Sunday, January 3, 2010

Bahagia


Mengapa sukar bahagia? Kadangkala kita seringkali bertanya di manakah kebahagiaan itu atau mungkin juga kita memikirkan mengapa kebahagiaan itu sukar hadir dalam hati atau ada yang bertanya mengapa kebahagiaan kian menjauh.

Sebenarnya jawapan kepada kesemua persoalan itu ada di dalam diri kita sendiri. Yang menjadi musuh kita selama ini adalah sikap. Mahu atau tidak mahu sahaja untuk berubah.Tetapi pendefinisian sebagaimanakah bahagia itu wahai diri.

Hakikat yang mesti diterima adalah syurga orang lain tidak mungkin sama dengan apa yang ingin dibina oleh kita. Ayat yang lebih mudah, kebahagiaan dalam kamus kita mungkin berbeza dengan kamus kebahagiaan orang lain. Merasa bahagia itu terlalu subjektif untuk dihuraikan. Jadi, ciptakan kebahagiaan itu sekarang sebelum kita kehilangannya. Allah berfirman “Katakanlah,Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya iti dari apa yang mereka kumpulkan.” [Surah Yunus: 58]

Andai di ukir bahawa bahagia itu milik dia yang ketawa sepenuh hati, lantas berbahagiakah si dia yang ketawanya di iringi syaitan durjana? Andai di nukil bahawa derita itu milik dia yang menangis,lantas menderitakah si dia yang menangis,merintih dan terhenjut-henjut bahunya di hadapan PenciptaNYa? Menyelusuri kisah-kisah manusia terbilang di zaman silam, kisah Imam-imam tersohor dalam peradaban islam yang kebanyakan dari mereka mengambil langkah untuk beruzlah dan menyendiri, jauh dari hiruk pikuk manusia, mereka seolah-olah terpinggir,tetapi hakikatnya tidak begitu,mereka bahagia dalam kesunyian dari cacamerba kejahilan. Begitu sukar untuk diterjemah dengan hati apakah makna sebenar sebuah kebahagiaan, tetapi yakinilah manusia tidak akan pernah berhenti mengejarnya selagi ia tidak di kecapi.

Al Hasan al-Bashri mengatakan, “Carilah kenikmatan dan kebahagiaan dalam tiga perkara, dalam solat, berzikir dan membaca Al Quran, jika kamu dapat maka itulah yang diinginkan, jika kamu tidak dapat maka sadarilah bahwa pintu kebahagiaan sudah tertutup bagimu.”

Andai hidup sekadar untuk mencari tanpa ada keinginan untuk menyedari,maka apalah ertinya di sisi? Kita kerap cuba menggapai lakaran indah pelangi nun di balik sana, tetapi memijak-mijak ketenangan rerumput hijau di bumi. Berapa ramai di antara kita yang mampu menbuka mata hati,menyedari hakikat keberuntungan diri. Bukankah bahagia itu abstrak sifatnya, ada bahagia dalam luka, ada senyum dalam sendu, ada ketawa dalam esakan,ada qanaah dalam kesempitan, ada pemaaf dalam kemarahan, ada zuhud dalam pemberian, ada keikhlasan dalam pengorbanan, ada pengorbanan dalam perjuangan, ada rasa syukur dalam kegagalan, ada pelbagai kebahagiaan dalam pelbagai kisah yang berlaku dalam hidup kita.

Kita acapkali menjulang tinggi kejayaan,kemewahan,kedudukan lalu meminggir sepi setiap saat sedih yang sebenarnya bisa memberi peluang untuk kita menjadi bahagia. Indahnya perasaan andai menjadi seorang yang pemaaf,dia bersih dari dendam dan tenang dari hasad dengki, betapa indahnya juga perasaan andai menjadi seorang yang sentiasa berkorban, dia penuh dengan kebaikan hati dan jiwanya subur dengan sifat ithar, indahnya perasaan andai menjadi dia yang di uji lantas terus berlari mendakap erat Tuhannya, hatinya penuh dengan kerendahan dalam pengharapan dan tenang atmanya pabila dipujuk Allah. Kita bisa bahagia selagimana kita MAHU mengerti dengan mata hati hakikat diri insani yang perlu berpaut rapat dengan Illahi. Kita tak akan bahagia tanpa Dia.

Bahagia itu rahmat dan berkat. Bahagia itu milik Yang Satu,untuk semua. Ada yang kekal,ada yang sementara. Ia berbeza kerana kita berbeza.Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah,“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” [Surah Al Ra’du:28]

2 Komen:

Abd Razak said...

Salam...:)

Mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita adalah kunci sebuah kebahagiaan yang hakiki. Oleh itu terpulanglah kepada kita sejauhmana ikhlasnya niat kita dan juga usaha upaya kita untuk memiliki sebuah kebahagiaan mengikut kaca-mata Al-Quran yang merupakan “Kalamullah” dan berpandukan contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi besar kita Muhammad SAW yang diiktiraf oleh Allah SWT yang Maha Pencipta, Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Adil ke atas sekelian makhluk ciptaanNya.

Kuhasya said...

salam A.Razak..
Syukran. Ya, pada Allah bahagia manusia hanya dengan mengingatiNya dan mengikuti apa yang diajarkan kepada nabi Muhammad SAW.

Post a Comment

Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner