Our'an, maka solatnya tidak sempurna (beliau ucapkan tiga kali)" Abu Hurairah ditanya, "Bagaimana kalau kita menjadi makmum?" Dia menjawab, "Bacalah Ummul Qur'an dalam hatimu saja, kerana saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda {di dalam hadits Qudsi}, Allah Azza wa Jalla berfirman, "Aku membagi solat menjadi dua bahgian antara Aku dan hamba Ku, hambaKu berhak atas apa yang dia minta."

Kalau seorang hamba mengucapkan Alhamdu lillaahi rabbil 'aalamiin {segala puji
bagi Allah, Tuhan semesta alam}, maka Allah SWT berfirman, "Hambaku memujiku."

Apabila hamba-Ku mengucapkan Arrahmaanirrahiim {Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang}, maka Allah SWT menjawab, "HambaKu menyanjung-Ku"

Ketika seorang hamba mengucapkan Maaliki yaumiddiin {Yang menguasai hari pembalasan}, maka Allah SWT menjawab, 'Hambaku berserah diri kepadaKu."

Jika seorang hamba mengucapkan Iyyaaka na'budu wa iyyaka nasta'iin {Hanya kepadaMu kami mengabdi dan hanya kepadaMu kami memohon pertolongan}, maka Allah SWT menjawab, "Ini antara Aku dan hambaKu, hamba-Ku berhak atas apa yang dia minta."

Apabila seorang hamba mengucapkan Ihdinash shiraathal mustaqiim, shiraathalladziina an'amta 'alaihim ghairil maghdhuubi 'alaihim waladhdhaalliin {Tunjukkan kami ke jalan yang lurus, yaitu jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat atas mereka, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang tersesat}, maka Allah SWT menjawab, "Ini untuk hambaKu dan hambaKu berhak atas yang dia minta." {Muslim 2/9}

Dalam riwayat lain:
Ali bin Abi Thalib mengatakan, Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Saw bersabda bahwa Allah Swt berfirman “Aku membagi surah Al Fatihah menjadi dua bahagian, setengah bahagian untukKu, setengah bahagian lainnya untuk HambaKu, apa yang dimintanya akan aku perkenankan,bila ia membaca Bismillahirrahmanir-rahim, Allah Berfirman, “HambaKu memulai pekerjaannya dengan menyebut namaKu, maka menjadi kewajibanku untuk meyempurnakan seluruh pekerjaannya serta Kuberkati seluruh keadaannya.

Apabila ia membaca, Alhamdulillahi Rabbil alamin, Allah menyambutnya dengan berfirman, “HambaKu mengetahui bahawa seluruh nikmat yang dirasakannya bersumber dariKu, bahawa ia telah terhindar dari malapetaka kerana kekuasaanKu. Aku mempersaksikan (wahai para malaikat), bahawa Aku akan menganugerahkan kepadanya nikmat-nikmat di akhirat, disamping nikmat-nikmat duniawi dan akan Kuhindarkan pula ia dari malapetaka ukhrawi dan duniawi.”

Apabila ia membaca, Ar Rahmanir Rahim, Allah menyambutnya dengan berfirman, “Aku diakui oleh hambaKu sebagai pemberi Rahmat dan sumber segala rahmat. Kupersaksikan kamu (wahai para malaikat) bahawa akan Aku curahkan rahmatKu kepadanya, sehingga sempurna dan akan kuperbanyak pula anugerahKu.”

Apabila ia membaca, “Malikiyaumiddin, Allah menyambutnya dengan berfirman, “Kupersaksikan kamu wahai para malaikat, sebagaimana diakui oleh hambaKu, bahawa Akulah Pemilik Hari Kemudian, maka akan Aku permudah baginya perhitungan dihari itu, akan Kuterima kebaikan-kebaikannya dan Kuampuni dosa-dosanya.”

Apabila ia berkata, Iyyaka na’budu, Allah menyambutnya dengan berfirman, “Benar apa yang diucapkan hambaKu, hanya Aku yang disembahnya. Kupersaksikan kamu semua, akan Kuberi ganjaran atas pengabdiannya, ganjaran yang menjadikan semua yang berbeza ibadah dengannya akan iri dengan ganjaran itu.”

Apabila ia membaca wa iyyakanasta’in, Allah berfirman, “KepadaKu hambaKu meminta pertolongan dan perlindungan. Kupersaksikan kamu pasti akan Kubantu ia dalam segala urusannya akan Kutolong dia dalam segala kesulitanya, serta akan Kubimbing dia pada saat-saat kesukaranya.”

Apabila ia membaca, “Ihdinash shiratal mustaqim hingga akhir surat, Allah menyambutnya dengan berfirman, “Inilah permintaan hambaKu dan bagi hambaKu apa yang dimintanya telah Kuperkenankan bagi hambaKu permintaannya, Kuberikan apa yang diharapkannya, Kutenteramkan jiwanya dari segala yang mengrisaukannnya.”

Tuesday, March 2, 2010

Jangan biarkan Cinta Allah tidak berbalas!

“Dan apabila hamba-Ku bertanya mengenai Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” [Surah al-Baqarah: 186]

Sesungguhnya apabila Allah mencintai hamba-Nya, ia dapat dilihat dengan jelas dan dirasa melalui hati bersih. Ketika Allah mencintai seorang hamba, maka jatuhlah ke dalam hati hamba itu ilham suci yang membuat dia mengenali tanda kecintaan-Nya.

Ada beberapa tanda yang boleh dirasa oleh hati manusia antaranya:
•Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila dia menjadi begitu berminat dengan ibadah.Adakalanya sesetengah orang berusaha sekuat-kuatnya untuk beribadah, hatta melebihi kapasiti diri sebagai insan lemah. Tujuannya hanya satu iaitu mahu mencintai Allah.

Tetapi ibadahnya seolah-olah kosong tanpa rasa, tawar tiada kemanisannya, semangat imannya maju dan mundur, turun dan naik, akhirnya tenggelam pula dipukul arus dunia. Ketika beribadah semestinya seseorang mampu menghadirkan keyakinan bahawa saat itu Allah mencintai dirinya.

Pernahkah kita menikmati sujud yang panjang sambil menghadirkan dalam hati bahawa saat itulah Allah mengisytiharkan nama kita sebagai orang
dicintai-Nya?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Jika Allah mencintai seorang hamba maka Ia berfirman: Wahai Jibril sesungguhnya aku mencintai si polan maka cintailah dia.” [Riwayat Imam Ahmad]

Maka orang yang yakin bahawa Allah mencintai dirinya tidak pernah rasa
was-was adakah ibadahnya diterima atau tidak? Jauh sekali rasa takbur kerana dia yakin yang menolongnya untuk melakukan ketaatan adalah Allah juga. Bukan kerana kehebatan dan kewarakan, melainkan Allah yang menuntun ke jalan takwa.

Kemudian dia sampai kepada satu makrifah mendalam mengenai Allah iaitu cinta Allah kepada hamba-Nya jauh lebih agung daripada cinta sesama insan. Manusia boleh mengkhianati ibu bapanya atau anak dan isterinya, kawan atau kekasih atas alasan tidak mendapat keuntungan daripada perhubungan itu. Tetapi cinta Allah kekal tidak pernah luntur walaupun dicabar oleh sepak terajang hamba derhaka.


•Tanda Allah mencintai seseorang ialah apabila maksiat membuat dia bangkit mendekati Allah.Adakalanya dosa boleh mendatangkan manfaat iaitu apabila dosa itu akhirnya membawa kepada keinsafan, taubat dan istighfar.

Kemudian seseorang bangkit mengejar Allah, berusaha mendapatkan hatinya yang hilang di belantara maksiat. Ia sama sekali tidak berputus asa daripada rahmat Allah. Ia sentiasa mengingati janji Allah Yang Maha Pengampun.

Firman Allah bermaksud “Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu Kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” [Surah al-Zumar: 53-54]

Janganlah kerana dosa semalam seseorang menyangka Allah tidak sudi mendengar rintihannya, terputus tali langit di hatinya, tertolak segala doanya dan terusir dia daripada pandangan Allah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud “Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman-Nya. Seandainya kamu tidak berdosa nescaya Allah akan mematikan kamu. Kemudian Allah akan mendatangkan satu kaum yang melakukan dosa dan mereka memohon keampunan kepada Allah lantas Allah mengampuni mereka.” [Hadis riwayat Imam Muslim]

Hamba yang taat apabila perangainya berubah menjadi iblis pun Tuhan tetap menunggu, di setiap malam rintihan hamba itu diintip hingga ia pulang kembali ke sisi-Nya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud “Tuhan kita turun ke langit dunia pada waktu malam tatkala tiba sepertiga malam yang akhir lalu berfirman: Siapakah yang berdoa kepada-Ku nescaya aku terima, siapakah yang meminta kepada-Ku nescaya Aku beri dan siapakah yang meminta ampun nescaya Aku ampuni.” [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Mengapa Allah masih mencari hamba-Nya yang jahat, membangkang dan suka berpaling dengan sombong? Kecintaan apakah itu yang boleh memaafkan sekeji-keji dan sehina-hina manusia? Betapa lembutnya Allah dan Maha Pengasih lagi Penyayang kepada makhluk-Nya.

Dengan cinta-Nya ditutupi segala aib hamba yang hina, memberi peluang berjuta kali dan menangguhkan seksa untuk tetap setia menunggu di langit dunia, bilakah agaknya hamba-Nya ini mahu membersihkan diri.

Saat Allah mencintai seseorang, tempat pertama menerima sentuhan cinta itu ialah hati mereka. Di situlah Allah lenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka kemudian diganti dengan harapan dan keinginan untuk berubah menjadi insan bersih. Hati kita seeloknya selalu berbisik: “Aku tahu bila Allah mencintaiku, iaitu saat aku membenci segala kejahatanku.”

•Tanda Allah mencintai seorang hamba ialah apabila dilapangkan dadanya menerima ilmu yang menjadi petunjuk ke jalan benar. Allah tidak sesekali membiarkan seseorang insan terkapai-kapai dalam lautan dosa. Bahkan dikirim ke atas hati manusia petunjuk hidayah-Nya supaya manusia terselamat daripada gelombang keganasan dirinya sendiri.

Manusia dibekalkan hati, perasaan, akal dan fikiran untuk membezakan mana baik serta yang keji. Tidak cukup dengan itu, diutuskan juga Rasul, diturunkan al-Quran, dilahirkan pejuang agama-Nya terpilih untuk menerangi kegelapan seraya berdakwah fisabilillah.

Allah juga menjaga pusaka peninggalan Rasul iaitu ilmu Islam, menjaga al-Quran daripada pencerobohan manusia dan mewariskan sunnah Rasul-Nya supaya menjadi ikutan. Baginda SAW bersabda bermaksud

“Apabila Allah mencintai seseorang maka ia membuatnya faham mengenai agamanya.” [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner