Thursday, December 24, 2009

Akhlak

AKHLAK adalah perkara penting selepas iman. Setiap orang akan dinilai berdasarkan budi pekertinya (akhlak). Jika baik akhlaknya, maka dia akan dianggap baik. Jika buruk akhlaknya meskipun ada melakukan kebajikan, tetap tidak akan dinilai.

Oleh itu, orang yang mempunyai akhlak mulia akan dipandang mulia di sisi Allah. Contoh, akhlak mulia adalah akhlak Rasulullah. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia." [Surah al-Qalam : 4].

Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang akhlak yang baik, maka beliau membacakan kepadanya firman Allah SWT
“Jadilah engkau seorang pemaaf, suruhlah orang mengerjakan yang makruf dan berpalinglah dari orang-orang yang jahil.” [Surah al-A'raf: 199]

Anas bin Malik berkata: "Seorang hamba dengan akhlaknya yang baik dapat mencapai darjat tertinggi di syurga, sedangkan ia bukanlah seorang ahli ibadah. Dan dengan akhlaknya yang buruk akan terhempas ke dasar paling bawah neraka Jahanam, sedangkan ia seorang ahli ibadah".

Ibn al-Mubarah pernah mendapat seorang teman seperjalanan yang buruk akhlaknya. Namun ia tetap bersabar dan sentiasa berusaha mengikuti kemahuan temannya itu. Dan ketika akhirnya mereka terpisah, Ibnu al-Mubarah menangis. Seseorang menanyakan hal itu kepadanya, dan ia pun berkata: "Aku menangisi orang itu. Kini aku telah berpisah darinya, sedangkan akhlaknya yang buruk masih bersamanya, tidak berpisah darinya."

Diriwayatkan bahawa Umar r.a pernah meminta izin untuk menemui baginda Rasulullah s.a.w. ketika itu ada beberapa orang wanita dari kalangan Quraisy sedang berbicara dengan baginda, suara mereka terdengar lebih keras daripada baginda. Tiba-tiba ketika mengetahui Umar meminta izin untuk masuk, mereka bergegas menyembunyikan diri di balik hijab. Dan masuklah Umar sementara Rasulullah s.a.w tertawa. Umar pun bertanya: "Kenapa anda tertawa, ya Rasulullah? Jawab baginda:
"Sungguh aku hairan melihat tingkah laku wanita-wanita yang baru saja bersamaku, ketika mendengar suaramu mereka segera menyembunyikan diri di balik hijab".
Mendengar itu, Umar berkata: "Sungguh engkaulah, ya Rasulullah, yang lebih patut mereka takuti daripada aku."

Kemudian ia menoleh ke arah para wanita itu, seraya berkata: "Adakah kalian takut kepadaku dan tidak takut kepada Rasulullah?" Mereka menjawab: "Ya, kerana anda begitu keras dan begitu kasar, tidak seperti Rasulullah s.a.w!".

Dari hadis dan kisah di atas jelas menunjukkan pentingnya soal menjaga akhlak. Dalam kehidupan seharian yang dilingkungi berbagai jenis manusia, akhlak adalah perkara utama. Akhlak yang baik disenangi manakala buruk hanya akan menambah musuh. Apakah cara memperbaiki akhlak yang buruk? Pertama, bagaimana bentuk ibadat wajib kita. Pastikan ia benar-benar menurut apa yang diperintahkan Allah. Kedua, dari mana sumber rezeki kita yang menjadi darah daging dan membentuk keperibadian kita dan ketiga siapakah rakan-rakan di sekeliling kita. Jika semua rakan buruk akhlaknya maka kita juga merasa tempiasnya.



2 Komen:

Abd Razak said...

Salam...:)

Betapa indahnya akhlak yang menzahirkan pekerti-pekerti yang tinggi, yang mendatangkan kebahagiaan dan mententeramkan jiwa serta mengusir segala perasaan duka, sedih dan sebagainya...:)

Kuhasya said...

salam ostaz Abd Razak
syukran atas pengkongsian ilmu, indahnya akhlak sesorang merupakan cermin dari apa yang ada dalam jiwa sesorang dan al quran merupakan sumber akhlak mulia yg di ajar oleh Allah dan disampaikan oleh nabi kepada umatnya" Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah"

sewajarnya kita mencontohi apa yang diajarkan dan disampaikan bg menamam rasa cinta & iman kepada Allah

Post a Comment

Lakaran Hati © 2008 Template by:
SkinCorner