Thursday, December 24, 2009

Akhlak

AKHLAK adalah perkara penting selepas iman. Setiap orang akan dinilai berdasarkan budi pekertinya (akhlak). Jika baik akhlaknya, maka dia akan dianggap baik. Jika buruk akhlaknya meskipun ada melakukan kebajikan, tetap tidak akan dinilai.

Oleh itu, orang yang mempunyai akhlak mulia akan dipandang mulia di sisi Allah. Contoh, akhlak mulia adalah akhlak Rasulullah. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia." [Surah al-Qalam : 4].

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang akhlak yang baik, maka beliau membacakan kepadanya firman Allah SWT
“Jadilah engkau seorang pemaaf, suruhlah orang mengerjakan yang makruf dan berpalinglah dari orang-orang yang jahil.” [Surah al-A'raf: 199]

Anas bin Malik berkata: "Seorang hamba dengan akhlaknya yang baik dapat mencapai darjat tertinggi di syurga, sedangkan ia bukanlah seorang ahli ibadah. Dan dengan akhlaknya yang buruk akan terhempas ke dasar paling bawah neraka Jahanam, sedangkan ia seorang ahli ibadah".

Ibn al-Mubarah pernah mendapat seorang teman seperjalanan yang buruk akhlaknya. Namun ia tetap bersabar dan sentiasa berusaha mengikuti kemahuan temannya itu. Dan ketika akhirnya mereka terpisah, Ibnu al-Mubarah menangis. Seseorang menanyakan hal itu kepadanya, dan ia pun berkata: "Aku menangisi orang itu. Kini aku telah berpisah darinya, sedangkan akhlaknya yang buruk masih bersamanya, tidak berpisah darinya."

Diriwayatkan bahawa Umar r.a pernah meminta izin untuk menemui baginda Rasulullah s.a.w. ketika itu ada beberapa orang wanita dari kalangan Quraisy sedang berbicara dengan baginda, suara mereka terdengar lebih keras daripada baginda. Tiba-tiba ketika mengetahui Umar meminta izin untuk masuk, mereka bergegas menyembunyikan diri di balik hijab. Dan masuklah Umar sementara Rasulullah s.a.w tertawa. Umar pun bertanya: "Kenapa anda tertawa, ya Rasulullah? Jawab baginda:
"Sungguh aku hairan melihat tingkah laku wanita-wanita yang baru saja bersamaku, ketika mendengar suaramu mereka segera menyembunyikan diri di balik hijab".
Mendengar itu, Umar berkata: "Sungguh engkaulah, ya Rasulullah, yang lebih patut mereka takuti daripada aku."

Kemudian ia menoleh ke arah para wanita itu, seraya berkata: "Adakah kalian takut kepadaku dan tidak takut kepada Rasulullah?" Mereka menjawab: "Ya, kerana anda begitu keras dan begitu kasar, tidak seperti Rasulullah s.a.w!".

Dari hadis dan kisah di atas jelas menunjukkan pentingnya soal menjaga akhlak. Dalam kehidupan seharian yang dilingkungi berbagai jenis manusia, akhlak adalah perkara utama. Akhlak yang baik disenangi manakala buruk hanya akan menambah musuh. Apakah cara memperbaiki akhlak yang buruk? Pertama, bagaimana bentuk ibadat wajib kita. Pastikan ia benar-benar menurut apa yang diperintahkan Allah. Kedua, dari mana sumber rezeki kita yang menjadi darah daging dan membentuk keperibadian kita dan ketiga siapakah rakan-rakan di sekeliling kita. Jika semua rakan buruk akhlaknya maka kita juga merasa tempiasnya.



Sunday, December 13, 2009

Salam Maal Hijrah

Hijrah di segi bahasa bererti berpindah dari satu tempat ke tempat lain.Dalam konteks sekarang Islam tidak lagi menuntut umatnya berhijrah dalam pengertian geografi [berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain] tetapi yang dituntut adalah hijrah dalam maksud hakiki iaitu dalam bentuk peningkatan amal dan memperbaiki sikap sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah ke atasnya [Riwayat Bukhari & Muslim].

Perjuangan untuk hijrah ini sesungguhnya adalah perjuangan maha berat dan besar. Ini merujuk pada perkataan Rasulullah SAW kepada sahabat sekembalinya mereka daripada Perang Badar:

“Sesungguhnya kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan besar.”

Sahabat bertanya, “Peperangan apa Ya Rasulullah.”

Rasulullah bersabda, “Peperangan melawan hawa nafsu.”

Ini bererti, hijrah dan perubahan itu bukan sekadar perubahan sikap yang lahir dan luaran sahaja tetapi termasuk juga sikap yang bersifat rohani dan batiniyah. Penghayatan hijrah itu bukan sekadar di mulut ataupun perubahan secara fizikal, tetapi perubahan fikiran, tindakan, pertuturan, akhlak dan hati. Juga perubahan dari sifat mazmumah kepada sifat mahmudah, hijrah daripada perkara yang didorong dan disukai oleh nafsu kepada perkara yang menyakitkan nafsu. Ia tidak semudah seperti yang disangkakan.

Daripada pemarah kepada penyabar, daripada pendendam kepada pemaaf, daripada sombong kepada rendah diri, daripada mementingkan diri sendiri kepada mengutamakan orang lain, daripada kedekut dan tamak kepada pemurah dan baik hati, daripada zalim kepada membela nasib orang yang memerlukan, daripada lupakan Tuhan kepada kenal, cinta dan takutkan Allah.

Untuk memenangi peperangan ini Rasulullah sendiri mengambil ¾ daripada masa hidup mereka. Ini adalah kerana ia adalah terlalu sulit dan susah. Kemenangan batin inilah yang membawa kepada kemenangan lahir. Namun akhirnya para kekasih Allah dan pengikutnya dijanjikan Allah, dapat memenangi nafsu dan syaitan-syaitan mereka. Mereka benar-benar dapat mengubah seluruh lahir dan batin yang negatif kepada seluruh sifat positif lahir dan batin.

Andainya kesukaran hidup menjadi gangguan untuk kita beribadah dan mentaati Allah, maka perlu pula kita berusaha untuk meningkatkan taraf hidup umat Islam sendiri. Setiap yang melata di bumi Allah telah disediakan rezeki baginya. Cacing di celah batu lagi kan hidup, inikan pula manusia yang telah dikurniakan kelebihan akal fikiran olah Allah dan dapat berusaha dengan lebih sempurna untuk memburu rezeki tersebut.

Kalau kita selaku umat Islam ingin benar-benar berhijrah, sekiranya kita mahu benar-benar memperjuangkannya, nescaya Allah tidak akan sia-siakan. Bila-bila masa dalam setahun ini kita akan dapat hasil yang Allah janjikan itu. Baik di dalam membina rumahtangga cemerlang, dalam menyusun organisasi, dalam mentadbir perniagaan mahupun dalam mengatur pengikut dan masyarakat. Sama-samalah kita rebut kemenangan di bulan Muharram.

Oleh itu dengan kehadiran tahun baru 1431 Hijrah ini hendaklah wujud kesedaran untuk mengadakan peningkatan dari setiap peribadi muslim sama ada dalam hubungan dengan Allah atau untuk menyusun kehidupan dengan lebih teratur serta pandai memanfaatkan setiap kesempatan yang datang, kerana kesempatan yang baik tidak selalu wujud adakalanya muncul tiba-tiba dan lenyap tiba-tiba juga sebagimana pesan Rasulullah s.a.w : Rebutlah lima kesempatan sebelum datang lima yang lain.Masa mudamu sebelum masa tuamu,Masa sihatmu sebelum sakitmu,Masa kayamu sebelum fakirmu,Masa lapangmu sebelum datang kesempitanmu dan masa hidupmu sebelum datang kematianmu. [Riwayat Timidzi]

Dengan kehadiran Maal Hijrah jangan kita hanya ghairah mengadakan peringatan demi peringatan setiap kali menyambut kedatangannya tetapi kering tanpa penghayatan.Islam menghendaki adanya perubahan diri pada umatnya kearah yang lebih baik.Caranya sudah tentu dengan lebih meningkatkan azam dan semangat serta mengisi hari-hari mendatang dengan kegiatan yang lebih berfeadah.

Marilah menyambut kehadiran tahun baru 1431 Hijrah dengan rasa penuh kesyukuran dan gembira.Kita buka lembaran baru dengan menjadikan hari semalam sebagai pengalaman yang boleh mengajar kita sementara esok adalah harapan untuk kita sama-sama mencapai keredhanNya.

Monday, December 7, 2009

Dunia itu Perhiasan dan yang kekal akhirat

Orang yang diberikan nikmat dunia sering terlalai dan terleka sehingga hati mereka terikat kepada kenikmatan dunia dan cintakan dunia. Cinta dunia atau hubbu al-Dunya bermaksud perasaan hati yang sentiasa terikat dengan dunia sehingga urusan berkaitan dengan memalingkan meraka dari Allah swt dan kewajipan terhadapnya.

Rasulullah s.a.w menerangkan bertapa sikap cinta dunia ini amat merbahaya dalam hadisnya yang bermaksud "Maksudnya; Akan datang masa di mana kamu diperebutkan oleh bangsa-bangsa lain sebagaimana orang-orang berebut melahap makanan dari bekasnya." Para sahabat bertanya, "Apakah kerana ketika itu kami sedikit Wahai Rasulallah?" Rasulullah bersabda, "Tidak, bahkan ketika itu sangat ramai tetapi seperti buih di lautan kerana kamu tertimpa penyakit 'wahn'." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit "wahn" itu ya Rasulallah?" Beliau menjawab, "Penyakit "wahn" itu adalah terlalu cinta dunia dan takut mati."


Orang Islam yang cintakan dunia menjadikan mereka manusia yang hina, lemah dan tidak mempunyai kekuatan sehingga Allah swt mencabut rasa gerun dan takut musuh kepada orang-orang Islam.Firman Allah swt Maksudnya" Ketahuilah, bahwa Sesungguhnya kehidupan dunia Ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; Kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning Kemudian menjadi hancur. dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. dan kehidupan dunia Ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. [Surah Al-Hadiid :20]


Semua yang ada di langit dan di bumi pinjaman Allah semata. Kita tidak mempunyai apa-apa. Hidup di dunia hanya mampir sebentar saja. Terlahir sebagai bayi, membesar sebentar, semakin tua, dan akhirnya mati. Kemudian terlahir manusia berikutnya, begitu seterusnya.


Bagi orang-orang yang telah sampai pada keyakinan bahwa semuanya pinjaman Allah, ia tidak akan pernah sombong, meninggi diri ataupun dengki. Sebaliknya, ia akan selalu bersedia pinjaman diambil oleh Pemiliknya, kerana segala sesuatu dalam kehidupan dunia ini tidak ada ertinya. Harta, gelaran, pangkat, jabatan, dan populariti tidak akan ada ertinya jika tidak digunakan di jalan Allah.


Justeru janganlah sampai hati kita cintakan dunia dan terikat dengannya kerana dunia tiada nilai disisi Allah kecuali jika dikaitkan dengan iman dan taqwa sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w maksudnya, "Sesiapa yang mencintai dunia, ia akan memudharakkan akhiratnya, dan sesiapa yang mencintai akhiratnya maka ia akan memudharatkan dunianya, maka utamakan akhirat yang kekal daripada dunia yang binasa.
"

Marilah berdoa kepada Allah agar diselamatkan dari ujian nikmat dunia dan kita tidak menjadi hamba dunia sebaliknya menjadi hamba Allah yang sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah swt.

Wednesday, December 2, 2009

Tawakal itu indah

Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.(At-Talaq: 2-3)

Bukankah sudah dijanjikanNya bahawa orang-orang yang bertakwa itu akan diberikan jalan keluar untuknya. Masih tidak percaya?

Tawakal kepada Allah itu amat manis dan indah rasanya apabila menjadi manusia yang berserah diri dan membulatkan hati pada Allah. Tawakallah setelah kita berusaha, kerana keputusan itu milik Allah dan usaha itu milik kita sebagai hamba.

Hati yang resah gelisah akan dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan setelah membulatkan perkara ini kepadaNya. Setelah buntu mencari jalan keluar, berserah pada Allah, Tuhan Yang Maha Tahu. Akuilah kita sebagai hamba tidak mampu berfikir sejauh melihat masa hadapan, melihat mana satu jalan penyelesaian yang terbaik pada sebuah permasalahan di sisi kita yang tidak punya ilmu padanya. Ibarat sebuah kapal yang berlayar, bila tersesat jauh di lautan, hilang kompas dan peta di tangan, lihatlah bintang di langit sebagai penunjuk arah. Semuanya berbalik kepada Allah. Letakkan dahi separas kaki, pohon padaNya Yang Maha Mengerti dan Mengetahui segala isi hati.

Bila terlalu cuba memerah keringat, minda berfikir ligat hingga terbawa-bawa dibisik syaitan dan nafsu, kita harus sentiasa beringat. Kembali kepadaNya. Sentiasa berbicara denganNya. Dia sebenarnya merindukan rintihan hamba-hambaNya, mungkin itulah sebab kenapa kita ditimpakan masalah dalam kehidupan kita.

Sayangnya Dia pada kita.... Bukankah beruntung wahai diri apabila Pencipta alam semesta ini sentiasa ingin melihatmu. Sentiasa ingin dirimu berbicara denganNya. Bukankah Kau manusia istimewa yang terpilih menjadi hamba.

Jadilah hamba Allah. Bukan pada nafsu, bukan pada dunia dan seisinya. Tawakal kepada Allah bererti membuktikan penyerahan diri kita kepadaNya. Tawakal itu manis. Tawakal itu indah. Indah hidup bersama Allah, menjadi Muslim sejati hingga ke hujung nyawa. Hidup untuk Allah, mati jua untukNya.

"Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan." (Yunus; 10: 12)
Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner