Wednesday, November 25, 2009

Hayatila pengorbanan 3 insan suci

Seluruh alam sunyi sepi. Tiada kedengaran bunyi burung berkicau. Tiada bunyi desiran angin mendatang. Segala-galanya hening cipta. Seluruh makhluk yang ada di muka bumi ini terpaku pada kelibat 2 orang insan yang sedang berbicara.Satu perbicaraan yang bisa menggugah jiwa-jiwa yang mendengarnya.

Nabi Ibrahim as sedang berbicara dengan anakandanya Nabi Ismail as mengenai perintah Allah yang baru diterima supaya menyembelih Nabi Ismail as.

Nabi Ismail as akur dan pasrah jika itu adalah perintah dari Allah. Muktamad dan tidak boleh disanggah sama sekali sebagai bukti keimanan. Nabi Ismail berkata kepada ayahandanya dengan beberapa pesanan sebelum urusan penyembelihan itu dijalankan.

Pertama, ayahanda mestilah menggunakan pisau yang tajam supaya urusan penyembelihan nanti akan berjalan lancar.

Kedua, baju yang dipakai Nabi Ismail as mesti ditanggalkan, supaya kesan-kesan darah pada bajunya tidak akan kelihatan kerana boleh melukakan emosi bondanya Siti Hajar bila melihatnya.

“Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah, ayah akan mendapati (menyaksikan sendiri) daku dari orang yang sabar”

Walaupun berat namun Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s redha dan bersedia untuk melaksanakan perintah ini. Lalu Allah menggantikan Nabi Ismail dengan kibasy untuk disembelih.

Siti Hajar pula redha jika ini perintah dari Allah supaya Nabi Ibrahim a.s meninggalkan beliau dan anakandanya Nabi Ismail a.s berdua di tengah-tengah lembah yang kontang. Nabi Ibrahim a.s perlu kembali ke Baitul Maqdis kerana perintah Allah. Maka tinggallah mereka dua beranak bersama bekalan yang hampir kehabisan.

Maka menangislah anak kecil itu kerana kelaparan dan kehausan. Maka berlari-larianlah Siti Hajar antara Bukit Safa dan Bukit Marwa mencari air. Pelarian tanpa henti selama 7 kali berturu-turut ini berakhir bila telaga zam zam ditemui di hujung kaki Nabi Ismail. Pengorbanan yang bukan sedikit.

Pengorbanan orang-orang yang telah mendahului kita seharusnya menginsafkan. Mereka diuji oleh Allah dengan ujian yang sangat berat untuk dipikul. Mereka terpilih untuk menerima ujian ini dan mereka redha sehingga akhirnya mereka berjaya.

Justeru, mari bertanya kepada diri kita, sejauh manakah pengorbanan yang telah kita lakukan untuk Islam yang kita cintai?

Berapa banyakkah harta kita dan wang ringgit yang telah kita keluarkan dan dibelanjakan atas jalan-jalan fisabilillah?

Walau pengorbanan kita tidak selayaknya dibandingkan dengan pengorbanan 3 insan tersebut, namun sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh kita lakukan atas nama pengorbanan.

Thursday, November 19, 2009

Iman..

Iman adalah asas kepada akidah yang benar. Iman penentu kepada ketaqwaan di dalam membentuk kepatuhan kepada Allah, di dalam semua aspek kehidupan. Nilai keimanan yang tertanam di jiwa, akan memandu seseorang ke jalan yang diredhai Allah.

Menjadi seorang muslim belum mendapat jaminan dari Allah, yang akan Allah bela. Menjadi orang Islam semata-mata belum ada jaminan dari Allah akan diampunkan dosanya. Menjadi orang Islam saja belum ada jaminan dari Allah bahwa amal ibadahnya akan diterima. Menjadi orang Islam saja belum ada jaminan bahwa Allah akan memberi bantuan dariNya. Kerana menjadi seorang muslim atau seorang Islam itu mudah. Apabila sudah mengucapkan dua kalimat syahadat, maka tidak boleh dianggap dia itu seorang kafir. Lebih-lebih lagi seseorang itu sudah solat, berpuasa, mengerjakan haji, kita tidak boleh menuduh orang itu kafir. Dia termasuk dalam golongan Islam tetapi belum tentu ia seorang bertaqwa.

Setelah menjadi orang bertaqwa baru ada jaminan dan pembelaan dari Allah di dunia dan di Akhirat. Bila jadi orang bertaqwa barulah dosa diampunkan, barulah amal ibadah ini diterima, barulah mendapat pimpinan dari Allah. Secara langsung Allah menjadi pemimpinnya. Bila menjadi orang bertaqwa pintu rezeki akan terbuka, tidak tahu dari mana datang dan sumbernya. Bila menjadi orang yang bertaqwa Allah mudahkan kerja-kerjanya. Bila buat kerja sedikit, hasilnya banyak. Kalau buat banyak, lebih banyaklah yang akan diperoleh.Inilah yang dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya “Barang siapa yang bertaqwa pada Allah, Allah beri jalan keluar dari kesusahan dan akan beri rezeki sekira-kira tidak terduga-duga”

“Barang siapa yang bertaqwa pada Allah, Allah akan permudah segala urusannya [Surah At-Talaq : 4]

“Allah menjadi pemimpin (pembela) orang yang bertaqwa” [Surah Al Jasiah : 19]

TINGKATAN IMAN
Iman berada pada satu tahap
Iman pada peringkat ini, berada pada satu tahap yang sama dari awal hingga ke akhir. Iman ini adalah iman milik para malaikat sahaja.

Iman sentiasa bertambah
Iman yang sentiasa bertambah ialah iman yang dimiliki oleh para nabi dan rasul. Iman mereka tiada pernah berkurang.

Iman yang terkadang bertambah dan berkurang
Iman umat Islam, yang selain dari nabi dan rasul adalah berada di tahap bertambah dan berkurang. Pertambahan atau pengurangan tersebut disebab oleh beberapa faktor, antaranya amalan dan iktikad di hati.Allah Subhanahu waTa’ala berfirman maksudnya
“Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka. [Surah al-Anfal :2) ]

“Supaya orang-orang yang diberi al-Kitab menjadi yakin dan supaya orang yang beriman bertambah imannya.” [Surah al-Muddatsir: 31]

Iman ada permulaan dan tiada pada akhirnya
Iman ini adalah iman milik iblis dan rakan sekutunya. Pada peringkat awal iblis beriman kepada Allah. Apabila diperintahkan agar sujud kepada Nabi Adam, iblis enggan dan takbur, lantas membawa kepada kekufurannya kepada Allah selama-lamanya.

Iman seseorang akan bertambah jika ditingkat dan diperbanyakkan amalan kebajikan melalui cabangan Iman sebanyak tujuh puluh tujuh cabang.Cabang yang paling tinggi ialah syahadat “Laa Ilaaha Ilallaah”, sedang cabang yang paling rendah ialah menyingkirkan gangguan dari jalan. Dan sifat malu adalah salah satu dari cabang Iman .

Iman seseorang akan berkurangan jika tidak diperbanyakkan amalan kebajikan dan disertakan dengan perkara yang dimurkai oleh Allah antaranya, Murtad, melakukan dosa besar dan mengekali dosa kecil.

Friday, November 13, 2009

Celikkah mata hati

Jika ditanyakan siapa kita? Ramai yang tahu bahawa kita adalah hamba Allah. Namun berapa ramai antara kita yang sedar bahawa kita hamba Allah? Ya, ramai manusia hanya tahu tetapi tidak sedar bahawa dirinya hamba Allah.

Justeru, ramai yang berlagak seolah-olah ‘tuan’ dalam kehidupan sehari-hari. Sikap angkuh, tamak, pemarah dan bangga diri yang sepatutnya tidak ada pada diri seorang hamba, menjadi tabiat dan budaya dalam kehidupan. Ya, tahu dan sedar adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Tahu letaknya di akal, dengan memiliki ilmu dan maklumat. Manakala kesedaran letaknya di hati ,dengan memiliki penghayatan dan hikmah. Ini menjelaskan mengapa ada pelajar yang lulus A1 dalam mata pelajaran agama Islam tetapi tidak solat. Dia mungkin tahu tentang kebaikan solat tetapi tidak sedar akan kebaikan itu. Tahu, hanya ‘di permukaan’, yakni baru bersifat pengetahuan dan teori. Manakala sedar adalah mendalam, melibatkan kemahuan dan amali.

Sayidina Ali k.w. yang antara lain menyebut “Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur (mimpi), bila mati baru mereka terjaga (tersedar).” Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya hanya apabila seseorang itu mati kelak barulah hakikat kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya. Ketika itu barulah si mati dapat “melihat” hidup dengan jelas dan tepat.

Setelah diri berada di alam barzakh (alam kubur), barulah manusia insaf apakah yang sebenarnya yang perlu dicari dan dimiliki dalam hidupnya ketika di dunia dahulu. Aneh, hanya apabila meninggal dunia, baru manusia menyedari tentang hakikat hidup di dunia. Seperti kata pepatah, “Setelah terantuk (mati), barulah dia tengadah (sedar).” Rupa-rupanya apa yang diburu semasa hidup di dunia hanyalah dosa. Manakala apa yang dihindarinya pula adalah pahala.

Betapa tersasarnya tujuan hidup selama di dunia akibat buta mata hati. Dalam alam kubur, ketika debu-debu tanah menjadi ‘bumi dan langit’, barulah kita terjaga daripada “mimpi” selama ini. Sayangnya, pada ketika itu, segala-galanya sudah terlambat. Apa gunanya sedar di alam kubur kerana saat itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki keadaan. Sepatutnya kesedaran semacam itu perlu kita miliki sewaktu hidup di dunia ini. Jelaslah, sekiranya hidup di dunia dilalui dengan penuh kesedaran, barulah ada kebaikan dan manfaatnya. Sebaliknya, sekiranya kesedaran itu hanya dimiliki di alam kubur, maka segala-galanya sudah terlambat!

Kesedaran itu terletak di mana? Apabila Sayidina Ali menggunakan istilah ‘tidur’ dan ‘terjaga’, apakah beliau merujuk kepada mata? Selalunya, ketika hidup mata seseorang terbuka (terjaga) dan apabila mati matanya tertutup. Tetapi anehnya, Sayidina Ali menyatakan sebaliknya bila hidup, yakni ketika mata terbuka itu yang dikatakan bermimpi manakala apabila mati (mata tertutup) dikatakan terjaga.

Apa yang dimaksudkan oleh Sayidina Ali dengan ‘terjaga’ (tersedar) tidaklah merujuk kepada mata di kepala, sebaliknya merujuk kepada mata di hati (di dalam dada). Ramai manusia yang hidup dengan mata hati yang tertutup. Bila mati baru mata hati itu terbuka. Mata hati inilah yang disebut dalam al-Quran sebagai yang ‘berada di dalam dada’. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu dengan hati yang mereka miliki dapat memahaminya atau dengan telinga yang mereka miliki dapat mendengar semuanya?

Sesungguhnya (mereka yang tidak memahaminya) bukanlah kerana mata yang buta, tetapi yang buta itu ialah hati yang tersembunyi di dada.” (Surah al-Haj 22: 46) Seseorang akan memiliki satu kesedaran hanya apabila mata hatinya terbuka. Dia melihat sesuatu bukan hanya dengan pandangan mata kepala malah disertai dengan pandangan mata hati. Pandangan mata hati adalah pandangan yang paling tepat dan benar kerana ia mampu melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat, dapat menerobos yang batin daripada yang lahir dan mampu membezakan antara yang hakiki dengan yang ilusi.

Jasad yang tercipta dari tanah, bukanlah hakikat diri kita. Ia akan kedut, reput bahkan hancur akan dimamah ulat, cacing dan tanah. Tetapi diri kita yang hakiki ialah budi pekerti kita, yang tidak akan hancur selama-lamanya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Apa yang dilihat dengan pandangan mata hati inilah yang dikenang oleh manusia dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah tidak menilai rupa lahir kamu tetapi Allah menilai amalan dan hati kamu.”

Demikianlah apa yang dikatakan celik mata hati atau kesedaran. Tegasnya, mata hati akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Pencipta hidup – Allah. Inilah pandangan hidup yang paling jelas tepat. Bermula dengan pandangan yang tepat inilah kita boleh menjalani hidup dengan sebaik-baiknya.

Jika tidak, terjadilah apa yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami sediakan bagi neraka jahanam itu golongan jin dan manusia yang mereka itu mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu ibarat binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf :179).

Sunday, November 1, 2009

Kembara cinta

Sila tinggikan volume speaker anda untuk mendengar video ini
kerana suara rakamannya agak rendah...Terima kasih!


Pergilah tetamu Allah
Pergilah menuju Allah…
Pergilah membawa hatimu yang pasrah
Tiada lain yang kau cari
Kecuali kasih-sayang Ilahi

Haji ertinya menuju…
menuju Allah yang satu
Namun jalan cinta itu penuh sembilu
Kan bertandang ujian beribu liku
Merintang diri dan hati
Kerna setiap cinta itu pasti diuji…
Apakah sejati atau ilusi.

Sebelum melangkah mulakan muhasabah
Bagaimana belanja kita ke sana?
Apakah keringat sendiri yang mengalir?
Apakah dari sumber yang bersih?
Apakah dari pekerjaan yang baik?
Tanpa penipuan, tanpa penzaliman
Hasil usaha ‘halalan taiyiban?’Kemudian muhasabah pula diri kita seikhlasnya
Leburkan mazmumah semampunya
Hasad, dengki, marah, bakhil ditekan sekuatnya
Mensucikan hati di pohon keampunan
Minta kemaafan dari manusia
Mohon taubat segala dosa…
Barulah nanti terlerai rantai di hati
Terasa ringan melangkah kaki!

Pakaikan kain ihram di tubuh
Serah diri seluruh…
Pangkat, derjat, bintang dan gelaran meluruh
Kini kita hanya seorang hamba
Yang benar-benar hina di hadapan-Nya

Datanglah bagaikan hamba tawanan
Yang bertelut gementar… menanti hukuman
Labaiklallah humma labaik!
Hambamu datang ya Allah…
Dengan hias rohani
Di cermin matahati katakan pada diri:
Aku tidak punya apa-apa
Harta, keluarga dan milik Mu jua
Asalku hanya dari titisan air yang hina …
Jahil, miskin, lemah dan tidak berdaya…
Namun Hambamu datang jua ya Allah…
Labaikallah humma labaik
Aku datang wahai Tuhan
Aku datang… menyahut panggilan

Tuluskan niat kita ketika memulakan
Haji ini, ibadah ini…
Bukan untuk ihsan manusia
Bukan lanjutan urus niaga
Pun bukan kerana riak dan bangga
Tetapi benar-benar kerana kita hamba
Yang mengharap wajah dan keredhaan-Nya

Niat yang suci itu perisai hati
Menangkis kelalaian sepanjang destinasi
Ikhlas itu sangat maknawi
Namun kesannya zahir pada diri

Ikhlas melahirkan sabar…
Sabar kita dengan karenah insan
Demi mengharapkan rahmat Tuhan
Ikhlas melahirkan syukur…
Syukur dengan ruang yang sempit
Demi mengharap keampuan yang melangit

9 Zulhijjah…wukuf di Arafah
Dalam himpunan terbesar gambaran Mahsyar
Tiada bezanya derjat dan pangkat
Yang kaya atau melarat
Semuanya tenggelam dalam dalam zikir dan munajat

10 Zulhijjah… bermalam di Mudzalifah
Talbiah, tasbih dan selawat
Bangsawan, hartawan, marhein dan miskin
Segalanya sama seputih kain
Moga-moga perrhimpunan ini menginsafkan
Hanya taqwa… nilaian Tuhan

Tuhan tidak menilai rupa
Tuhan tidakmenilai harta
Tuhan hanya menilai hati
… hati yang bertaqwa kepada-Nya

11, 12, 13 Zulhijjah…
bermalam di Mina melontar 3 Jamrah
Genggam butiran batu itu dengan tangan kita
Tapi lontarkan ia dengan satu rasa
Di Jamrah itu kita perangi musuh Allah
Simbolik satu kebencian
Metafora sebuah peperangan
Melawan syaitan dalam kehidupan
Nyahkan ia jauh-jauh…
Perangi ia sungguh-sungguh…
Usah berpaling lagi
Pada bujukannya… kita tak sudi!

Nun di sana kelibat Kaabah mula menyapa
Rindu tiba-tiba semakin membara
Hati hiba tanpa diminta
Tanda disedari mengalir air mata kita
Oh! situ pernah melutut Ibrahim
Di situ pernah sujud Ismail
Dan di situ pernah menangis Muhammad SAW
Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali…

Bagaikan ‘melihat’ wajah Allah
Di hitam warnanya ada nur kesucian
Langkah kian cepat… kian mendekat
Tawaf, tawaf, tawaf tujuh pusingan
Tiga pertama bagaikan lari dari dosa…
menuju pahala
Empat yang kedua lepas dari kesalahan…
menuju pengampunan

Lambaian istilam tanda kerinduan
Dikucup tangan tanda kecintaan
Tuhan cintaku hanya pada-Mu…
Walaupun cinta itu sering terganggu!

Bawalah hati yang lara di Safa dan Marwah
Saie ke sini ke sana bagai seorang sandera
Cemas bila dirasuk azab…
Tenang seketika dibujuk harap…
Ke sana khauf…
ke sini raja’…
Bimbang tenang berulang datang
Bagai gelombang tanpa tepian

Oh! Tuhan siapakah diriku
pada pandangan-Mu?

Kepalamu kau cukur
Helaian rambutmu pun gugur
Luruh bersama simbolik dirimu yang lalu
Kini bangun dirimu yang baru

Bukan sekadar membunag setipis rambut…
tetapi mengungkai fikiran yang berkabut
Bukan sekadar membersih kepala…
tetapi hakikatnya menjernih minda

Itulah rahsia tahallul
Meninggalkan diri yang kotor
Hijrah ke dunia yang luhur!

Di Madinah… di masjid Nabawi
Hati kita kan tersentuh oleh imbauan azannya
Terbayang sejarah anak yatim yang kesepian
Terbayang gembala kecil di padang pasir
Luka kakinya di Taif
Hilang kesayangannya di Badar
Gugur giginya di Uhud
Atap rumahnya dicecah jari
alas tidurnya berbekas di badan

Sujudlah, bertelekulah di situ
Tunduk malu di makam nabi
Di sana tersimpan jasadnya yang mulia
Rasul yang tak pernah jera berkorban…
Demi umatnya
Tega baginda pada semua derita

Hayatilah betapa malunya Rasul di Masjid Qiblatain
Ingin merayu tapi lidahnya kelu
Qiblat itu hak Tuhan…
tak layak dirinya memohon pertukaran
Namun Tuhan Maha Mengetahui resah di hati Rasululah
Lalu beralihlah qiblat dari Masjidil Aqsa… ke Baitullah
Rintihan Rasul-Nya terjawab sudah

Di Badar kita diajar bertawakkal
Betapa golongan sedikit bisa mengalahkan golongan yang ramai
Tetapi bila disiplin robek godaan harta
Uhud mengingatkan kita pada sebuah alpa
Pada batu-batu yang terdampar di kuburan Baqie
Terimbau deretan sahabat bagaikan bintang di langit

Terlalu banyak hikmah dalam kembara ini
Jika segalanya dilihat dengan matahati
Jiwa akan kukuh disepuh iman
Akal akan bersih disuluh iktibar
Fizikal akan kuat menempuh kesusahan

Haji kemuncak ajaran Islam
Haji kemuncak mehnah dan ujian
Padanya tersimpan rahsia kekuatan
Sudahkah terserlah apa yang tersimpan?

Bertamu tak jemu…
Berpisah tak gelisah…
Kenangan di Makkah dan Madinah
Adalah bekal safar abadimu…
bertemu Allah!
Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner